Monday, February 20, 2012

Lisan

Aduhai lisan! Aduhai mulut! Aduhai lidah!

Apa yang lisan kita zahirkan adalah apa yang berada di dalam hati. Ia tidak dapat dipisahkan. Lisan atau percakapan kita menggambarkan siapa diri kita. Bagaimana keadaan hati kita.

Lisan jua banyak mengundang kecelakaan kepada si pemilik lisan tersebut. Jika kita mencela atau berkata tentang keburukan orang lain, menabur fitnah atau membuka aib orang lain, itu adalah satu dosa. Jika kita mempersendakan atau memperkecilkan orang lain juga antara sifat yang tidak baik. Malah yang paling kerap kita dengar, mengumpat itu satu dosa dan wajib kita jauhi.

Mengumpat atau bergossip atau apa jua yang setaranya sukar sekali dibendung. Ia disalut keenakkan dan perisa dalam perbualan harian. Seolah tiada topik lain boleh dibualkan selain bercerita tentang orang lain. Tentang perkara yang kurang pasti ketepatannya. Sekalipun tepat, ia masih jatuh kategori mengumpat. Jika tidak benar, ia jatuh pula dalam kategori fitnah. Astagfirullah!

Maka secara mudah, memperkatakan tentang orang lain bukanlah pilihan.

Pernahkah kita mendengar perihal menjadi muflis di akhirat kelak? Muflis apabila segala kebajikan atau pahala yang kita lakukan di dunia ini berpindah kepada orang-orang yang pernah kita umpat. Dan dosa-dosa mereka berpindah pula kepada kita. Bagaimanakah perasaan kita tentang hal ini. Adakah kita merasa jaminan bahawa kita bakal selamat dengan sikap dan perilaku kita di dunia ini. Tentang lisan kita yang tidak kita kawal dan bebas berkata-kata tanpa menghiraukan kesannya. Aduhai...

Mengawal lisan ini punya mujahadah yang amat tinggi. Seorang alim berkata bahawa ia mengambil masa 10 tahun untuk mendidik lisannya ( dari sebuah buku yang sedang saya baca ).

Inilah satu hakikat, yakni lisan ini antara perkara yang sangat sukar dikawal. Memikirkan tentang menjadi muflis di akhirat kelak, cukup menakutkan. Dan sebenarnya tiada pilihan lain selain mengawal lisan kita. Menjauhi sikap mengumpat, memperkatakan tentang orang lain dan sehabis mampu mengawal setiap perkataan yang kita ucapkan.

Jika kita kata lisan dan hati adalah dua perkara yang berbeza. Jelas itu tidak benar. Lisan menzahirkan apa yang tersirat di dalam hati. Jika selama ini kita tidak begitu mengawal lisan, maka perlu diselidiki hati kita ini.

Hati ini perlu dijaga dan dipelihara. Agar apa yang dizahirkan oleh lisan kita tidak sekali-sekali menjadikan kita muflis di akhirat kelak.

Berhati-hatilah. Sesungguhnya semua ini ingatan buat diri saya sendiri jua.

Kepada Allah saya mohon dikurniakan lisan yang baik-baik sahaja.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails