Saturday, December 31, 2011

Rindu Matahari

Saya merindui matahari!

Kemunculannya pada hari ini menjentik satu kegembiraan yang sukar diceritakan. Yang pasti ia sungguh mengujakan. Langit pula menzahirkan pesona dengan warna kebiruan serta dihiasi tompokan dan gerombolan awan memutih menghiasi dadanya yang luas terbentang.

Benar, matahari itu nikmat, kurniaan Allah kepada sesiapa yang mahu berfikir. Ia sebahagian tanda-tanda kebesaran Ilahi. Allahuakbar…

Matahari memainkan peranan yang sangat besar dalam kehidupan manusia. Setelah musim tengkujuh menjelma beberapa ketika dan kemunculan matahari mencelah-celah antara suasana yang kelam, nyatakan mengubat kerinduan.


Cahayanya menerbitkan rasa gembira, rasa ceria, rasa pesona untuk hari yang bisa dilalui penuh semangat.


Saya juga paling suka melihat dan merasai suasana pagi tatkala matahari baru menunjukkan wajahnya. Dengan kicauan burung yang menyanyi riang dari dahan ke dahan, sungguh menghiburkan. Jika di waktu pagi ketika saya dalam perjalanan menuju ke pejabat, saya akan melalui satu kawasan aliran air yang agak besar dan dalam. Jika saya betul-betul pagi, saya sengaja memberhentikan kereta di tengah jalan. Sangat seronok melihat burung-burung yang keluar pagi. Sungguh banyak burung-burung kecil berwarna hitam berterbangan yang saya tidak diketahui ke mana hala mereka. Adakalanya juga saya lihat kumpulan kecil burung berwarna putih melayang cantik di udara. Aduhai… Saya terpesona. Allahuakbar..

Nyata ia mengingatkan saya potongan Al-Quran tentang sifat tawakkal burung-burung yang keluar pagi. Bila pulang, mereka pulang dengan kekenyangan. Nyatakan Allah yang memberi mereka rezeki. Subhanallah…Sesungguhnya, ada pengajaran buat mereka-mereka yang menggunakan akal.

Antara yang paling saya suka juga, cahaya matahari yang memasuki ruang rumah. Terutamanya di waktu pagi. Ia satu permulaan hari yang mahu disyukuri. Menggantikan kegelapan malam untuk satu lagi nikmat umur yang masih berada bersama. Dan waktu dhuha itu antara waktu terindah memanjat harapan dan pertolongan Allah untuk apa jua yang diurusi pada hari itu.

Matahari adalah sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Allah. Meski secara umumnya, kita yang melihat matahari secara fizikalnya, tetapi Allah juga mencampakan satu rasa yang sukar diceritakan. Rasa yang yang dikurniakan dalam limpahan rahmat dan kasih-sayangNya jua.

Jika demikian…

Sudahkah kita menjadi hamba-Nya yang benar-benar bersyukur?

Friday, December 30, 2011

Umat Membaca ( Bah 4 )

Al-Quran adalah anugerah teragung buat kita umat Nabi Muhammad SAW. Ia untuk kita hayati isinya, dijadikan panduan dalam kehidupan dan semuanya itu bermula dengan membaca. Jika kita tidak membacanya, bagaimana mungkin kita merasakan nikmatnya membaca hatta memandang setiap kalimah Allah yang tersusun indah lagi rapi.

Ia juga sebaik-baik kitab yang perlu dibaca. Serba lengkap serba sempurna. Ditinggalkan oleh Rasulullah untuk kita pegang dan yakini dengan isinya. Ia gedung ilmu yang terutama kepada sesiapa yang mahu berfikir.

[Al Qur’an] ini adalah penjelasan yang sempurna bagi manusia, dan supaya mereka diberi peringatan dengannya, dan supaya mereka mengetahui bahwasanya Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa dan agar orang-orang yang berakal mengambil pelajaran. ~ Surah Ibrahim, ayat 52.

Amatlah malangnya kita, jika tidak menjadikan diri kita orang-orang yang membaca Al-Quran. Dibaca, difahami dan diambil pelajaran buat orang-orang boleh berfikir. Menjadikan Al-Quran sesuatu yang dibaca secara konsisten, setiap hari mendatangkan pahala dan penyuluh hidup yang penuh kegelapan. Ia hiburan, ia peringatan, ia punya pelbagai lagi keindahan dan manfaat yang tak termampu dicatatkan. Ia hanya difahami bagi orang-orang yang dapat merasakan kenikmatkan menghayati bait-bait kalimah Allah di dalamnya.

Hakikatnya, menjadi umat yang membaca bukanlah satu perkara yang sekadarnya sahaja. Ia adalah perkara yang benar-benar penting. Sesuatu yang sangat kita perjuangkan kerana kita umat masakini tidak lagi menjadikan membaca sebagai budaya asas dalam pembentukkan wadah umat yang berilmu. Walhal sangat jelas bahawa dengan ilmunya itu menjadikan kedudukan kita tinggi dan mulia.

Apa yang telah menjadikan kita sangat tersasar jauh?

Sudah tiba masanya kita merubah suasana ini. Segalanya bermula dengan diri kita. Mudah-mudahan ia berupaya dijadikan contoh dan ikutan. Kita perlu mendidik generasi masakini yang kelihatannya terlalu banyak menghabiskan waktu kepada perkara-perkara yang bukan lagi ada nilai tambah.

Akhirnya marilah kita menjadi umat yang membaca. Agar ia menjadi gerbang membina generasi cintakan ilmu dan seterusnya meletakkan diri kita dalam kelompok manusia punyai harga diri yang tinggi. Inilah jalan yang perlu kita telusuri. Moga-moga Allah menjadikan semua itu antara cabang medan dakwah mengajak manusia ke arah kebaikan dan dengannya jua kita telah menyempurnakan amanah sebagai khalifah di muka bumi ini.

Tuesday, December 27, 2011

Umat Membaca ( Bah 3 )

Kempen mari membaca punya niat yang sangat baik. Melahirkan insan yang berilmu. Sering juga kita dikisahkan tentang tokoh ilmuan terdahulu seperti Ibnu Sina, Khawarizmi dan beberapa lagi tokoh yang menjadi sebutan sehingga ke hari ini. Mereka adalah orang-orang yang sangat warak dan dalam waktu yang sama mempelopori ilmu perubatan dan matematik mendahului bangsa lain pada ketika itu. Bagaimana mereka mampu melakukannya, adalah sangat berkait-rapat dengan hubungan mereka dengan Allah, Tuhan yang memiliki gedung ilmu tersebut.

Kita pada hari ini disarankan mencontohi mereka. Kerana kita mahu melahirkan tokoh-tokoh yang berupaya membina tamadun. Tokoh-tokoh yang bijak dan menguasai pelbagai cabang ilmu. Mampu berdaya saing di peringkat tinggi. Bukan sekadar berada dalam kepompong kita sahaja. Bukan lagi sekadar jaguh kampung. Kita perlu meneroka jauh dan harus berdiri setanding hatta lebih tinggi lagi dari orang lain.

Untuk membina tamadun, bermula dengan membina karektor diri. Yakni seorang insan yang terlebih dahulu sangat dekat dengan empunya gedung ilmu itu sendiri, Allah SWT. Sangat memahami bahawa peranan kita ke dunia ini untuk mengimarahkan kehidupan ini yang di hujungnya, kita ada destinasi yang mahu dituju. Iaitu kembali ke sisi-Nya dengan selamat sejahtera. Itulah peranan dan janji yang tertulis.

Monday, December 26, 2011

Umat Membaca ( Bah 2 )

Dengan lambakan bahan bacaan di pasaran, keupayaan kita memilih bahan bacaan yang sesuai adalah sangat penting. Dari kajian rambang di toko-toko yang menjual majalah atau suratkhabar, saya dapati banyak yang kurang bersesuai untuk dibaca atau dilihat. Selain dari aksi para penghias muka yang kurang sesuai serta mendedahkan aurat, banyak sekali bahan bacaan yang mempertaruhkan tajuk panas sebagai modal menarik perhatian pembaca untuk membeli.

Sebagai pengguna, kita tak punya banyak kuasa untuk menghalang perkara ini dari terus menjadi budaya dalam masyarakat masakini. Maka dalam situasi sebegini, membina benteng ampuh yakni diri sendiri menjadi pilihan yang sangat penting. Pilihan kita sudah tentulah tidak membaca bahan-bahan bacaan sebegini.

Sekali lagi dinyatkan, ianya tentang pilihan. Tentang sikap kita dalam mengawal sesuatu yang menjadi keseronokan kepada nafsu. Hakikatnya, bahan bacaan sebegini tidak punyai nilai tambah. Hanya hiburan, hiburan dan hiburan. Tanpa ada hala tujuan membina masyarakat yang berilmu serta berdaya saing. Kata mudah tiada unsur-unsur mendidik masyarakat.

Itu perihal bahan bacaan…

Mendidik umat yang punyai sifat suka membaca perlu dimulakan sedari awal. Ramai yang berkata ‘saya ni malas nak baca’. Alasan yang paling kerap didengari. Dan kita terus menjadi makhluk yang punya pelbagai alasan untuk menidakkan satu-satu perkara.

Ya…mungkin kita malas, mungkin kita tak minat, tetapi bahan bacaan yang baik adalah gerbang ilmu. Perkara yang tak boleh dinafikan langsung. Ironinya, menjadi umat yang minat membaca, permulaan kepada pembentukan individu-individu yang mencintai ilmu dan sentiasa bersahabat dengan ilmu.

Meski kempen, perbincangan perihal membaca kerap diadakan, bagi diri kita ia mesti diusahakan. Bukan sekadar menjadi topik bual bicara, ada pendekatan untuk kita menjadikan diri serta orang sekeliling kita terdiri dari umat membaca.

Jika kita sangat menyakini bahawa kalimah iqra’ punya sebab menjadi ayat Quran yang pertama diturunkan, maka kitalah yang sepatutnya menjadi umat paling banyak membaca.

Sunday, December 25, 2011

Umat Membaca ( Bah 1 )

Saya sempat mengerling ke dalam beg kenalan baru saya itu ketika beliau membuka beg kerja yang dibawa bersama. Aduh! Busy body pulak saya ni.Sebaik zip beg dibuka, jelas kelihatan sebuah buku, yang pasti bukan buku teknikal atau buku yang bersangkut-paut dengan urusan kerja kami. Saya jangkakan sebuah novel.

Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan buat orang-orang barat seperti beliau. Budaya mereka terkenal dengan sikap rajin membaca. Di lapangan terbang, di restoran atau di dalam keretapi laju sekalipun, sering kelihatan mereka memegang buku dan membaca.

Malangnya masyarakat kita kelihatan janggal membaca di khalayak ramai. Namun saya juga kurang pasti adakah masyarakat kita umat yang suka membaca. Jika dilihat masyarakat kita lebih suka membelek hand-phone. Adakalanya lebih banyak bermain game atau membelek facebook dari membaca buku atau membaca apa-apa bahan bacaan yang bermanfaat.

‘Kalau free, baca dokumen tu. Sebab kat situ banyak sangat information’ saya meninggalkan pesan yang tak pasti kesannya.

Membaca ini adalah satu sikap yang membuka diri kita kepada gerbang ilmu yang sangat banyak. Ia mempengaruhi cara kita berfikir, dan juga cara kita menulis dan menilai.

Dahulu waktu zaman persekolahan, guru sering menasihati supaya banyak membaca untuk menambah kosa kata, melihat gaya ayat yang digunakan. Kata mereka ia membantu bila buat karangan. Jika dibaca bahan bacaan bahasa ingeris pula, ia membantu menambah ‘vocabulary’. Lalu saya membaca sambil memegang sebuah kamus.

Itu dahulu. Kaedah yang digunakan zaman persekolahan menurut kehendak pada ketika itu.

Kini bila kita melangkaui zaman persekolahan, kita tiba-tiba menjadi umat yang sangat kurang membaca. Minat kita bukan ke situ. Walhal kita sedang menghadapi satu eposid yang sangat penting, yakni fasa membina diri menjadi berilmu, matang dan penuh sahsiah.

Kita tidak boleh menjadi orang yang membina kemajuan diri semata-mata dengan bercakap. Ia seperti burung kakak tua yang bercakap tapi tidak mengerti apa yang diucapkan. Kita perlu membentuk diri menjadi orang yang berilmu. Dan hal ini boleh dicapai dengan kita banyak membaca.

Bertepatkan ayat quran yang pertama, bila Allah berfirman yang bermaksud ‘bacalah’, maka membaca itu permulaan bagi menjadikan diri kita mengetahui banyak perkara.

Sebagai umat islam yang berpegang kuat kepada apa yang kita yakini Al-Quran, amatlah malang jika kita menjadi umat yang tidak membaca.

Lupakan hiburan yang melampau. Bermain games tak sudah-sudah. Bukan sahaja menjadi ketagihan kanak-kanak, malah berjangkit dengan orang dewasa. Kita tak membina minda yang punyai lmu dengan bermain games. Maaf itu hanyalah contoh yang mudah. Banyak lagi perkara jika kita tukarkan kepada membaca, faedah lebh banyak dan lebih besar.


Saturday, December 24, 2011

Sungai Pahang, Surau Dan Anak Muda

Sungai Pahang

Laungan azan zohor menyambut ketibaan saya. Azan dari masjid bandar itu adalah antara azan yang saya suka. Bukan kerana suara muazzimnya merdu tetapi suasananya. Azannya sangat kuat sehingga laungannya sampai ke kampung yang dipisahkan oleh Sungai Pahang.

Saya lihat Sungai Pahang mengalir sedikit lesu walaupun kelihatan agak tinggi. Apapun, musim tengkujuh seperti sekarang menjadi fenomena biasa buat kami. Kapasiti sungai bertambah mendadak dek kekerapan hujan yang datang membasahi bumi kelahiran saya ini.

Laungan muazzim memanggil sekalian umat islam untuk mendirikan solat seolah disambut oleh seantero makhluk yang ada. Tasbih yang tidak didengari hatta difahami, namun ketenangan dan rasa cinta itu meresap ke dalam hati yang merindui azan dari bumi yang melambai-lambai untuk kembali.

Ia seakan magnet untuk tidak lagi berlengah-lengah dari terus menghadap Allah bagi menyempurnaan tuntutan cinta yang agung itu.

Surau

Ada waktu-waktu tertentu saya perlu memulakan hari seawal 6 pagi. Ia adalah satu perkara biasa buat saya. Apabila saya memandu keluar saya akan melintasi jalan menuju ke surau. Kelihatan beberapa buah kereta beratur di kaki jalan. Mereka adalah antara yang mahu memulakan hari dengan menunai solat subuh berjemaah.

Namun jumlahnya tidak ramai. Tidak seramai jika saya melintasi ketika solat jumaat. Saya jadi kagum kepada mereka yang melakukannya sebab tak ramai yang mampu. Sepertimana yang saya sendiri lihat.

Di sudut hati ada harapan yang sangat mendalam. Mengharapkan kita seluruh umat yang ada ini, yang punya tubuh badan yang sihat serta kenderaan yang memudahkan untuk kita bergerak, untuk datang menunai solat fardhu secara berjemaah di masjid atau surau. Meraikan kesyukuran dengan nikmat yang dikurniakan Ilahi.

Bagi seorang lelaki, tempat yang lebih baik buat mereka bersolat adalah secara berjemaah di masjid atau surau yang mana azan telah dilaungkan itu. Bagi wanita yang paling baik ialah di kamar mereka sendiri.

Namun ianya tidak begitu. Apakah yang telah menghalang kita?

Orang Muda

Saya menumpang untuk menunaikan solat asar di masjid pusat matrikulasi tersebut. Sementelah menunggu anak saudara berkemas-kemas untuk pulang ke kampung bersama-sama.

Ia menggamit memori silam ketika zaman saya di universiti. Saya bukan kaki masjid. Cuma ke masjid ketika bulan Ramadhan untuk bersolat tarawih. Itu sahaja!

Di masjid itu kelihatan sekumpulan anak muda bersolat jemaah. Bilangan lelaki banyak sedikit dari jemaah wanita. Mereka sangat muda. Saya kira belum pun lagi mencecah umur 20-an. Sesuatu yang buat saya teruja, di situ tiada sesiapa yang mewajibkan solat berjemaah. Tetapi sekumpulan kecil pelajar ini, nampaknya memilih solat berjemaah di awal waktu. Saya fikir satu akhlak yang sangat bagus.

Usai solat mereka beramai-ramai membaca mathurat. Siap pakai microphone lagi. Meriah sekali suasana petang di situ.

