Monday, January 23, 2012

Mereka Buat Saya Menangis

Gadis Bertudung Merah

Dari cermin ofis berkenaan, saya melihat kelibat seorang yang saya kenali tetapi sedikit berlainan. Tudung merah yang dikenakan, membuatkan saya berfikir-fikir. Dia pakai tudung. Bisik hati saya berkali-kali. Sudah hampir 3 tahun lebih saya akan ke ofis berkenaan untuk satu urusan berkala. Dan saya mengenali sebahagian besar staf di situ. Begitu jua mereka mengenali saya.

Hati saya semerta sebak. Seakan mahu menitiskan airmata. Gadis yang kelihatan agak moden itu memilih untuk menyembunyikan rambutnya yang cantik panjang mengurai. Saya yang sedikit tiada mood pagi itu, tiba-tiba begitu teruja. Begitu gembira.

Sebaik melihat memandang kepadanya, saya terus memuji-muji. ‘Amboi cantiknya orang itu’ ulang saya berkali-kali. Dia cuma senyum sedikit sahaja dan terus sibuk dengan urusan kerja beliau. Tidak melayan sangat pujian saya yang tinggi melangit itu. Saya faham karaktor beliau. Saya juga tahu beliau bukan orang yang banyak cakap atau orang yang mudah tersenyum. Tapi saya juga tahu beliau punya senyuman yang sangat manis.

Sebetulnya, saya ingin menyatakan bahawa saya sangat gembira dan bersyukur. Mahu memeluknya. Mahu dia tahu bahwa saya sangat gembira dengan perubahan yang dipilih. Walaupun saya tahu saya mungkin tiada kaitan dalam episod penghijrahannya itu.

Hakikatnya, saya tidak berupaya melakukan dalam suasana yang sibuk pagi itu. Atau juga ia kelihatan agak ‘over’!

Diam-diam saya menahan airmata gembira yang seakan mahu tumpah. Hehehe..Kena kontrol sikit, walaupun payah jugak.

Hajat Anak

Pagi itu saya asyik mendengar radio IKIM ketika memandu ke tempat kerja. Kisah yang dikongsi oleh Ustazah Norhafizah Musa sangat menyentuh hati.

Menurut beliau, ketika beliau terlibat dengan program motivasi pelajar-pelajar remaja, beliau didatangi sekumpulan pelajar perempuan linkungan umur 12 tahun.

Pelajar-pelajar itu datang mengeliling meja beliau. Seorang pelajar mohon didoakan oleh ustazah supaya beliau mendapat 5A. Lalu ustazah menjawab insya-Allah. Masih belum berpuashati, pelajar berkenaan minta ustazah doakan sebab kalau beliau dapat, ibunya akan memberikan hadiah istimewa kepadanya.

Lalu ustazah bertanya, hadiah istimewa apakah yang dijanjikan oleh ibunya. Basikalkah? Atau makan angin? Dan apa jua yang menjadi keinginan kanak-kanak sebayanya.

Jawab pelajar perempuan tersebut, hadiah yang dimaksudkan itu ialah ibu beliau akan memakai pakaian menutup aurat serta memakai tudung. Subhanallah…

Tambah pelajar perempuan itu lagi, dia yakin boleh mendapat 5A, tapi mohon ustazah memdoakan agar ibunya benar-benar menutup aurat.

Tanpa berlengah-lengah, serta-merta ustazah mengangkat tangan berdoa dan diaminkan oleh pelajar-pelajar perempaun yang ada bersama beliau ketika itu.

Saya sangat tersentuh. Tanpa dapat ditahan-tahan, saya menangis. Sesungguhnya di dunia ini ada anak-anak yang sangat berjiwa besar. Yang mengharapkan ibu-bapanya menjadi hamba-Nya yang patuh kepada tuntutan Allah. Kisah itu betul-betul membuatkan saya menangis dan terus menangis.

Sebaik memasuki pagar ofis, saya mengesat sisa-sia airmata yang membasahi sebahagian besar wajah saya.

Subahanallah…

Aduhai…Sesungguhnya mereka benar-benar buat saya menangis pagi itu.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails