
Makna seluruh kehidupan itu, memberi kehidupan kepada yang lain. Itu satu fakta yang kerap kita lupa. Kehadiran kita dan apa jua peranan yang kita lakukan, adalah tentang orang lain, tentang alam dan isinya. Ia bertepatan dengan peranan sebagai khalifah di muka bumi ini. Yakni berupaya memberi satu kehidupan kepada orang lain dan hanyalah mengharapkan kehidupan kita ini kepada Allah kita sandarkan.
Biarlah semua yang kita lakukan di dunia ini kerana Allah. Dengan meletakkan seluruh dan apa jua yang kita lakukan kerana Allah, itu satu kekuatan dan ketenangan yang memenuhi setiap ruang serta detik-detik yang dilalui. Sesuatu yang adakalanya kita sendiri tidka mengerti.
Benar, ia tak semudah seperti yang dinyatakan. Kita perlu bermuhajadah untuk mengekalkan niat yang satu itu.
Dalam tuntutan hidup yang pelbagai kerenah dan cabaran, apa yang terdetik di hati itu adalah sesuatu yang sukar hendak ditepis. Wahai hati…bermuhajadahlah. Bermuhajadahlah demi sebab musabab seluruh kehidupan itu.
Bila diuji dengan cabaran dan keinginan yang menjadikan kehidupan itu satu kelalaian, perlu bermuhajadah untuk mengembalikan semuanya kepada Allah. Menjalani kehidupan itu penuh keikhlasan, melupakan tentang kehendak diri dan mengutamakan sikap mahu memberi kehidupan serta kegembiraan pada orang lain, itu satu hal yang sukar diceritakan.
Yang dicari dalam seluruh kehidupan ini ialah redha Allah. Redha-Nya di dunia, jua redha-Nya di akhirat kelak. Meletakkan keutamaan kehidupan itu pada tempatnya.
Moga-moga apa-apa jua yang dilakukan, biarlah Allah sahaja yang menghitung.
0 comments:
Post a Comment