Saya suka sekali melihat golongan anak-anak muda seperti ini. Mereka punya banyak potensi dan jalan hidup mereka masih jauh. Namun sikap mahu memanfaatkan waktu berada di masjid dan menyertai majlis ilmu atas initiatif sendiri, sesuatu yang sangat ingin saya lihat.

Diam-diam saya mengimpikan mahu lihat lebih ramai anak muda, bukan sahaja di kampus tetapi di mana-mana sahaja mendahului usaha mengimarahkan masjid atau surau. Anak-anak muda yang terdidik akhlak mengikut kaca mata islam dan mengaplikasikan akhlak tersebut dalam kehidupan mereka seterusnya.

Mungkin itu semua bermula dengan kita. Kita yang seharusnya terlebih dahulu menunjukkan dan memberikan contoh. Bukan sekadar kita hanya menyuruh dan terus memberi arahan. Kaedah tersebut bukanlah pilihan yang terbaik untuk diguna-pakai lagi.

Saya percaya dengan terdidiknya generasi, maka terbinalah tamadun yang sering kita sebut-sebutkan itu. Kini tanggungjawab itu di tangan kita semua. Dan kitalah yang terlebih dahulu perlu berubah.

Friday, December 23, 2011

Sekali Air Bah, Sekali Pantai Berubah

Sekali air bah, sekali pantai berubah. Itu adalah sesuatu yang biasa berlaku dalam kitar hidup. Kita tidak boleh menolak mahupun menghentikan ianya dari berlaku. Perubahan yang melengkapi episod hidup kita ini.

Kalau dulu rambut kita hitam lebat, kini mungkin sudah ada menjulur helaian-helaian berwarna putih. Kalau dulu kita muda, kini kita menginjak ke usia tua. Dan sebenarnya, pelbagai lagi perubahan yang kita perlu menerima dan bersedia.

Perubahan-perubahan ini terus berlaku tanpa menunggu sesiapa. Berlaku sedikit demi sedikit. Waimanya, selagi perubahan itu bukan sesautu yang menyalahi syariat, kita perlu menerima secara berlapang dada.

Dalam banyak waktu, banyak perubahan yang kita tak punya upaya untuk menolak. Meskipun ia bukan sesuatu yang kita suka, kita masih perlu mengikut arus perubahan tersebut sebab kita mungkin tiada pilihan lain.

Kata para cerdik pandai, kita tak boleh menolak perubahan, justeru kita perlu berubah dan menyesuaikan diri.

Sebabnya sangat mudah, kita tidak tahu bahawa perubahan yang kita tidak suka itu, adalah sesuatu yang baik di sisi Allah. Fikiran kita yang singkat dan dangkal hanya melihat dari kaca mata dan rasa yang sering tak punyai asas yang kukuh. Namun buat hati yang tahu ada kebaikan yang menanti dan berusaha untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut, itu lebih baik.

Menghadapi perubahan secara positif membantu kita menyudahkan episod hidup kita, insya-Allah dengan cemerlang. Ia adalah peluang atau medan menguji diri untuk sesuatu yang berupaya menjadikan diri kita lebih baik dan lebih berjaya.

Kita boleh nilai diri kita. Cuba toleh 10 atau 20 tahun yang lalu. Apa yang kita nampak? Bagaimana diri kita pada ketika itu?

Siapa kita pada hari ini adalah apa yang telah lalui suatu masa lalu. Sepanjang perjalanan itu, banyak perubahan yang telah kita alami. Bukankah perubahan itu telah membawa kepada siapa kita pada hari ini.

Sekali air bah, sekali pantai berubah. Itu kehendak Allah. Terimalah ia sepenuh hati. Bagi diri kita pula, usahakanlah untuk terus menjadi hamba-Nya yang lebih baik dan semakin baik. Mudah-mudahan di akhir hayat kita menunggu kejayaan yang diimpikan oleh sesiapa sahaja. Kejayaan mengangkat kalimah tauhid tertinggi dalam seluruh kehidupan yang telah dilalui di dunia ini.

Thursday, December 22, 2011

Tiada Keperluan Memburukkan Orang Lain

Dalam kita berkomunikasi setiap hari, kita tidak dapat lari dari berbual-bual santai. Keseronokkan berbual tidak seharusnya dijadikan medan memburukkan orang lain. Kita mungkin tiada topik untuk dibualkan, lalu secara mudah memilih hal tersebut sebagai bahan bicara pula.

Jika kita berfikir secara dalam kita sebenarnya tiada keperluan untuk memburukan orang lain. Kenapa nak memburukkan orang lain? Jika sekalipun memang benar mereka punyai keburukkan atau kekurangan, ia tidak pun menjadi lesen untuk kita perbualkan. Kita tak punya sebab langsung. Kata mudah tiada faedah. Tidak pun mendatangkan manfaat.

Apatah lagi keburukkan tersebut sesuatu yang sangat lampau. Kenapa kita nak mengungkit-ungkit pula. Masih tiada keperluan. Walhal, jika kita memburukkan, tiada pula menjadikan kita sangat baik pula. Malah ia menunjukkan betapa kita punya sifat yang buruk. Kemungkinan besar, apa yang kita burukkan itu berbalik kepada diri kita.

Ironinya, setiap dari kita tidak sempurna. Ada kekurangan dan keburukan. Jika kita memburukkan orang lain, orang lain akan melihat refleksi diri kita. Sempurna sangatkah kita sehingga kita hanya nampak keburukkan orang sahaja. Bagaimana dengan diri kita sendiri? Hakikatnya, kita perlu banyak bermuhasabah diri. Cari dan kenali keburukkan dan kekurangan diri. Apabila kita ketemui dan sedari, maka secara tak langsung ia mampu membuatkan kita menutup mulut untuk memburukkan orang lain.

Akhirnya, sesuatu yang perlu kita sangat berhati-hati ialah tentang apa yang kita bualkan setiap hari. Kata para cendekiawan, orang yang bijak ialah orang yang membicarakan tentang idea, tentang ilmu. Manakala orang yang tidak bijak berbicara tentang manusia, tentang orang lain.

Cubalah tanyakan diri sendiri. Kenapa kita hendak memburukkan orang lain? Adakah kerana kita cemburu atau sekadar kita seronok menjadikan ia topik perbualan atau apa jua sebabnya. Walau apa pun jawapan kita, saya masih percaya bahawa sebenarnya kita tak punya keperluan untuk memburukkan orang lain.

Jika demikian kenapa kita terus melakukannya?

Saya mohon maaf atas apa yang saya coretkan ini. Moga Allah mengampunkan dosa kelalaian dna kedangkalan yang ada.

Wednesday, December 21, 2011

Banyak Masa vs Masa Singkat

Banyak Masa

Kadang-kala saya fikir saya tak punya banyak waktu. Terlalu banyak perkara yang mengejar dan jua terlalu banyak perkara ingin dicapai. Masa yang saya punya sangat dirasakan terlalu sedikit dan setiap ketika hari berakhir, saya dilingkari keletihan fizikal dan mental.

Walhal semua orang ada 24 jam sehari dan jika ditelusuri kehidupan orang-orang yang hebat para solehin, mereka seolah punya banyak waktu untuk melakukan banyak perkara. Fikiran yang sangat dangkal mengatakan mungkin mereka memiliki lebih 24jam sehari. Dan mereka telah membuktikan mereka terdiri dari orang-orang yang sangat berjaya dan sejarah melakar dengan tinta emas untuk kita hayati susur galur kehidupan mereka. Masya-Allah. Hebat!

Hakikatnya, setiap dari kita termasuk manusia-manusia terdahulu diberi hanya 24 jam sehari semalam. Bila berbicara tentang masa, ia menjadi banyak atau sedikit mengikut keadaan bagaimana kita menyusun urusan kita seharian.

Benar. Jika diteliti, sebenarnya kita kurang bijak. Banyak membazir waktu kepada perkara yang sia-sia. Bila saya kata sia-sia, yakni sebahagian waktu 24 jam yang kita ada digunakan untuk perkara yang tidak mendatangkan kebaikan. Apatah lagi pahala untuk dibawa bersama ketika pulang mengadap Allah kelak.

Bila kita kurang bijak memanfaatkan waktu, kita kerap beralasan dengan ‘ saya sibuk’ apabila kita tidak berjaya mencapai sesuatu yang seharusnya kita sempurnakan. Apa agaknya kita sibukkan itu?

Emmm….Untuk kita saling fikir-fikirkan.

