Monday, January 23, 2012

Drama Indonesia

Drama Indonesia bukanlah pilihan saya. Dek kerana terlalu banyak sinetron yang membanjiri stesen TV tempatan, saya menonton sekadar sahaja. Namapun drama. Ada beberapa yang saya kurang setuju. Terutamanya pendekatan yang cuba ditonjolkan. Antaranya aurat pelakon wanita yang sekejab tertutup rapi, sekejab lagi terbuka segala.

Namun petang itu saya sungguh terkesan. Watak seorang lelaki yang pertengahan umur, menunai solat Tahajjud. Usai solat, beliau berdoa. Untuk mana-mana drama, biasanya pelakon akan berdoa dengan suara yang kuat. Kalau berbisik, penonton akan tidak mengetahui apa yang diperkatakan oleh pelakon tersebut. Namapun lakonan.

Dalam doa, beliau menyatakan ucapan terima kasih kepada Allah atas kurniaan-Nya kepada beliau. Betapa syukurnya beliau dengan pemberian Allah itu. Seterusnya menamatkan doa. Itu sahaja!

Tiada meminta-minta perkara yang lain sepertimana doa-doa yang biasa saya fahami.

Saya melihat dengan rasa sungguh terkesan. Beliau solat malam hanya untuk berkata kepada Allah terima kasih, rasa syukur yang teramat sangat. Meskipun ia hanyalah sebuah drama sinetron, ia menyentuh hati kecil saya.

Wah! Inilah makna cinta. Bila bercinta, kita hanya memuji Sang Kekasih tanpa meminta sebarang apapun. Dalam keadaan yang payah, contohnya bangun menunaikan solat malam diketika orang lain lena dibuai mimpi. Malam yang sunyi itu menyaksikan hamba-Nya bercerita dan berbicara hanya kepada Tuhan yang satu.

Ia satu hal yang membuatkan saya belajar untuk lebih banyak memuji Allah berbanding hanya tahu meminta-minta. Walhal andai dihitung, sudah terlalu banyak nikmat yang adakalanya tidak disyukuri.

Kepada Allah saya mohon keampunan.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails