
Dahulu dunia peribadi dan kerjaya saya dirasakan tiada kaitan dengan manusia. Semuanya tentang saya, tentang perkara selain dari manusia. Ianya kepuasan untuk diri sendiri. Bila apa yang dimahukan berjaya dicapai, gembira teramat sangat. Bila gagal, kecewanya juga teramat sangat. Yakni semua itu berkisar tentang diri saya sahaja. Secara mudah, saya terlalu pentingkan diri sendiri!
Kini perspektif itu berubah. Mungkin ia berubah kerana usia saya semakin meningkat atau ia berubah kerana ada keperluan untuk berubah.
Dan kini yang saya sangat pasti, hakikatnya ada keperluan yang membuatkan saya perlu berubah.
Mengikat hubungan sesama manusia bukanlah dengan wang ringgit. Mengikat hubungan sesama manusia ialah keupayaan kita menyentuh jiwa dan hati mereka. Membina hubungan penuh dengan keikhlasan, simpati, ehsan serta kasih yang dizahirkan, satu-satunya kaedah yang gagal diatasi oleh harta dan wang ringgit. Paling mudah, kata-kata yang baik serta penuh pujian sangat disukai oleh fitrah manusia.
Melihat lebih jauh kepada apa jua peranan saya, saya dapati ada jiwa yang perlu dididik. Alahai…Ia bukanlah kepandaian saya. Jauh sekali dari menjadi seorang yang pakar untuk mengubah manusia. Manusia yang serba tidak sempurna ini, tiada daya upaya untuk membentuk manusia lain menjadi manusia yang mahu dekat kepada Allah. Menjadi manusia yang mengutamakan Allah dalam apa jua yang diuruskannya.
Benar. Ia bukanlah dakwah yang tertulis atau dicanang-canangkan. Tetapi ianya menjadi amanah dan tanggungjawab setiap dari kita sesama manusia. Atas rasa kasih- mengasihi, kita perlu menjadi golongan yang saling ingat-mengingati atas jalan kebenaran dan berpesan-pesan atas jalan kesabaran.
Mudah-mudahan usahan yang sedikit ini, diterima Allah menjadi sebahagian dari amalan-amalan yang soleh.
0 comments:
Post a Comment