Masa Singkat

Ada sesuatu buat saya berfikir sangat panjang dan membuatkan rasa takut datang menjengah. Sebenarnya secara logiknya mengikut jangka hayat wanita Malaysia, jangka hayat saya tak begitu banyak lagi. Sudah pastilah, ia bukan lagi waktu untuk disia-siakan ke atas perkara yang tak mendatangkan manfaat. Masa semakin singkat. Semakin hari, ia terus mengejar dan meninggalkan.

Ia satu peringatan.

Maksudnya, saya perlu menambah dan mengusahakan apa sahaja yang diurusi dalam hayat yang masih ada, semuanya atas dasar mencari redha Allah. Berusaha sedaya-upaya mengikut kemampuan atau mungkin juga melampaui kemampuan yang ada.

Cukupkah apa yang ada...

Cukupkah bekalan untu dibawa pulang nanti.

Banyak masa atau singkat masa, ia terpulang kepada dari aspek mana yang kita tafsirkan. Kita sebenarnya punya banyak masa untuk kita sempurnakan urusan-urusan harian atas dasar amanah atau atas dasar menambah kebajikan buat bekalan diri sendiri.

Kita mungkin kesuntukkan waktu, jika kita nilai umur kita mengikut purata umur rakyat Malaysia. Kita mungkin hanya ada 30 tahun atau 20 tahun atau 10 tahun atau hanya 5 tahun lagi…

Bila sekarang kita disibukkan dengan banyak perkara yang tak bermanfaat, maka masa yang tinggal sebenarnya sangat singkat.

Soalnya, cukupkah? Cukupkah nikmat umur yang ‘singkat’ itu menjadi sandaran buat kehidupan akhirat yang kekal itu?

Emmm….Untuk kita jua saling fikir-fikirkan.

Wallaualam…

Saya mohon keampunan Allah atas apa yang telah dicatatkan ini.


Tuesday, December 20, 2011

Kesaksian

Ketika melewati surah Al-Araf, saya bertemu dengan ayat ini. Sepotong ayat yang menyatakan kesaksian kita bahawa Allah adalah Tuhan kita. Ada desakan gusar menjengah di hati. Aduhai…

Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini. ~ Surah Al-Araf, ayat 172.

Ada peringatan buat diri supaya jangan terus lalai. Ada kesaksian yang pernah kita nyatakan.

Saya hanya mampu bermohon agar kita terus berada dalam jalan yang lurus, jalan yang diredhai Allah. Yang terutama dikurniakan akidah dan tauhid yang benar sehingga ke akhir hayat. Satu kesudahan sebaik-baik kesudahan. Ameen…

Monday, December 19, 2011

Tahanlah Marahmu

Nak beli hati manusia semula payah…’ saya membuat pernyataan.

Apa maksud kau?’ tanya dia semula.

Yelah…selepas kita marah kepada orang, bukan mudah nak mengubat luka akibat dari kata-kata yang telah kita ucapkan dalam keadaan kita marah itu’ jawab saya panjang lebar.

Panas baran dan sikap suka marah-marah bukanlah kepandaian atau bakat yang boleh dibanggakan. Ia adalah antara sikap yang tidak baik. Ramai yang tidak suka kepada orang yang panas baran. Ramai yang jua memilih untuk menjauhi diri dari orang yang sebegini. Jawapannya sangat mudah, bila marah-marah, kita tak berasa senang berada dalam situasi ketika marah itu meletus.

Ironinya, para hukama dan cerdik pandai sering menasihati kita untuk berusaha menahan marah. Sehingga dinyatakan bahawa ‘orang yang kuat itu ialah orang yang mampu menahan marah’.

Menahan marah ini perlu mujahadah yang sangat tinggi. Meskipun kita berada dalam keadaan sangat layak untuk marah, namun memilih untuk menahan marah itu tetap menjadi pilihan utama.

Perlu diakui, menahan marah bukanlah sesuatu yang mudah. Ianya sangat sukar! Dan tak ramai yang mampu melakukannya. Namun kita tetap dinasihati untuk menahan marah sebab akibat dari sikap marah kita itu, lebih banyak mengundang perkara negatif dari positif.

Kita fikir bila marah-marah, kita akan dapat memuaskan hati sendiri atau dapat mendapat apa yang kita mahukan. Contohnya kita mendidik, tetapi secara marah-marah. Mungkin secara jangka pendek, orang lain akan akur sebab takut atau tak suka dimarah-marah. Tapi secara jangka panjang, kita tak membina satu rasa ikatan yang didasari rasa hormat dan rasa kasih. Itu semuanya hanya membuat kita rasa jauh. Tiada kemesraan yang ikhlas. Bukankah antara kita diikat persaudaraan. Sudah pasti ikatan persaudaraan yang didasari sifat kasih-sayang sesama kita.

Menahan marah ini punya banyak kesan positif. Selain wujudnya rasa hormat atas keupayaan untuk kita tetap bersabar dalam keadaan yang membolehkan kita untuk marah, ia satu perkara yang membuatkan kita merasakan sangat menang. Ya…menang secara diam. Menang sebab mampu menahan marah dan menang sebab mampu menjernihkan keadaan yang berpotensi menjadi semakin buruk. Kejayaan yang sangat bersifat peribadi.

Diri dan hati kita perlu dididik untuk menahan marah. Tidak pula berbangga-bangga bila sikap semulajadi kita jenis panas baran. Sebenarnya jika kita fikirkan, ianya hanylah satu ‘kecacatan’. Tetapi ia bukanlah kecacatan yang kekal, sebab jika kita betul-betul mahu, ianya masih boleh diubati.

Bagaimana?

Selidiklah urusan hati kita selama ini. Ke mana dan bagaimana kita telah meletakkan urusan hati ini dalam melayari kehidupan. Apa yang kita perjuangan. Nafsukah?

Akhirnya, marilah kita sama-sama belajar untuk lebih bersabar dan terus berdoa kepada Allah agar dikurniakan kekuatan untuk mampu menahan marah.

Wallahualam…

Kepada Allah, saya mohon keampunan-Nya.

Sunday, December 18, 2011

Redhamu Gamit Ketenangan Dalam Hidup, Cetus Rasa Bahagia Yang Dicari

Takdir antara perkara yang sukar difahami oleh hati. Kerap kita sukar menerima seratus peratus apa yang berlaku dalam hidup kita. Kita kata sabar hanya setelah kita menemui jalan buntu. Walhal sabar itu adalah saat hentaman pertama tatkala kita diuji. Bukan setelah satu jam, satu hari atau satu tahun. Aatah lagi setelah bertahun-tahun. Ya…saat hentaman pertama kita menerima ujian tersebut.

Kesukaran hidup kita pelbagai. Siapalah kita untuk menidakkan semua itu. Kita hanyalah seorang hamba dan sangat layak diuji Allah untuk menilai setinggi mana keyakinan kita kepada urusan qada dan qadar-Nya.

Adakalanya, kita diuji secara fizikal mahupun jua secara emosi. Namun apa jua yang ditakdirkan berlaku, atau bahasa yang lebih tepat yang diizinkan berlaku, punya hikmah yang tersendiri. Dan kita sangat tahu hal itu. Namun hati kita seolah kurang dididik untuk menerima semua itu sebagaimana akal kita mengatakan ia ada hikmah istimewa yang tersembunyi. Fitrah kejadian kita, mahu tahu kenapa, kenapa, kenapa.

Kemungkinan mata hati tidak nampak semua itu. Atau buta dari hikmah yang menanti. Dan jika kita fikir secara jauh, sebenarnya pilihan kita tidak banyak. Untuk membebaskan diri kita dari terbelenggu dengan segala apa persoalan tentang kesukaran yang dihadapi, pilihan kita ialah untuk redha.

Redha itu senjata yang ampuh buat kita kuat dan sangat yakin bahwa seluruh kehidupan ini milik Allah. Dia berhak dan sangat berhak ke atas seluruh diri dan kehidupan kita.

Kemampuan kita untuk redha sepenuhnya, yakni akal dan hati menyatu untuk menerima segala yang berlaku dengan berlapang dada, itu adalah kunci membebaskan belenggu putus asa, hilang punca dan pelbagai lagi rasa yang membuatkan seluruh kehidupan kita tiada ketenangan, tiada kebahagiaan.

Tanyakan diri kita. Selama ini redhakah kita dengan urusan takdir yang telah disusun oleh Allah, Tuhan yang Maha berkuasa atas tiap-tipa sesuatu.

Jika mahu tenang dan mahu urusan kehidupan kita sentiasa mengembirakan, pilih untuk redha dan pilih untuk sentiasa berlapang dada. Jika tidak mampu, mohonlah kepada Allah, agar hati kita terdidik untuk melihat semua itu dari kaca mata iman. Kaca mata yang tahu kepada siapa harus kita meletakkan seluruh harapan dalam kehidupan kita ini. Percayalah bahawa, dengan redhamu ia menggamit ketenangan dan rasa bahagia yang dicari-cari.

Wallahualam…

Kepada Allah, saya mohon keampunan atas apa yang dicatatkan ini.

Friday, December 16, 2011

Tahun Kelima

Sejak pagi tadi suasana sangat redup dan kelam. Matahari yang tidak kelihatan menyorok di balik awan dan titisan-titisan hujan pula terus-terusan menyimbah bumi. Musim tengkujuh. Musim banjir kini menjengah tiba. Suasana menjadi sejuk sekali.

Saya yang bercadang untuk melakukan sesuatu di luar rumah hari ini, mengambil keputusan duduk di dalam rumah sahaja. Berehat sambil bermuhasabah. Bermuhasabah tentang manfaat waktu yang ada dan merancang-rancang apa yang ingin dilakukan tahun hadapan. Atau apa yang boleh dilakukan.

Insya-Allah tahun hadapan, blog ini memasuki tahun kelima. Sekejap benar masa berlalu. Ketika memulakan dahulu masih lagi terasa baru. Selama tempoh itu, rentak menulis juga berubah mengikut kesesuaian waktu dan tempat.

Mohon semuanya ini dilindungi dari perkara atau perbuatan yang sia-sia. Moga-moga apa yang ditulis ada manfaat buat semua yang membaca termasuklah buat diri saya sendiri jua.



Thursday, December 15, 2011

Rahsia Jiwa

Ya Allah,

jadikan mata hatiku

Dapat memandang cinta dan

Kurniaan-Mu setiap masa.

Jadikanlah diriku dapat membalas

Cinta-Mu setiap saat.

Jadikanlah diriku sentiasa faqir

Kepada-Mu dalam setiap langkahku.

Jadikanlah diriku tiada berpaling

Ke belakang dalam mencapai

Cinta sejati.

Pada ar-Rahman-Mu,

aku hilangkan bayang segala

yang terdinding.


Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan ~ Surah An-Nahl, ayat 97.




Salam Jumaat!

Wednesday, December 14, 2011

Wanita Berwajah Hodoh

Cerita berikut saya dapati dari salah sebuah buku yang saya baca baru-baru ini. Moga ada pengajaran dan mampu memberi motivasi kepada sesiapa yang merasakan diri mereka serba kekurangan.

Di sebuah negara, terdapat seorang wanita muda yang ditimpa penyakit yang membuatkan seluruh wajahnya begitu hodoh. Tubuh badan serta wajahnya ditumbuhi kupingan-kupingan yang menjadikan beliau kelihatan sangat jelek.

Apabila beliau berada di luar rumah, orang ramai akan mencemuh dan mencelanya. Dek kerana malu serta terhina dnegan perbuatan tersebut, beliau membuat keputusan menyembunyikan diri dari orang ramai dengan berkurung dalam rumah sahaja. Menjauhkan diri dari bergaul dengan orang sekeliling.

Setiap hari beliau melihat wajahnya di cermin. Mengamati kupingan-kupingan yang memenuhi seluruh wajah serta tubuh badannya. Dan setiap kali itulah dia akan menangis, meratapi kehidupan yang sedang dilalui.

Suatu hari….

Ketika melihat wajahnya di cermin…

‘Kenapa aku mesti terus-terusan memencilkan diri? Kenapa aku harus menangis setiap hari?’ dia menyoal dirinya sendiri.

Ini bukan masalah aku. Ini masalah mereka semua’ kata hatinya lagi.

‘Ya masalah mereka!’ ujarnya girang.

Selepas hari itu, beliau memberanikan diri keluar dari rumah dan tidak lagi memencilkan diri dari orang ramai. Meski dicemuh serta dicela, beliau berkata ‘itu masalah mereka. Mereka yang bermasalah’. Masalah orang-orang yang suka mencela kekurangan orang lain. Sedangkan beliau pula tidak menjadikan hodoh wajah itu sebagai satu masalah bagi dirinya.

Itu masalah mereka!’

Beliau meneruskan kehidupan seperti orang lain. Berbahagia sebab tidak menganggap dirinya punya masalah. Ya…Yang bermasalah ialah orang sekeliling yang suka menghina serta mencela orang lain.

Hari demi hari beliau melalui kehidupan yang sangat positif. Akhirnya sedikit demi sedikit kupingan-kupingan yang memenuhi tubuh badannya beransur surut dan beliau tidak lagi berwajah hodoh.

Pengajarannya….

Apabila kita punya kekurangan diri dan dicela oleh orang sekeliling, kita merasakan itu adalah masalah kita. Lalu kita memilih untuk tidak bergaul dengan orang sekeliling. Antara rasa malu dan tak sanggup dihina.

Hakikatnya yang perlu kita ketahui bahwa sebenarnya kita tak punya masalah. Yang bermasalah adalah orang-orang sekeliling yang suka menghina atau mencela orang lain. Orang-orang yang merasakan mereka serba baik dan sempurna. Sehingga kekurangan orang lain dijadikan masalah bagi diri mereka.

Bila kita kekurangan sesuatu ia bukan satu masalah pun. Ia hanyalah sebahagian dari ujian hidup yang sedang kita lalui. Rencah yang menjadikan diri kita hanyalah seorang hamba-Allah; hamba yang serba tidak sempurna. Yang sangat layak diuji. Tetapi kenapa orang lain pula yang mencela atau menghina kita? Mencela ujian yang Allah turunkan buat diri kita, kurniaan buat kita lebih dekat kepada-Nya jua.

Secara ringkas, kita akan rasa bahagia bila kita menerima kekurangan diri secara berlapang dada. Lalui kehidupan dengan ceria tanpa cuba mengasingkan diri dari orang sekeliling. Pilih untuk bahagia walau apa jua kekurangan yang kita ada.

Sebab kekurangan diri kita seperti rupa, harta, pangkat atau apa sahaja yang menjadi keinginan manusia di dunia ini bukanlah masalah. Kekurangan itu tidak sekali-kali membuatkan kita tidak dapat meraih rasa bahagia dan tenang dalam hidup.

Kira-kiranya sangat mudah. Bila kita meletakkan diri kita tidak bahagia, maka ia amat mudah menjadikan diri kita manusia yang sangat rapuh bila berhadapan dengan orang sekeliling. Bila meletakkan diri kita kategori hina, maka apatah lagi orang lain.

Perlu diingat, bila kita dihina…ia bukan masalah kita. Itu adalah masalah mereka.

Akhirnya pilihlah untuk bahagia. Sebenar-benar bahagia bila kita redha dengan kehidupan ini. Pergilah ke mana sahaja, dan jalanilah hidup ini dengan penuh yakin bahawa seluruh kehidupan ini milik Allah, Tuhan yang memiliki jasad dan hati kita, bukan dalam tangan seorang yang bernama manusia. Moga-moga jika kita redha, Allah jua redha dengan diri kita.

Tuesday, December 13, 2011

Bila Ditegur Dan Belajar Dari Sejarah

Take it as positive’ nasihat yang saya tidak ketahui samada dapat diterima atau tidak.

For me, it is also a learning. New thing that I’ve to learn’ saya membuat pengakuan bahawa saya sendiri terima semua teguran. Moga-moga mereka dapat merasakan saya juga berada bersama mereka.

Saya teringat sepotong kata-kata dari sahabat Rasulullah SAW ( maaf saya tak ingat nama beliau );

Bukan dilihat siapa yang memberi teguran, tetapi lihat apa yang menjadikan tegurannya itu’

Benar.

Bila orang lain memberi teguran atau membetulkan kesilapan, penerimaan kita mempamerkan sikap kita. Adakah selama ini kita jenis yang sukar menerima teguran. Pantang ditegur. Apabila ditegur, ada sahaja jawapan kita mempertahankan diri.

Kadang-kala kita terlalu berpaksikan bahawa kita mesti pertahankan diri. Apabila ditegur, kita mesti memberi jawapan atau rasional perbuatan kita itu. Atau bila kita ditegur, ia mencabar keegoan. Persoalannya adakah apa yang kita buat semua betul. Kalau tak ditegur atau tak dibetulkan kesilapan, maka kita tak memberi ruang dan peluang untuk memperbaiki diri. Kita mungkin tidak tahu kekurangan diri.

Ironinya, bila kita mengenepikan ego diri, sebarang teguran kita boleh menerima secara berlapang dada. Kita silap, maka kita betulkan. Tak kiralah walau siapa sekalipun yang memberi teguran tersebut. Hatta kanak-kanak sekalipun. Tak memilih siapa yang memberi teguran tetapi lebih kepada apa yang ditegurnya itu.


Kebelakangan ini, genre buku pilihan saya adalah novel sejarah islam. Ia buku-buku sejarah tentang tokoh-tokoh di zaman silam. Menarik sekali dan tak jemu dibaca bila kisah yang sarat dengan fakta itu ditulis secara penceritaan. Ia jadi ringan.

Bila mengenali tokoh-tokoh ini ia secara tak langsung menjadi satu perkara yang cuba diperhatikan tentang diri sendiri. Mereka orang-orang yang sangat kuat berpegang kepada syariat. Sangat adil, sangat kuat beribadah dan sangat berjaya. Dalam pada itu ada juga individu-individu yang sebaliknya. Dek kerana sikap mereka itu, berakhir dengan kemusnahan.

Mudahnya, banyak pengajaran yang boleh diambil tauladan dan iktibar. Kuncinya hanya satu semuanya memperlihatkan, hanya orang-orang yang bertakwa kepada Allah punya kedudukan yang sangat istimewa di sisi Allah. Sehinggakan kita yang membaca kehidupan mereka di dunia ini, sangat mengagumi ketokohan mereka.

Monday, December 12, 2011

Sejadah

Dalam majalah Fardhu Ain edisi terbaru catatan editor mengenai hijrah. Contoh hijrah kecil yang dibawakan mengenai jemaah haji dan sejadah. Bagaimana sehelai sejadah menjadi perkara yang boleh mengundang kebaikan serta manisfestasi kasih sesama manusia.

Menurut beliau yang baru pulang dari mengerjakan haji, ramai yang membawa sejadah ke Masjilharam. Samada tebal atau nipis. Namun ia hanya untuk diri mereka tanpa turut berkongsi dengan jemaah sebelah yang tiada sejadah. Dalam erti kata lain tak cakna dengan orang lain.

Cerita tersebut membuatkan saya teringat wanita tua yang saya temui di luar Masjidil Nabawi ketika berkunjung ke sana dahulu.

Cuaca sangat sejuk ( musim sejuk ) dan saya tak pasti kenapa saya tidak masuk ke dalam masjid tetapi memilih solat maghrib/isya’ di luar. Ketika mencari-cari ruang, saya duduk di sebelah jemaah Malaysia. Seorang perempuan tua dan dua orang wanita saya kira dalam usia sekitar 40-an.

Dalam cahaya yang agak suram itu, saya dapati wanita tua itu menangis dan mengigil.

Apabila ditanya, benar dia kesejukkan duduk dilantai marmar, tanpa sejadah. Saya dapati pula dua wanita di sebelah beliau asyik berborak dan mereka duduk beralaskan sejadah yang sangat cantik dan tebal.

Airmata yang terus mengalir dari kerut wajah perempuan itu buat saya sangat kasihan. Akhirnya sejadah saya yang nipis itu menjadi alas duduk kami berdua. Sedikit-sebanyak mengurangkan kesejukkan di punggung. Kami memilih sujud tanpa beralaskan sejadah sebab lebih memberikan ruang kepada kaki dan punggung.

Saya tak menyalahkan dua wanita itu, mungkin mereka tak perasan. Saya juga fikir ia bukan soal sejadah saya tebal atau nipis. Ia soal bagaimana kita cakna atau tidak bahwa ruang membantu orang lain itu ada. Di tanah suci Mekah/Madinah kita ketemui pelbagai karenah manusia dan jua kita diketemukan sikap kita sesama manusia. Ada pengajaran untuk dibawa pulang.

50 Tip Motivasi Haji antara buku yang tidak termasuk dalam senarai buku yang saya rancang untuk dibaca. Saya fikir tiada keperluan sebab saya tiada mendapat jemputan haji dalam masa terdekat. Tapi ternyata saya silap...

Hujung minggu lalu, ketika mencari buku di sebuah kedai, tangan saya mencapai buku ini dan turut membelinya.

Aduhai…Aroma tanah suci kembali menerjah kotak minda dan hati saya. Buku ini bukan dibaca untuk ilmu teknikal mengerjakan ibadah haji tetapi ia tentang soal sikap kita terhadap ibadah ini. Kesungguhan dan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah. Tentang ikhlas. Tentang memanfaatkan waktu ketika berada di tanah suci. Menjauhi perkara-perkara yang banyak menjadikan fokus asal kita tersasar jauh.

Dari mata hati yang terbuka, insya-Allah kita akan temui banyak kebesaran Allah yang menjadikan kita sangat mengenal erti kasih-sayang serta rahmatNya, tuhan yang Maha Esa. Penulis buku ini banyak sekali bercerita tentang hal ini. Semuanya berdasarkan pengalaman dan pemerhatian beliau suami isteri.



Sunday, December 11, 2011

Kucing Dan Kanak-Kanak Cina

Kucing

Kepulangan saya petang itu disambut seekor kucing yang mengiau sangat kuat. Dia mengelilingi kereta saya ketika saya membuka pagar.

Ketepi sikit ye…’ saya bercakap dengan kucing tersebut. Peristiwa melanggar seekor anak kucing di hadapan rumah sewa saya ini bulan Ramadhan yang lalu, buat saya lebih berhati-hati.

Namun dia terus mengiau dengan sangat kuat. Saya jadi hairan. Jiran-jiran kiri kanan rumah juga ada di luar rumah ketika itu. Tetapi kenapa dia mengejar saya. Apabila saya keluar kereta, dia terus mengelilingi saya dan mengiau lebih kuat lagi.

Lapar yee…makanan takde’ jawab saya ringkas. Saya tak berniat berbohong sebab saya hanya sebungkus nasi untuk saya berbuka puasa. Hari sangat lewat dan saya pula dah keletihan dengan rutin harian. Namun dia terus mengiau dan mengiau. Bigit sekali!

‘Lapar yee…makanan takdelah’ ujar saya lagi. Menahan sabar dengan kerenah makhluk Allah yang satu ini.

Berfikir-fikir timbul rasa kasihan, lalu saya cubitkan sedikit ayam dari bungkusan nasi dan mencampakkan kepada kucing tersebut.

‘Nah pergi makan’ ujar saya.

Kucing tersebut menyambut cebisan ayam yang terlalu sedikit dan terus berhenti mengiau.

Sebaik saya membuka pintu, saya sempat memandang ke arah kucing tersebut. Ia berlalu pergi dan cebisan ayam yang kecil itu rupa-rupanya sudah cukup buatnya.

Saya beristigfar. Sekalipun saya punya makanan cukup-cukup untuk diri sendiri ketika saya mahu berbuka puasa, tetapi ia tetap milik Allah dan masih perlu dikongsi. Meskipun hanya dengan seekor kucing.

Saya fikir kucing yang sama turut menyambut saya pulang beberapa hari yang lalu. Tetapi ketika itu saya menjamunya dengan seketul donut!

Kanak-kanak Cina

‘Cucu ke?’ Opsss…saya rasa menyesal bertanyakan soalan itu.

Ya’ jawab wanita Cina berseluar paras lutut sambil tersenyum bangga.

Puihh…lega. Tekaan tepat. Kalau dia kata anaknya, payah saya dibuatnya.

‘Cucu ada berapa dah?’ tanya saya sambil memerhati kanak-kanak perempuan berumur sekitar satu tahun membawa kerusi plastik sambil mendekati wanita itu.

‘3…no 1, tu…’ jawabnya sambil menunjukkan kanak-kanak lelaki.

Saya mendukung kanak-kanak perempuan tersebut. Saya teringat bahawa Rasulullah sangat menyayangi kanak-kanak. Walaupun kami berlainan agama, kanak-kanak tetap suci dan tak berdosa.

Ternyata kanak-kanak tersebut sangat berani. Dia asyik memandang saya dan sekali-sekala memegang wajah saya. Saya membiarkan sahaja.

‘Beranilah. Tak takut kat orang…dia panggil autie apa?’ tanya saya.

‘Nenek’ jawab perempuan itu ringkas.

Panggil nenek..’ saya mengajar kanak-kanak tersebut.

