Tuesday, April 11, 2017

Catatan Di Pusara Bonda



Ayah membaca tahlil yang ringkas. Saya tidak mengikut sangat, sekadar memerhati kubur mak yang menjangkau lebih 13 tahun. 

Asalnya nak bersihkan sedikit rumput yang ada, tapi saya biarkan selepas teringat tumbuhan di atas kuburan boleh mengurangkan azab kubur. Pun begitu saya yakin mak sejahtera di sana.

Saya lihat wajah ayah semakin berubah. Bacaannya seperti orang menangis. Mungkin rindu pada emak. Saya membiarkan sahaja dan terus memerhatikan pangkal nesan yakni di mana muka mak mengadap kiblat.

Kemudian ayah membaca doa. Saya turut mengaminkan. Namun perasaan saya masih kosong sebab emak sudah lama tiada.

Sehinggalah ayah membaca beberapa potong ayat dari surah al-fajar. Tatkala itu , tiba-tiba saya mahu menjadi sebahagian yang ayah sebutkan itu.

'Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam syurga-Ku.' ~ Al-Fajar 27-30.

Sejurus habis doa, ayah terus berlalu pergi. Namun saya masih tercegat di kaki kubur emak. Saya lihat saya yang akan pergi juga satu hari nanti. Mendiami kubur seperti penghuni kubur yang lain.

Lama saya berdiri. Subhanallah...waktu itulah doa yang sebenar terungkap keluar. Allahuakbar.

Selepas itu saya beredar ke kubur Wan. Membaca beberapa potong ayat. Namun saya sempat mengerling ke kubur emak. Seakan terlihat mak sedang memerhatikan saya.

Itu secebis kenangan yang paling mahal ayah tinggalkan buat saya. Benar. Itu adalah kali terakhir kami menziarahi kubur emak bersama-sama.

Kini ayah telah kembali ke rahmatullah. Menyertai emak di alam barzah.

Namun sepotong ayat yang ayah telah baca itu membuatkan saya bersungguh-sungguh menghafalnya dan mengulang baca di saat paling rindu kepada keduanya.





Tuesday, April 4, 2017

Apa Lagi Yang Mahu Dicari Dalam Hidup Ini?




Kematian adalah perkara yang sangat menakutkan. Sementelah umur semakin banyak dan semakin hampir ke penghujungnya. Ironinya, semakin jauh umur merangkak menghampiri kematian, semakin itu jua kita diuji dengan segala kesibukkan yang kita sendiri tidak ketahui hujung dan pangkalnya.


Hakikatnya itu dilemma masakini yang menagih pengorbanan yang cukup besar.  Saya mengenali beberapa individu yang meninggalkan apa yang dimiliki hanya kerana mahu melakukan yang lebih perlu. Di saat orang lain nyata tidak yakin dengan keputusan tersebut, namun bisik hati kecil yang terbit itu tidak mampu menghalang untuk meninggalkan kesibukkan yang semakin meruncing saban hari itu jauh dari diri. Aduhai...Seakan-akan ada sesuatu yang meresahkan hati.

Subhanallah. 

Setelah menjalani hidup dengan pilihan tersebut, yang diketemui makin banyak pula urusan yang tidak dilakukan selama ini. Urusan-urusan yang amat penting yakni persediaan menghadapi hari kematian yang terus menjadi rahsia Allah. Arghhh...masa semakin pendek dan sangat dirasakan segalanya sudah terlambat.

Namun kasih Allah itu sangat hebat. Diberi-Nya ruang dan kesempatan untuk melakukan apa yang selayaknya seorang hamba kepada penciptanya. Dan seakan semuanya dipermudahkan. Subhanallah...

Lalu...

Apa lagi yang mahu dicari dalam hidup ini? Bukankah kehidupan yang kekal abadi nanti jauh lebih penting dari segala yang kita kejari dalam dunia ini. Sudahkah kita bersungguh-sungguh untuk kematian yang bakal mendatangi setiap dari kita?

Saya memohon ampun atas tulisan ini. Mudah-mudahan Allah memberi kita ruang dan peluang untuk terus bertaubat. Aameen...


Sunday, April 2, 2017

Di Saat Paling Malas...



Aduh! Malas betul. Meski masih banyak perkara yang dirancang belum terlaksana. Puas sudah mencari keadah menepis rasa malas yang bertindan-tindan datang bertandang, namun tidak jua ketemu ubatnya.

Saya pernah mendengar bahawa, bersikap malas itu adalah antara dosa-dosa kecil. Jika sedemikian, maka jelas bahawa malas itu bukanlah perkara enteng. Perlu dijauhi dan membuangnya dari terus menjadi resam diri sendiri.

Lawan kepada malas adalah rajin. Bersikap rajin terlalu banyak faedahnya. Yang paling ketara, masa tidak terbazir kepada perkara-perkara yang tidak punyai nilai tambah dan sudah pasti kita melaksanakan apa yang dirancang. Kita menyelesaikan banyak perkara. Bukan sekadar merancang atau mahu semata-mata.

