Tuesday, February 14, 2017

Ziarah Al-Aqsa

Masjidil Al-Aqsa punya tarikan yang tersendiri dan saya punya sebab tertentu untuk kembali ziarah. Dek kerana Al-Aqsa, saya mempercepatkan cuti tanpa gaji saya seminggu lebih awal. 

Semuanya tidak dirancang. Namun ketentuan Allah sememangnya begitu. Kembali ke tanah barakah tersebut membawa saya kepada beberapa perkara yang tidak dapat saya laksanakan ziarah terdahulu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui isi hati hamba-hambaNya, maka jalan tersebut sekali lagi dibuka.




Ketika kami melangkah masuk ke dalam Al-Aqsa azan maghrib berkumandang. Kami terpaku melihat cahaya merah di kaki langkit yang sungguh mempesonakan.

Kali ini musim sejuk baru menjengah. Saya yang tidak betah dengan kesejukkan, menyediakan kelengkapan yang secukupnya. Selain keinginan untuk kembali bertandang, saya juga ditemani seorang teman yang kami masing-masing tidak merancang. Gembira bukan kepalang. Mana tidaknya, musafir sebegini, bersama teman yang telah kenali lebih menyeronokkan.

Cabaran memasuki sempadan sentiasa diberi perhatian utama. Kelulusan visa yang tidak mudah serta terpaksa melalui 6 check-points dengan pelbagai kerenah pihak imigresen, menyebabkan proses mengambil masa yang agak lama dan sangat meresahkan.

Kami memasuki Palestine menerusi Amman, Jordan. Antara pintu masuk yang kerap dijadikan pilihan untuk ke al-Aqsa.

Palestine dan Baitul Maqdis terutamanya punya pelbagai cerita. Sejarahnya yang panjang serta pergolakkan yang seakan tiada penghujungnya menjadikan ia sangat istimewa kepada sesiapa sahaja terutamanya orang islam. Namun bukan itu yang saya mahu coretkan di sini.

Bercuti atau melancong pasti punya sebab kenapa kita mahu lakukannya. Sepotong hadis dari Rasulullah.


“Janganlah memaksakan (berusaha keras) mengadakan perjalanan kecuali pada tiga masjid, Masjidil Haram, Masjid Rasul saw, dan Masjid Al Aqsha” (Shahih Bukhari)

Nah! Hadis ini sudah cukup menjadi sebab mengapa perlu ke sana.


Sentiasa menggamit pengunjung ke sana. Bagi muslim, pastinya untuk sujud di dalamnya.


Masjid utama.



Suasana di dalam masjid utama.
Secara peribadi, hanya 3 tanah suci ini yang saya mahu saya ulang kunjungi. Bukan seperti negara-negara lain yang pernah saya lawati. Hatta, ketika dibawa melawat ke Tel-Aviv, saya juga tidak mahu lagi ke sana. 
Di Al-Aqsa saya melihat penduduknya bersusah-payah bersolat di masjid. Waktu subuh dengan jelas saya melihat warga palestine berlari-lari mahu menyertai solat jemaah. Meski pintu masjid di kawal oleh tentera israel, namun itu bukan penghalang. Saya mahu mencari itu di negara sendiri, namun belum ketemu. 

Beginilah keadaan salah satu pintu masuk ke masjid Al-Aqsa. Bertutup rapi serta dikawal askar isreal. Ia dibuka kira-kira sejam sebelum azan subuh. Lihatlah warga palestine sudah pun menunggu pintu dibuka untuk bersolat di dalamnya.

Saya juga melihat masyarat palestine sentiasa memberi salam hatta kepada orang yang tidak dikenali. Perkara ini menjadikan seolah-olah saya berada dalam kelompok masyarakat dan keluarga sendiri. 
Saya teringat kata-kata seorang warga Palestine. 
"This is your land!"
"This is your home!"
Kedatangan kaum muslim ke al-Aqsa sangat diraikan. Kaum muslim datang pasti untuk solat di dalam al-Aqsa dan itu sudah cukup menggembirakan mereka.

Setiap kita punya tanggungjawab ke atas al-aqsa. Biarpun tidak mampu mengangkat senjata melawan pihak kuffar, maka ziarahlah dengan nikmat rezeki yang ada. Biarpun sukar, namun hanya Allah yang berhak membenarkan siapa yang wajar berada di sana.




Antara yang terdapat di dalam Dome of Rock. Masjid kubah emas.

Bersolat di dalamnya nikmat. Berdoa di atas bumi yang dikatakan barakah itu cukup mengujakan. Menjejaki tempat-tempat yang pernah di duduki oleh para nabi dan anbia, cukup menjadikan ia bumi yang terus dirindui.

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (1) - Al-Isra'.

Mudah-mudahkan bumi Palestine bebas jua satu hari nanti. Jangan tunggu waktu itu, namun usahakanlah untuk ke sana bermula sekarang.

No comments:

Related Posts with Thumbnails