‘Eh!...lelaki tu bukankah orang besar-besar PAS?’ tatkala saya melihat seorang lelaki berserban menyampaikan hadiah kepada para pemenang.
‘Memang pun. Ini program orang PAS’ jawab perempuan yang baru saya kenali itu dengan riak muka yang bangga. Ibu saudara saya memperkenalkan wanita yang bertudung labuh itu sebagai ustazah.
Cuaca yang panas tidak sesekali menjadikan bilangan pengunjung ke majlis yang bakal dihadiri oleh Ustaz Azhar Idrus sedikit. Saya yang kebetulan balik kampung, menemankan ibu saudara ke program ceramah di pekan yang berhampiran.
Nama Ustaz Azhar Idrus bukanlah asing di Trengganu, cuma saya tidak pernah menghadiri mana-mana ceramah beliau. Kalau mendengar di CD, itu pun sekali-sekala sahaja. Itupun pemberian orang.
Tapi saya tahu fenomena beliau dahsyat. Katanya pengunjung yang hadir di ceramah-ceramah beliau cecah puluhan ribu.
Sebaik kami sampai, berpuluh-puluh kereta di kaki jalan. Sungguh ramai. Saya kagum. Dalam diam bersyukur juga sebab ramai yang mahu hadir majlis seperti ini.
Saya dan ibu saudara meredah ratusan atau mungkin ribuan manusia. Mencari ruang-ruang di bawah khemah. Maklumlah cuaca panas. Kami tak mampu nak tahan.
Saya asyik memerhatikan gelagat manusia. Benar dari gaya berpakaian para pihak pengurusan, ia program parti politik. Saya ambil kesempatan menukar kawasan mengundi di kaunter yang disediakan . Namapun politik, bila saya nyatakan untuk tukar kawasan, hal itu pun dikatakan sebahagian strategi politik pula. Emmm…
Sebaik diumumkan ketibaan Ustaz Azhar, orang ramai berkumpul menyambut beliau. Pergh! Kalah celebriti terkenal. Beliau dikawal ketat oleh para petugas sehingga dipapah untuk ke pentas utama. Orang ramai macam tak terkawal mengerumuni dan merakamkan gambar beliau. Saya kagum betul . Maka memang betullah yang Ustaz Azhar ramai peminatnya. Gerun pun ada juga. Manalah tahu kalau ada yang jatuh pengsan pula di bawah terik matahari jam 12 tengahari.
Tajuk hari itu Soal Jawab Bersama Ustaz Azhar Idrus. Maka beliau akan menjawab soalan-soalan yang telah dikumpul oleh para petugas.
Saya tidak pula menumpukan perhatian sangat tentang hal yang dibicarakan. Saya ralit melihat ramainya pengunjung ke majlis itu. Cuaca panas bagai bukan penghalang. Ada yang berdiri hanya menutup kepala dengan suratkhabar. Sedikit pun tidak berundur dan ramai pula mengambil peluang sehampir mungkin dengan beliau.
Sekali-sekala mereka ketawa. Ustaz Azhar pandai menarik perhatian ramai dengan jenaka-jenaka yang boleh diterima ramai. Slang trengganu beliau agak jelas. Peliknya saya yang tinggal di trengganu ini, tak sangat memahami. Ibu saudara pula menjadi pengulas. Hehehe…
Masa berlalu pantas. Usai satu jam, beliau bergegas ke destinasi seterusnya. Sebaik mengajak orang ramai bertakbir, sekali lagi suasana tidak dapat dikawal. Orang ramai mengerumuni beliau. Sehingga pihak petugas terpaksa mengawal keadaan dan memastikan beliau selamat dan beliau dikawal ketat sehingga ke kereta. Selesai!
Saya termanggu-manggu. Tiada jamuan ringan dan Ustaz terus pula ke destinasi ceramah yang seterusnya. Aduh! Sibuknya seorang pendakwah seperti beliau.
Cuma satu soalan sahaja yang dikupas Ustaz membuatkan saya berfikir-fikir. Cerita beliau mengingatkan saya tentang Sultan Salahuddin Al-Ayubi dan Sultan Muhamad Al-Fateh.
Cerita beliau, dua orang rakyat Malaysia memohon menjadi pejuang Muhajidin di Chenya. Kedua-duannya pemohon ditolak kerana mereka tidak istiqamah menunaikan solat berjemaah. Itu sahaja!
Lalu saya membuat kesimpulan…
Untuk menjadi benar-benar seorang pejuang, diri kita perlu kuat. Secara mudah, kita jadi kuat hanya dengan kita terlebih dahulu berjaya beristiqamah soal-soal ibadat yang rutin. Untuk lelaki pastinya istiqamah solat jemaah di mana azan dilaungkan untuk setiap solat fardhu. Mampu istiqamah berpuasa sunat, solat malam serta solat-solat sunat mengiring waktu. Jika itu terlebih dahulu kita mampu lakukan, insya-Allah itulah wacana kekuatan untuk kita berjuang dalam konteks memartabatkan maruah agama islam.
Sama seperti kualiti pejuang-pejuang yang pernah ada di zaman Sultan Salahuddin ketika merampas Baitulmaqdis dan juga Sultan Muhamad Al-Fateh menawan konstantinopel.
Cukuplah itu semua peringatan buat diri kita semua terutamanya diri saya sendiri. Jika mahu berjuang, mulakan dahulu berjuang menawan nafsu diri supaya ampuh beristiqamah.
Walau apapun bidang yang kita ceburi, kita perlu bersungguh dan cemerlang. Mudah-mudahan dengan kesungguhan yang sedemikian, Allah membantu kita mencapai kejayaan dalam apa jua yang kita perjuangkan.
0 comments:
Post a Comment