Sunday, February 19, 2012

Fesyen

Ketika menghabiskan hujung minggu dengan window shopping di sebuah pusat membeli-belah, saya asyik memerhatikan fesyen yang dikenakan kaum wanita, adik-adik serta gadis-gadis melayu. Fikiran saya menerawang jauh. Perasaan saya bercampur-baur.

Ya…saya acapkali mendengar keluhan tentang fesyen anak gadis masakini. Aduh! Tidak sampai hati mahu menulis apa yang diperhatikan. Namun bahasa mudah, kegawatan dunia fesyen telah sedikit demi sedikit mendedahkan sebahagian besar tubuh badan gadis-gadis melayu, insya-Allah yang beragama islam sebab mereka masih mengenakan tudung di kepala.

Aduhai..Ada rasa sedih menjalar di sudut hati. Saya teringat kepada ahli keluarga dan kaum kerabat saya sendiri. Berdoa agar semuanya terpelihara dan mampu menjaga akhlak dalam keghairahan berfesyen. Yang paling utama menepati syariat yang menjadi asas dalam berpakaian bagi kita kaum muslimah.

Jika mahu menyalahkan anak-anak gadis ini, adalah juga tidak wajar. Saya fikir, ia berkaitan dengan salah kita sendiri. Kita sendiri gagal mendidik. Apa yang kita lihat adalah refleksi asuhan kita kepada gadis-gadis ini.

Walau apa pun peranan kita, tugas mendidik, berdakwah, memberitahu dan menegur tak pernah luput dari menjadi sebahagian dari tanggungjawab yang perlu digalas. Paling mudah, kita mesti terlebih dahulu menunjukkan contoh. Sebab memberi teguran bukanlah mudah. Tak ramai yang punya kekuatan itu. Sekadar uzlah di dalam sahaja. Termasuklah saya. Selemah-lemah iman!

Ironinya, generasi masakini gambaran generasi akan datang. Saya yakin, kita semua sangat menyayangi generasi ini. Mereka adalah kaum wanita yang bakal menjadi seorang ibu dan pendidik yang terdekat kepada generasi seterusnya.

Mudah-mudah, catatan yang kecil ini, punya makna. Yakni, untuk kita semua saling berganding bahu menunjukkan contoh yang baik untuk diikuti. Insya-Allah…

Ya Allah, selamatkan anak-anak gadis kami dari hanyut dengan dunia fesyen yang bukan milik kami. Peliharalah diri kami dengan sifat malu dan tutupilah aurat kami.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails