
Subhanallah!
Segala puji-pujian milik Allah. Segala puji dan puja milik-Mu jua ya Allah.
Apabila manusia menabur puji-pujian kepada kita, aduhai itu semua bukanlah milik kita. Kita tak punya apa-apa dan pujian tersebut tak seharusnya menjadi milik manusia yang sifat kejadian serba lemah dan serba tidak mampu. Dan manusia hanyalah sekadar meminjam sedikit pemberian Allah. Atas keizinan serta kemurahan-Nya, Tuhan yang maha memiliki.
Jika sedemikian, kenapalah kita terlalu mendambakan pujian manusia dalam kehidupan ini. Apa yang dilakukan, kita mahu pujian. Kita suka dengan pujian dan kita rasa tak senang jika tak menerima pujian. Dan itulah antara resam dan sikap manusia. Oppss…kita rasa cemburu bila pujian ditabur kepada orang lain.
Cintakan pujian ini, satu penyakit.
Bagaimana keikhlasan kita dalam apa yang kita lakukan. Apakah niat atau apa sebenarnya yang kita mahukan. Mahukan penilaian seorang yang bernama manusia atau meletakkan semuanya hanya kerana Allah, meski tiada siapa pun tahu sebab musabab kita melakukan satu-satu perkara.
Jika kita menetapkan satu pendirian bahawa apa jua yang kita lakukan kerana amanah, tanggungjawab atau dalam usaha mencari redha Allah, maka soal pujian manusia itu tidak akan sesekali wujud di dalam diri kita. Apa jua nilaian manusia tidak lagi penting. Tak perlu kita susah payah mencanang tentang perkara yang telah kita lakukan. Cukuplah semua itu menjadi rahsia antara kita dengan Allah, tuhan yang maha halus penilaian-Nya.
Menolak pujian adalah satu cara membebaskan hati dari belenggu yang sentiasa mahukan pengiktirafan manusia. Apabila mahu pengiktirafan manusia, ia pasti tak berkesudahan dan kita akan sentiasa tidak pernah puas atau juga tidak pernah berasa cukup.
Walhal jika kita berusaha melakukan sebaik yang mampu, dengan niat semuanya kerana mencari keberkatan, rahmat serta redha Allah, insya-Allah, hati kita akan bebas sebebasnya. Tiada belenggu yang meracun hati. Dan juga lebih parah belenggu yang sering mengundang tekanan.
Apabila niat kita betul dan bersandar semuanya kepada Allah, ia adalah asbab menggamit ketenangan dalam hidup ini. Meski pujian itu satu ‘gula-gula’ yang meningkatkan tahap diri, namun lebih utama untuk kita menyelidiki kenapa kita mahukan pujian manusia.
Ironinya, pujian manusia itu bukanlah satu perkara yang menjadi keperluan. Hati kita perlu dididik. Segala apa jua niat kita dalam apa yang kita lakukan perlu diperbetulkan jika sebab-musababnya selain dari redha Allah.
Bukankah dengan niatlah apa yang dilakukan ditentukan nilainya di sisi Allah. Raihlah ketenangan hidup dengan meletakkan segala niat bahawa apa jua yang kita lakukan hanyalah kerana Allah.
Amat benar. Segala puji-pujian semuanya milik Allah semata.














