Tuesday, April 11, 2017

Catatan Di Pusara Bonda



Ayah membaca tahlil yang ringkas. Saya tidak mengikut sangat, sekadar memerhati kubur mak yang menjangkau lebih 13 tahun. 

Asalnya nak bersihkan sedikit rumput yang ada, tapi saya biarkan selepas teringat tumbuhan di atas kuburan boleh mengurangkan azab kubur. Pun begitu saya yakin mak sejahtera di sana.

Saya lihat wajah ayah semakin berubah. Bacaannya seperti orang menangis. Mungkin rindu pada emak. Saya membiarkan sahaja dan terus memerhatikan pangkal nesan yakni di mana muka mak mengadap kiblat.

Kemudian ayah membaca doa. Saya turut mengaminkan. Namun perasaan saya masih kosong sebab emak sudah lama tiada.

Sehinggalah ayah membaca beberapa potong ayat dari surah al-fajar. Tatkala itu , tiba-tiba saya mahu menjadi sebahagian yang ayah sebutkan itu.

'Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu, dan masuklah ke dalam syurga-Ku.' ~ Al-Fajar 27-30.

Sejurus habis doa, ayah terus berlalu pergi. Namun saya masih tercegat di kaki kubur emak. Saya lihat saya yang akan pergi juga satu hari nanti. Mendiami kubur seperti penghuni kubur yang lain.

Lama saya berdiri. Subhanallah...waktu itulah doa yang sebenar terungkap keluar. Allahuakbar.

Selepas itu saya beredar ke kubur Wan. Membaca beberapa potong ayat. Namun saya sempat mengerling ke kubur emak. Seakan terlihat mak sedang memerhatikan saya.

Itu secebis kenangan yang paling mahal ayah tinggalkan buat saya. Benar. Itu adalah kali terakhir kami menziarahi kubur emak bersama-sama.

Kini ayah telah kembali ke rahmatullah. Menyertai emak di alam barzah.

Namun sepotong ayat yang ayah telah baca itu membuatkan saya bersungguh-sungguh menghafalnya dan mengulang baca di saat paling rindu kepada keduanya.





1 comment:

Anonymous said...

semoga mereka ditempatkan di kalangan yang beriman dan diangkatkan darjatnya di sisi Allah swt.

Related Posts with Thumbnails