Wednesday, February 15, 2012

Di Hujung Jalan Itu...

Kita semua dalam satu perjalanan yang tidak diketahui pengakhirannya. Tempoh kita sampai ke destinasi yang memisahkan alam hidup dan kematian itu berbeza-beza.

Sebentar tadi saya baru mengkhatamkan bacaan Quran, Miracle The Reference; 22 dalam satu. Quran ini saya beli beberapa bulan yang lalu dengan harga RM350 ( jika saya tidak salah ). Cukup tebal dan sangat lenguh untuk menatangnya dalam tempoh masa yang agak lama.

Tetapi itu semua bukanlah soal yang sangat besar. Quran sentiasa sentiasa penuh keistimewaan dan sarat dengan mukzijat. Membacanya bukan sekadar terhenti di situ. Ia ulang dan terus diulang selagi mampu dan terdaya. Dengan harapan ia menjadi pedoman kehidupan ini dan jua menjadi sahabat terbaik di alam barzah kelak. Nur yang menerangi alam kubur yang gelap gelita.

Quran ini bagus dan buat saya pula punya kenangan yang sangat sentimental serta tersendiri. Dilengkapi terjemahan, tafsir, doa, hadis dan pelbagai lagi yang menjadikan semuanya 22 dalam satu. Benar Quran ini mukzijat. Di saat saya mencari-cari sesuatu, saya diketemukan ayat Quran yang sangat membantu. Ada beberapa potongan ayat saya telah titipkan dalam blog ini. Ia sebahagian dari ilham. Ya…ilham dari Allah jua. Subhanallah…

Benar sekali kata-kata bahwa jika mahu Allah berkata-kata dengan kita, bacalah Al-Quran. Ia juga sebahagian bisik hati yang dikabulkan. Subhanallah…

Quran mengubat jiwa yang kosong. Jiwa yang disibukkan dengan urusan yang sangat melalaikan hati.

Di hujung seluruh perjalanan ini, urusan-urusan yang melalaikan itu tidak lebih hanya kelekaan dalam perjalanan yang tidak diketahui hujungnya bila. Resah andai kaki tersadung dan lalu jatuh tersungkur. Walhal segala apa jua kepayahan atau badai datang, diri perlu cukup kuat untuk terus menuju ke penghujung jalan itu. Jalan menuju satu destinasi, yakni sebaik-baik destinasi. Pastinya dalam dakapan rahmat dan redha Allah, tuhan yang memiliki seluruh kehidupan ini.

Bila diulit kesibukan dengan urusan dunia sehingga tidak punya kelapangan untuk mengutamakan apa yang paling utama dalam seluruh kehidupan ini, ia buat saya resah seresahnya…

Kepada Allah, saya mohon kelapangan itu.



0 comments:

Related Posts with Thumbnails