Friday, January 27, 2012

Putus Asa Bukanlah Sifat Orang Muslim

Ayah saya pernah memberi nasihat kepada saya ‘Jangan putus asa’. Saya tak pasti perkara apakah yang dimaksudkan beliau tetapi ia satu hakikat yang perlu saya pegang kuat dalam apa jua mehnah hidup yang mendatang.

Putus asa. Ramai antara kita mudah berputus asa apabila apa yang diusahakan atau diharapkan menemui jalan buntu. Lebih-lebih lagi setelah kita meletakkan usaha yang difikirkan sehabis-upaya atau meletakkan harapan setinggi-tingginya. Namun tatkala ditakdirkan kita tak perolehi, gagal atau impian hancur berkecai, semangat kita hilang begitu sahaja.

Siapa yang tak pernah jatuh. Jatuh dalam kehidupan yakni diuji atas perkara-perkara yang sukar untuk kita hadapi. Soalnya bukan bagaimana kita jatuh, tetapi bagaimana kita bangun semula.

Andai kita berputus asa, maka kita terus dalam kedudukan jatuh. Walhal jika kita masih ada keyakinan yang kuat serta menidakkan sifat putus asa, maka kita sangat mampu untuk bangun semula. Bukan sekadar bangun malah turut mampu berdiri lebih tinggi dari sebelumnya.

Sebagaimana dinyatakan dalam Al-Quran, berputus asa bukan sifat seorang muslim.

‘Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.’ ~ Surah Yusuf.

Jadi buanglah jauh-jauh sikap mudah berputus asa. Bangunlah dari apa jua ‘kejatuhan’ yang kita alami. Kerana rahmat Allah maha luas. Jika dahulu kita pernah jatuh, ia bukanlah selama-lamanya. Dengan usaha dan keyakinan yang kuat kepada Allah, kita mahu menempah kejayaan yang mungkin tak terfikir oleh kita. Yakinlah hal itu.

Amat benar. Putus asa bukanlah sifat orang muslim.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails