XPDC Haji
XPDC Haji adalah hasil tulisan Haji Zainal Haji Bujang ( 2012 ). Ia mencatatkan pengalaman penulis kali pertama haji sekitar tahun 1992. Oleh kerana ia ditulis secara travelog, maka ia tak begitu berat dan seronok membaca. Saya diibaratkan membaca sebuah buku cerita.
Pengalaman selama kurang lebih 40 hari dicatatkan sebaik melangkah pergi bermusafiran sehingga kembali semula ke tanah air.
Membaca buku ini menggamit memori ketika jua melalui pengalaman yang hampir sama. Ia membuatkan ada rasa rindu bertandang dan seolah memanggil-manggil untuk kembali mengunjungi. Mudah-mudahan Allah membukakan jalan.
Ironinya, kisah Makkah dan Madinah tak pernah membosan. Meskipun sumber ceritanya pelbagai, pengalaman mereka sentiasa menarik untuk didengari. Itulah kehebatan dua tanah suci islam ini. ‘Aroma’ yang jelas menjadikan ia sukar sekali dilupakan.
100 Kisah Kehidupan
100 Kisah Kehidupan pula adalah hasil kompilasi cerita-cerita kehidupan oleh Sdr Zakaria Sungib ( 2010 ). Ia kisah-kisah benar yang menyentuh, membelai dan menjernihkan jiwa. Menurut penulis mengeluarkan buku ini, hasil inspirasi buku Chicken Soup for the Soul.
Membaca buku ini seolah membaca buku cerita juga. Cerita-cerita pendek dan membuatkan buku ini jadi sangat ringan.
Saya paling tertarik sebuah kisah yang ada di dalam buku ini. Perihal seorang hamba Allah yang memiliki segala. Seorang yang kaya, genius, digilai ramai, pakar dalam ilmu sains dan agama. Malah dikurniakan isteri yang turut memiliki segala seperti beliau. Namun Allah telah menganugerahakn anak-anak yang cacat.
Response beliau apabila ditanya oleh orang lain ialah beliau sangat bersyukur. Lihat apa yang beliau nyatakan.
‘Tetapi Allah mengurniakan aku anak yang sedemikian, membuatkan aku beringat betapa Allah SWT itu lebih tinggi dan lebih berkuasa atas sesiapa sahaja. Setiap kali aku melihat anak-anakku, aku menyedari betapa aku hanya manusia, hamba kepada Allah SWT yang perkasa. Anak-anakku adalah peringatan kasih sayang Allah kepadaku. Aku rasa, Allah menghadirkan mereka dalam kehidupanku untuk menyelamatkan aku daripada takabbur dan memasukkan aku dalam syurga-Nya. Masakan aku tidak bersyukur?’
Jika hari ini kita rasa sombong dengan kurniaan, beringatlah. Sesungguhnya semuanya milik Allah. Kenapa pula kita menjadi orang yang sombong serta membangga-banggakan diri?
Jika hari ini kita diuji dengan kekurangan, bersyukurlah. Hakikatnya, orang yang sabar itu, dibalas oleh Allah dengan sesuatu yang tak mampu kita hitung. Dengan rahmat dan kasih-sayangnya, mudah-mudahan kita kembali kepada-Nya kelak dan dimasukkan kita ke dalam syurga yang kekal abadi.
Selamat Membaca!
0 comments:
Post a Comment