
Saya terbaca sepotong ayat dari sebuah buku yang baru saya beli. Tertera di muka depan…Ironinya, yang sukar itulah manis.
Melihat dalam konteks kehidupan dan menilai segala kesukaran yang telah dilalui, apabila dikenang-kenang, benar semuanya sangat manis. Kini bila diterjemah apa jua kesusahan yang sedang dihadapi, ia seakan meletakkan satu harapan. Harapan bahawa satu hari nanti ia menjadi sesuatu yang manis. Yakni, bukanlah sesuatu yang sia-sia. Ada hikmah dan rahmat kenapa ia diizinkan Allah ianya berlaku. Jika bukan di dunia, pastinya di akhirat buat insan-insan yang berupaya menerima semua itu dengan penuh redha dan sabar.
Ia motivasi atas segala kesukaran yang dihadapi, ia datang bersama harapan. Percaya bahawa seluruh kehidupan ini ada harapan bagi sesiapa yang benar-benar sedar. Insan-insan yang celik mata hati. Insan-insan yang tahu ada Tuhan yang merencanakan kehidupan.
Sebagaimana kepercayaan kita atas asas rukun iman bahwa adanya akhirat. Hari pembalasan atas apa yang kita lakukan di muka bumi ini. Andai kebaikan, pastinya nikmat yang tak tergambar di fikiran menanti. Namun andai dipenuhi dengan dosa, pasti balasannya jua sesuatu yang tak tergambar azab yang menanti. Begitu jua kepercayaan kita atas rukun iman yakni percaya kepada qada’ dan qadar. Semuanya berlaku atas izin Allah yang lebih mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hambaNya.
Maka amat jelas seluruh kehidupan itu harapan. Sesukar mana sekalipun, ia datang dengan jaminan Allah bahawa ianya adalah sesuatu yang mampu kita tanggung. Apa yang dituntut kepada kita terus berpegang teguh kepada rukun iman. Terus berpaut kuat kepada Allah tatkala kita hilang kekuatan untuk terus bertahan. Untuk dekat kepada-Nya serta mengabdikan seluruh kehidupan ini hanyalah kepada Allah, tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang.
Bukankah Allah itu adalah harapan teragung yang semestinya kita letakkan seluruhan kehidupan ini hanyalah kepada-Nya.
Jika hari ini kita susah, ingat bahwa satu hari nanti ianya manis. Juga ingatlah bahwa Allahlah satu-satu harapan serta kekuatan untuk kita harungi semua itu. Maka carilah Dia, dekatilah Dia dan terus-menerus berbicara dengan-Nya. Bersama-Nya kita memaut harapan.
Mudah-mudahan di akhir kehidupan ini, kita ditempatkan dikalangan hamba-hambaNya yang menjadikan dirinya hanyalah musafir di muka bumi ini. Mencintai akhirat mengatasi kecintaan kepada dunia.
Akhirnya, bahagiakanlah diri kita atas jalan yang dicintai Allah. Sesungguhnya kita hanyalah seorang hamba Allah.
0 comments:
Post a Comment