Antara formula yang saya cuba sarankan di sini ialah di saat paling malas, di saat itulah melaksanakan apa yang telah dirancang. Tidak lagi berterusan bertangguh-tangguh ke suatu masa yang tidak diketahui.

Ia jua antara sebahagian muhajadah kita menjauhi dosa-dosa kecil ini. Mudah-mudahan.

Wallahualam...






Thursday, March 30, 2017

How Much More We Need for Ourself?



How much more we need for ourself? There are people who need more than we do.

Kita ghairah memiliki barang yang serba mahal dan berjenama. Meski itu semua hanya kehendak bukanlah keperluan. Waimanya, di sekeliling kita terdapat manusia lain yang lebih memerlukan. Sudahkah kita perhatikan?

Tuesday, February 28, 2017

Kuat Hati

pic:google

Dalam diam saya kagum dengan orang-orang yg jauh berusia tapi sangat tekad memperbanyakkan amal. Sebagai contoh, dengan segala kekangan kemampuan fizikal yang ada, mereka mampu bersolat jemaah di masjid secara istiqamah. Kebanyakan alasan kita pula, mereka sudah pencen dan tiada apa hendak dilakukan. Pun begitu masjid-masjid sekitaran masih belum cukup ramai pengunjungnya tatkala solat fardhu; jika pencen itu dijadikan ukuran.

Pada  fikiran saya yang paling tepat kuat hati. Yakni kemahuan hati yang sangat kuat hingga memberi kekuatan kepada fizikal yang kerap kali sukar kita hendak faham. Walhal, orang muda yang dikurniakan kesihatan serta kemampuan fizikal tahap tertinggi tidak mampu sama sekali.

Dalam situasi sekarang, bilangan orang-orang muda masih kurang. Bila ada masjid yang diimarahkan oleh orang muda saya kagum sekali. Umumnya segalanya adalah hidayah serta taufik yang Allah kurniakan kepada hamba-hambaNya yang terpilih. 

Kepada yang berupaya menunaikan solat fardu secara berjemaah di masjid, bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan tentang kemampuan tersebut. Itu semua adalah pemberian serta rahmat dari Allah jua.

Saya berdoa moga Allah memberikan kekuatan dalam hati kita untuk mendekati Allah sehingga ke akhir hayat yang ada.


Kepada Allah saya memohon ampun.

Wednesday, February 22, 2017

Traffic Light

pic: google

Merah, kuning dan hijau pada sebuah traffic light adalah antara arahan yang jelas untuk para pemandu di atas jalan raya. Sudah pasti yang berwarna hijau paling disukai kerana tidak perlu menunggu dan teruskan perjalanan ke tempat yang dituju. Manakala yang merah pula kerap menimbulkan rasa kurang sabar apabila terpaksa menunggu  lama sebelum ia kembali menjadi hijau.

Memandu pada larut malam atau awal subuh yang tiada kenderaan di jalan raya, memberi pilihan untuk melanggar arahan traffic light tersebut atau akur. Jika akur, menimbulkan pula rasa gusar tatkala sendirian menunggu ia kembali hijau. Mana tidaknya suasana sekitar yang gelap dan sunyi. Jika dilanggar arahan tersebut, ia menyalahi undang-undang pula.

Dari kejauhan saya melihat traffic light di hadapan masih hijau dan saya sedikit memecutkan kenderaan untuk segera melepasi. Namun tatkala hampir sampai, ia berubah kuning dan memaksa saya untuk bersedia untuk berhenti.

Dalam situasi lain pula, ianya terus hijau dan saya tidak perlu berhenti. Manakala kenderaan lain akur memberi laluan kepada saya. Saya rasa sangat seronok.

Sebaliknya, resah saya panjang sekali jika terpaksa menunggu traffic light yang dalam keadaan warna merah meski hakikatnya hanya dalam bilangan saat atau minit yang sangat minimum.

Cerita traffic light ini secara halus menggambarkan kita melalui suasana di Padang Masyhar kelak. 

Sudah pasti kita mengharapkan traffic light untuk kita di akhirat kelak hijau untuk terus ke syurga tanpa melalui urusan yang sangat gawat tersebut. Seboleh-bolehnya tidak perlu menunggu lama, hatta untuk singgah ke neraka sekalipun tidak mahu. Sedang kita sudah ketahui, ukuran lama di dunia, di akhirat lamanya berlipat ganda.

Ironinya, di atas dunia ini sudah ditunjukkan kepada kita bahawa apa yang ada di sekeliling kita memberi pertunjuk serta ingatan kepada suasana serta nasib kita di akhirat kelak.

Saya berdoa moga traffic light kita di akhirat sentiasa hijau.

Soalannya, apa yang telah telah dan sedang kita siapkan untuk ke sana?

Kepada Allah, saya mohon perlindungan.

Tuesday, February 14, 2017

Ziarah Al-Aqsa

Masjidil Al-Aqsa punya tarikan yang tersendiri dan saya punya sebab tertentu untuk kembali ziarah. Dek kerana Al-Aqsa, saya mempercepatkan cuti tanpa gaji saya seminggu lebih awal. 

Semuanya tidak dirancang. Namun ketentuan Allah sememangnya begitu. Kembali ke tanah barakah tersebut membawa saya kepada beberapa perkara yang tidak dapat saya laksanakan ziarah terdahulu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui isi hati hamba-hambaNya, maka jalan tersebut sekali lagi dibuka.




Ketika kami melangkah masuk ke dalam Al-Aqsa azan maghrib berkumandang. Kami terpaku melihat cahaya merah di kaki langkit yang sungguh mempesonakan.

Kali ini musim sejuk baru menjengah. Saya yang tidak betah dengan kesejukkan, menyediakan kelengkapan yang secukupnya. Selain keinginan untuk kembali bertandang, saya juga ditemani seorang teman yang kami masing-masing tidak merancang. Gembira bukan kepalang. Mana tidaknya, musafir sebegini, bersama teman yang telah kenali lebih menyeronokkan.

Cabaran memasuki sempadan sentiasa diberi perhatian utama. Kelulusan visa yang tidak mudah serta terpaksa melalui 6 check-points dengan pelbagai kerenah pihak imigresen, menyebabkan proses mengambil masa yang agak lama dan sangat meresahkan.

Kami memasuki Palestine menerusi Amman, Jordan. Antara pintu masuk yang kerap dijadikan pilihan untuk ke al-Aqsa.

Palestine dan Baitul Maqdis terutamanya punya pelbagai cerita. Sejarahnya yang panjang serta pergolakkan yang seakan tiada penghujungnya menjadikan ia sangat istimewa kepada sesiapa sahaja terutamanya orang islam. Namun bukan itu yang saya mahu coretkan di sini.

Bercuti atau melancong pasti punya sebab kenapa kita mahu lakukannya. Sepotong hadis dari Rasulullah.


“Janganlah memaksakan (berusaha keras) mengadakan perjalanan kecuali pada tiga masjid, Masjidil Haram, Masjid Rasul saw, dan Masjid Al Aqsha” (Shahih Bukhari)

Nah! Hadis ini sudah cukup menjadi sebab mengapa perlu ke sana.


Sentiasa menggamit pengunjung ke sana. Bagi muslim, pastinya untuk sujud di dalamnya.


Masjid utama.



Suasana di dalam masjid utama.
Secara peribadi, hanya 3 tanah suci ini yang saya mahu saya ulang kunjungi. Bukan seperti negara-negara lain yang pernah saya lawati. Hatta, ketika dibawa melawat ke Tel-Aviv, saya juga tidak mahu lagi ke sana. 
Di Al-Aqsa saya melihat penduduknya bersusah-payah bersolat di masjid. Waktu subuh dengan jelas saya melihat warga palestine berlari-lari mahu menyertai solat jemaah. Meski pintu masjid di kawal oleh tentera israel, namun itu bukan penghalang. Saya mahu mencari itu di negara sendiri, namun belum ketemu. 

Beginilah keadaan salah satu pintu masuk ke masjid Al-Aqsa. Bertutup rapi serta dikawal askar isreal. Ia dibuka kira-kira sejam sebelum azan subuh. Lihatlah warga palestine sudah pun menunggu pintu dibuka untuk bersolat di dalamnya.

Saya juga melihat masyarat palestine sentiasa memberi salam hatta kepada orang yang tidak dikenali. Perkara ini menjadikan seolah-olah saya berada dalam kelompok masyarakat dan keluarga sendiri. 
Saya teringat kata-kata seorang warga Palestine. 
"This is your land!"
"This is your home!"
Kedatangan kaum muslim ke al-Aqsa sangat diraikan. Kaum muslim datang pasti untuk solat di dalam al-Aqsa dan itu sudah cukup menggembirakan mereka.

Setiap kita punya tanggungjawab ke atas al-aqsa. Biarpun tidak mampu mengangkat senjata melawan pihak kuffar, maka ziarahlah dengan nikmat rezeki yang ada. Biarpun sukar, namun hanya Allah yang berhak membenarkan siapa yang wajar berada di sana.




Antara yang terdapat di dalam Dome of Rock. Masjid kubah emas.

Bersolat di dalamnya nikmat. Berdoa di atas bumi yang dikatakan barakah itu cukup mengujakan. Menjejaki tempat-tempat yang pernah di duduki oleh para nabi dan anbia, cukup menjadikan ia bumi yang terus dirindui.

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (1) - Al-Isra'.

Mudah-mudahkan bumi Palestine bebas jua satu hari nanti. Jangan tunggu waktu itu, namun usahakanlah untuk ke sana bermula sekarang.
Related Posts with Thumbnails