Pokok jambu madu antara tanaman yang turut ditanam lebih 10 tahun yang lalu. Saya dapati ia berbunga dan berbuah juga. Tapi gugur seawal ketika berbunga atau ketika sedang berputik. Saya tak kisah sangat dan tidak berusaha untuk membaja atau apa jua untuk menjadikan subur.
Namun niat menanam itu terus ada. Mahu menjadikan apa jua yang dapat dimanfaatkan oleh burung-burung yang kerap singgah di dahannya serta mematuk apa jua yang boleh dijadikan makanan. Mudah-mudah itu antara kebajikan yang menjadi sebahagian catatan buat diri yang serba daif ini.
Kebelakangan ini, saya dapati buahnya bertahan lebih lama. Maknanya saya sempat melihat buah berubah kemerah-merahan, meskipun saiznya tidak sebesar yang terdapat di gerai-gerai buah.
Pagi ini saya sangat teruja. Buah-buahnya sangat merah dan menarik selera sekali. Ok…sebentar lagi saya nak petik dan merasa.
Benar niat saya yang asal mengatasi keinginan saya. Sebelum sempat saya memetiknya, saya melihat seekor burung kelicap penuh selera mematuk buah yang paling ranum. Subahanallah… Terdetik di dalam hati, biar ia kekenyangan dan bukankah itu yang saya telah niatkan.
Benar sekali. Yakni kita dipertemukan dengan apa yang telah kita niatkan.
0 comments:
Post a Comment