Sunday, January 15, 2012

Sebesar Zarah

Surah Al-Zalzala, ayat 7 ~ 8.

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (7) Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! / (8)

Kadang-kala kita terlepas pandang menilai kebajikan yang sangat kecil. Yang tidak begitu signifikan. Kita cuma nampak perkara-perkara yang besar sahaja. Walhal setiap apa yang kita usahakan tiada satu pun yang terlepas pandang. Semuanya dicatatkan oleh malaikat Munkar dan Nakir di dalam buku amalan kita. Semuanya dinilai Allah.

Dalam usaha kita memperbanyakkan amalan-amalan yang soleh, hakikatnya kita tidak tahu yang mana satukah diterima Allah. Diterimakah? Soalan yang tiada siapapun punya jawapan atau kepastian.

Kita juga tidak tahu amalan atau perbuatan yang manakah berupaya meraih rahmat Allah untuk kita berada di dalam syurga. Ia mungkin satu kebajikan yang sangat kecil. Dan hanya Allah sahaja punya jawapan kenapa ianya diterima.

Soal kebajikan ini tidak boleh kita pandang enteng. Contoh mudah, kita sewajarnya cuba untuk sentiasa menghormati hak orang lain. Misalnya, apabila kita meletakkan kereta kita dalam keadaan kita turut memberi keselesaan kepada kenderaan lain. Tidak mementingkan diri sendiri. Apabila makan di restoran meninggalkan kerusi dalam keadaan yang kemas. Menutup lampu ketika kita tidak berada di dalam bilik meskipun bayaran bil tersebut bukan di atas tanggungjawab kita. Memberi makan kepada kucing yang sesat di hadapan rumah. Malah jika saya terus catatkan, terlalu banyak kebajikan yang boleh kita lakukan.

Namun kita terlalu melihat kebajikan berada dalam lingkup ibadah-ibadah wajib serta sunat yang bersangkut-paut dengan agama. Walhal islam itu adalah satu cara hidup yang setiap apa kita lakukan dinilai dan setiap saat yang kita lalui boleh menjadi ibadah jika niat kita menepati ciri-ciri ibadah. Yakni melakukan sesuatu atas rasa kasih dan amanah yang sebagai khalifah di muka bumi. Amanah untuk mengimarahkan muka bumi ini sebaik-baiknya.

Jangan pinggirkan kesempatan dalam hidup ini. Terlalu banyak perkara yang boleh kita lakukan. Bukanlah magnitudnya menjadi pengukur. Yang paling utama kemahuan kita menjadikan akhlak yang baik itu sebagai pakaian diri. Kerana kita tidak pernah tahu, kebajikan yang manakah boleh membawa kita ke syurga. Mungkinkah yang sangat kecil itu. Yang hanya sebesar zarah.

Usahakanlah. Usahakanlah untuk melakukan kebajikan meskipun ianya sangat kecil dan tidak kelihatan di mata manusia. Yakinlah di sisi Allah semuanya dinilai. Mudah-mudahan kebaikan yang kita usahakan memadamkan dosa-dosa yang ada.

Sesungguhnya ini semua peringatan buat diri saya jua….

Kepada Allah saya memohon ampun atas apa yang saya catatkan ini.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails