Saturday, January 7, 2012

Lebih Banyak Mendengar

Saya ada terbaca sebuah artikel mengenai kemahiran berkomunikasi bermula dengan mendengar. Menurut penulis, kita perlu mendengar, mendengar dan mendengar sebelum kita berkata-kata. Hatta ulama, terdahulu adakala menjawab tidak tahu lebih banyak berbanding menjawab persoalan yang ditujukan kepada mereka.

Dan saya cuba mempraktikkan hal ini. Cuba lebih banyak mendengar. Emmm….tak mudah!

Anak saudara saya sebaik melihat saya terus bercerita segala hal berkaitan adik-adiknya. Semua perkara yang tidak menyenangkan beliau. Saya hanya membiarkan sahaja dia bercerita. Walaupun fikiran saya menerawang jauh kepada hal lain, saya menyembunyikan hal tersebut dan terus memberikan perhatian kepada beliau. Adoi…panjang sungguh rungutannya. Saya membiarkan sahaja.

Takpelah…diaorang kecil lagi’ saya memberi respon yang pendek sahaja.

Namun masih tak berpuashati, dia terus bercerita, bercerita dan bercerita. Kata mudah, lebih kepada bersungut. Saya jadi pening!

Perkara itu turut berlaku di tempat kerja saya. Pelbagai perkara yang disuakan kepada saya. Komplen, sungutan dan banyak jua seolah mengadu. Saya menggunakan pendekatan yang sama. Cuba mendengar, mendengar dan mendengar. Namun dalam situasi tertekan, saya terlupa pula untuk terus lebih banyak mendengar. Opsss….

Saya fikir, kemahiran mendengar ini perlu dilatih. Perlu dijadikan satu perkara yang dapat dilakukan dengan baik. Dalam situasi tertekan, kita adakala sukar nak memberi tumpuan kepada orang lain. Tanpa sedar sikap kita itu boleh membuatkan orang lain makan hati dan pilih untuk menjauhi diri.

Dalam konteks yang berbeza pula, kita mungkin kurang mendengar sebab kita fikir kita betul atau pandai. Lalu tidak perlu lagi mendengar kata-kata orang lain. Hal ini sangat perlu kita perhatikan. Adakah kita jenis manusia yang merasakan kita lebih hebat dari oarng lain? Manusia yang serba tahu. Tidak boleh ditegur atau tidak boleh mendengar pendapat orang lain?

Jika dikaji secara dalam, cara kita mendengar serta respon kita terhadap orang sekeliling adalah refleksi diri kita.

Kita mungkin dapati bahwa kita bukan pendengar yang baik. Tidak menjadi pendengar yang baik atas sebab-sebab yang perlu kita kenalpasti. Kita perlu kenal diri sendiri. Sikap kita dan bagaimana kita melihat orang lain.

Ironinya, kemahiran mendengar ini perlu diasuh dan diwujudkan ke dalam diri setiap dari kita. Bila mendengar, perlu banyak-banyak menanamkan sifat sabar dan cuba memahami apa yang ingin disampaikan atau apa yang ingin dikongsikan. Seek to understand, then to be understood.

Moga kita saling menemui kesefahaman dengan keupayaan kita untuk saling memahami. Mendengar ini juga sebahagian refleksi sikap saling kasih-mengasihi dengan kemampuan kita untuk saling memberikan perhatian.


0 comments:

Related Posts with Thumbnails