‘Dia tak paham bahasa melayu lah..dia panggil saya popo’ jawab wanita itu sambil tersenyum-senyum.

Saya teringin mencium kanak-kanak itu , tetapi saya teragak-agak pula. Astagfirullah…

Meski dilahirkan dalam keluarga Cina, kanak-kanak tersebut suci dan tak berdosa. Aduh…saya masih teragak-agak. Kanak-kanak tersebut terus memerhati saya dan sekali-sekala memegang wajah saya.

Okeylah autie saya pergi dulu’ ujar saya sambil melepaskan kanak-kanak tersebut ke pangkuan poponya.

Kanak-kanak itu melambai tangan kepada saya setelah diajar oleh poponya itu.bye-bye…

Sebelum beredar, dalam keadaan teragak-agak saya mencium pipi mungil putih bersih kanak-kanak tersebut. Saya teringat sabda Rasulullah. Jika kita tak menyayangi, maka kita tak disayangi. Dan bagaimana eloknya akhlak baginda dengan kanak-kanak. Itulah sewajarnya saya ikuti, walau siapapun keturunannya.

Dari jauh saya masih mendengar suara wanita itu menyebut bye, bye. Saya berpaling dan kedua-duanya masih tak berhenti melambai-lambai tangan kepada saya sambil berkata bye-bye. Kedua-duanya menghadiahkan senyuman yang saya fikir istimewa sekali kepada saya.

Saya beristigfar. Aduh! Saya malu sekali dengan sikap teragak-agak saya itu.


Saturday, December 10, 2011

Kenapa Tidak Bersungguh-Sungguh?

Kenapa aku tak bersungguh-sungguh?’ Saya beristigfar panjang. Mintalah kepada Allah bersungguh-sungguh. Beritahulah apa yang dimahu. Bulatkan tekad serta yakin bahwa Dia sangat mendengar apa yang dimahukan. Syaratnya mesti ditunjukkan bahawa benar bersungguh-sungguh mahukannya.

Hidup ini tiada yang mustahil. Apa yang kita cita-citakan, meski kelihatannya sukar atau seolah tidak mungkin, namun di sisi Allah semuanya boleh. Yang paling utama, bagaimana keyakinan kita. Bulatkah tekad kita itu.

Saya beristigfar lagi berulang-kali…mohon ampun kerana meletakkan harapan terlalu sedikit dan kerana tidak bersungguh-sungguh.

Setiap kita punya banyak cita-cita, jangka pendek atau jangka panjang. Kalau permulaan tahun kita sebut azam. Kalau permulaan tahun hijrah kita panggil hijrah. Apapun yang kita mahu, bersungguh-sungguh itu menunjukkan sejauh mana kita benar-benar mahu mencapainya.

Seperkara yang selalu menjengah di sudut hati kita atau kata-kata yang muncul dibenak kita sendiri ialah..

Boleh ke ni..?’ soal kita kepada diri. Tak yakin.

‘Kalau boleh memang nak lah, kalau tak pun takpe..sebab payah ni’ kita meletakkan pelbagai halangan di hadapan kita. Lalu tanpa sedar sebahagian besar keyakinan kita hilang begitu sahaja.

Walhal bila kita meletakkan harapan dan kesungguhan untuk mencapai cita-cita kita itu, itulah keyakinan yang menyatakan bahawa kita boleh mencapainya.

Kita percaya bahawa kita ada Tuhan yang boleh diletakkan harapan dan dimohon bantuan-Nya. Doa kita, hatta detik hati sekalipun sudahpun diketahui-Nya. Kuasa doa sangat hebat. Bila berdoa, mesti yakin dan mesti bersungguh-sungguh. Dan tawakkal itu keajaiban…

Jika kita bercita-cita, bersungguh-sungguhlah mohon Allah membantu kita. Mohon dibuka jalan kita untuk mencapai cita-cita kita itu. Bila kita punya keyakinan yang sangat utuh, segalanya pasti dikurniakan mengikut apa yang dimahukan oleh Allah. Namun apapun yang diizinkan oleh-Nya, semuanya terbaik dan paling istimewa.

‘Ya Allah, bukalah jalan bagiku….’

‘Terima kasih kerana mengajar aku untuk bersungguh-sungguh memohon kepada-Mu’

Friday, December 9, 2011

Cinta kepada Allah dan DIA Juga Menyintai Kita

Nabi Daud AS sering berdoa kepada Allah SWT agar menambah kecintaan kepada-Nya dengan sering berdoa seperti berikut yang bermakna,

Ya Allah , aku meminta kepada-Mu , supaya menjadikan aku cinta kepada-Mu, dan menyintai mereka yang Engkau cintai, dan amalan yang boleh menjadikan aku cinta pada-Mu. Ya Allah , jadikanlah kecintaan kepada-Mu itu melebihi kecintaan kepada diriku dan keluargaku.”

Yang lebih utama ialah kecintaan Allah kepada kita. Tahukan kita apa yang akan berlaku sekiranya Allah SWT menyintai seorang hamba-Nya?

Dan hamba-Ku sentiasa berterusan mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan amalan-amalan sunat, sehingga Aku menyintainya. Maka apabila Aku menyintainya, Akulah pendengarannya yang dia mendengar, dan penglihatannya yang dia melihat dengannya, dan tangannya yang dia menggunakannya, dan kakinya yang dia berjalan dengannya. Jika dia meminta kepada-Ku, nescaya Aku memperkenankan ( segala ) hajatnya…!”~ Hadis Qudsi.

Jadi, marilah kita perbanyakkan amalan-amalan sunat serta beristiqamah dengannya selagi umur dikandung badan. Mudah-mudahan kita cinta kepada-Nya dan Dia juga menyintai kita.

Thursday, December 8, 2011

Pemberian Buku Kini Setahun

Cepat sungguh masa berlalu. Apabila saya menulis entri Pemberian Buku Bulan Disember baru-baru ini, tanpa saya sedar sudah setahun penuh perkara ini berlaku. Selama tempoh 12 bulan itu sebanyak 3 buah buku setiap bulan diwar-warkan di sini.

Alhamdulillah…sambutan positif saya terima dan sebahagian besarnya telah pun dimiliki oleh para pembaca yang berminat.

Cuma saya ingin memohon maaf kerana saya mengambil sedikit waktu sebelum dapat pos buku-buku tersebut. Ini adalah kerana ia bergantung kepada kelapangan yang ada. Komitmen saya sedikit banyak kebelakangan ini.

Apapun, insya-Allah untuk tahun hadapan saya akan masih menyambung kempen pemberian buku-buku milik saya ini kepada sesiapa yang berminat. Namun masih mengekalkan 3 buah buku setiap bulan.

Kesempatan yang ada ini, saya ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberi. Moga apa yang dikongsi ada manfaat buat kita semua. Berkongsi Buku, Berkongsi Ilmu!

Wednesday, December 7, 2011

Reader Is Leader

Reader Is Leader. Satu ungkapan yang mengambarkan seorang ketua adalah orang yang banyak membaca. Atau dalam konteks yang lebih dalam, banyak ilmu sebab banyak membaca. Banyak perkara yang mereka tahu. Itu berdasarkan kefahaman saya.

Terdapat individu yang perlu saya bekerja untuk mereka adalah kategori yang suka membaca. Apa yang ditulis diteliti dan semuanya diperhalusi. Hasilnya banyak hal saya perlu menjawab. Fakta yang diberi mesti tepat dan berdasarkan data. Bukan sekadar spekulasi-spekulasi sahaja.

Walaupun adakala sukar juga, namun saya menerima secara positif.

‘….macamana banyak tak kerja sekarang?’ ujar teman saya. Cuba menelusuri kesibukkan saya.

Tak kak. Saya biasa je…’ saya pilih jawapan yang paling tepat. Tidak mahu terlalu mengundang persepsi negatif.

Dahulu saya berhadapan dengan individu yang banyak memberi sokongan dengan memberi pujian. Sangat bertoleransi. Banyak perkara yang saya belajar tetapi dalam waktu yang sama saya dapati cara demikian membuatkan saya kurang pula melihat kekurangan diri yang sedia ada.

Kini sebaliknya. Memuji bukanlah cara yang dipilih tetapi lebih kepada penilaian fakta yang jelas. Cuma banyak ketika perlu menerima secara positif bila dikritik secara terbuka. Ia sebenarnya peluang dan ruang untuk belajar memperbaiki diri.

Melihat baik dan buruk kedua-dua watak tersebut, saya dapati dua-duanya sebenarnya punya kebaikan buat diri saya.

Hidup ini kita tak boleh terlalu mengharapkan individu-individu tertentu sahaja kita bakal ketemu. Watak manusia pelbagai. Kita mungkin tak boleh mengubah manusia lain, tetapi kita boleh mengubah diri kita menyesuaikan diri dengan mereka. Susah atau senang, semuanya ada kebaikan. Ia mungkin cara untuk kita lebih mengenali diri dan juga cara untuk kita terus belajar.

Reader Is Leader!

Tuesday, December 6, 2011

Hidup Terlalu Singkat Untuk Mengingati Keburukannya

Hidup ini terlalu singkat untuk mengingati keburukkannya’

Saya sangat terkesan mendengar kata-kata ini. Walaupun cuma ungkapan dari satu watak dari cerita ‘Para Pencari Tuhan’ di TV Al-Hijrah. Akhirnya yang ada pada diri kita adalah ‘nikmat mana lagikah yang mahu didustakan’.

Kadang-kadang kita terlalu banyak menghabiskan waktu berfikir tentang keburukan orang lain. Sukar sekali melihat kebaikannya. Mahupun mensyukuri kehadiran mereka dalam kehidupan kita. Atau jua mensyukuri setiap detik kehidupan kita ini.

Apabila semua itu hilang dari diri kita baru kita tersedar bahawa ada kebaikan yang telah kita menidakkan. Kebaikan yang tidak difikir atau sewajarnya disyukuri.

Oleh yang demikian, fikirkanlah tentang sesuatu atau sesiapa yang sedikit tidak kita senangi. Lebih-lebih orang-orang yang ada ikatan dengan diri kita. Hatta sesiapa sahaja sekalipun yang bak datang dan pergi dari episod hidup kita.

Meski ada perkara-perkara yang menyakitkan hati atau apa jua yang telah menyebabkan emosi kita terluka, bukankah lebih baik membebaskan diri kita dari belenggu itu. Dari rasa sakit hati atau kecewa yang berpanjangan. Walhal semua itu sebenarnya boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Perlu diingat, kehidupan ini terlalu singkat untuk terus berdendam atau memikirkan keburukan orang lain. Lepaskan diri kita dari rasa terbelenggu dengan keburukan atau kelemahan orang lain. Cari kebaikan mereka dan syukurilah kehadiran mereka dalam episod hidup kita.

Sekalipun apa yang telah terima sangat menyakitkan, pilihlah untuk memaafkan dan melupakan. Hakikatnya kita semua tak sempurna. Terimalah bahawa apa yang berlaku sekejap atau lama, punya kebaikan yang boleh dipelajari. Mungkin dari diri mereka atau mungkin juga untuk kita lebih mengenali diri kita sendiri.

Bukankah matlamat kejadian kita sangat jelas. Lalu, sangat bazirkan umur dan waktu memikirkan keburukan orang lain. Cari kebaikan dan cari jalan untuk hidup dengan bahagia.

Monday, December 5, 2011

Kisah Hidayah

Kisah insan-insan yang terpilih menerima hidayah sentiasa mengujakan. Contoh dari majalah Q & A keluaran sulung terdapat satu ruang yang dinamakan Cermin Ajaib. Ia mengisahkan perihal hidayah yang diterima oleh seorang penganut kristian sejati.

Ceritanya sangat hebat. Allah menjemputnya pulang dalam sujudnya yang terakhir. Pulang dalam keadaan bersih sesuci bayi yang baru lahir. Beliau baru sahaja mengucap syahadah bersaksikan azan isyak; dan pada solat isyaknya itu pula ia pulang mengadap Allah dalam keadaan sujud. Subhanallah..

Begitu jua dua hari lepas, kisah seorang pemilik pub memilih untuk memeluk islam di kaca TV Al-Hijrah. Itu berlaku hanya beberapa bulan yang lalu sahaja. Kini pub yang dimiliki diubah menjadi restoran biasa. Cabarannya ada, apabila keuntungan yang biasa dimiliki merundum jatuh. Ketika bercerita beliau menitiskan airmata, tetapi dia tetap berkata sangat bersyukur kepada Allah kerana mengurniakan hidayah kepada dirinya itu.

Paling menyentuh hati saya apabila dia memperdengarkan bacaan surah Al-Fatihah. Usai membaca ia tersenyum dengan penuh makna. Aduhai…Sungguh mengujakan.

Waimanya, kisah hidayah sentiasa hebat. Ia berlaku dengan pelbagai cara dan sebab. Semuanya hanya satu. Allah memilih mereka untuk menerima kurniaan hidayah. Merekalah insan-insan yang terpilih. Maka benarlah, hidayah tu sangat agung. Hatta kita yang mendengar atau membaca sahaja kisah mereka turut terasa-rasanya manisnya hidayah itu.

Buat diri kita pula, kita turut mahu agar Allah mencampakkan hidayah itu ke dalam hati kita. Mahu jua merasai manisnya nikmat rahmat dan kasih-sayangNya itu. Mahu hati itu lurus pada jalan Allah.

Namun kita perlu berterusan meminta hidayah. Ini kerana sifat semulajadi hati yang sentiasa berbolak-balik itu. Sabda Rasulullah; ‘Sesungguhnya hati-hati keturunan Adam, kesemuanya itu di antara dua jari daripada jari-jemari Tuhan yang Maha Pemurah, Dia boleh sahaja membolak-balikkan ke mana-mana sahaja yang disukai-Nya’~ Riwayat Muslim.

Doa saya, moga Allah mengurniakan pertunjuk dan hidayah-Nya kepada kita semua.

Sunday, December 4, 2011

Kaya Duit, Kaya Hati Atau Kaya Keduanya…?



Kaya Duit, Kaya Hati Atau Kaya Keduanya…? adalah buku tulisan penulis seberang, Muhammad Muhyidin ( 2011 ). Tapi yang saya baca adalah edisi terjemahan oleh pihak penerbit, Al-Hidayah.

Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga yang menyempitkannya dan mereka (yang ingkar): Bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak, kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat. ~ Surah Al-Rad, ayat 26.

Menurut penulis kaya dan miskin hanyalah persoalan meletakkan duit sahaja, di mana si kaya mudah mendapatkannya, sedangkan si miskin sebaliknya pula. Orang kaya hakikatnya adalah orang yang pantas mendapat wang berbanding dengan si miskin. Dengan definasi yang sedemikian, maka usah sombong jika kaya dan usah bingung menjadi miskin.

(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. ~ Surah Al-Hadid, ayat 23.


Mari diperhatikan, soal kaya dan miskin dilihat dari perspektif berikut;


1 – Orang miskin yang mabuk dengan dunia dalam menyelamatkan diri dari kemiskinan sehingga dia menjadi semakin jauh dari cinta dan kasih-sayang Allah
2 – Orang kaya yang mabuk dengan dunia untuk mengejar dan mengumpulkan kekayaan, sehingga mereka telah menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya.

Jika kita orang yang miskin, kita beroleh kebahagiaan bila kita bersabar dan redha. Bila kita kaya, kita beroleh kebahagiaan dengan bersyukur. Kedua-dua ini adalah cerminan kaya hati yang ramai mahukannya. Hakikatnya tiada siapa yang kaya mahupun yang miskin. Sebab nilai manusia hanya pada nilai takwa mereka.

Saturday, December 3, 2011

Wahai Wanita, Jagalah Dirimu...

Kebelakangan pelbagai isu sosial yang sangat menakutkan disangkut-pautkan dengan wanita. Ada beberapa aspek meletakkan wanita menjadi punca kebejatan tersebut. Hal-hal tersebut didedahkan secara berleluasa di dada-dada akhbar. Secara peribadi saya kurang menyenangi akhbar-akhbar sebegini. Namun saya dapati ramai jua yang menjadikan ia pilihan.

Bila kita tiada kuasa untuk menghentikan cerita-cerita begini terpapar secara terang-terangan dalam media-media cetak mahupun elektronik, maka benteng yang hanya tinggal adalah diri sendiri.

Jika kita sayangkan diri sendiri dan tak mahu terjebak dengan hal yang sangat menakutkan ini, diri kita perlu menyediakan benteng cukup kuat. Kuat untuk menghalang mata dan hati ini dari melihat perkara yang tak punya kebaikan. Lebih tepat tiada nilai yang boleh dicontohi langsung.

Saya juga kerap mendengar bahawa bila cerita-cerita kebejatan ini didedahkan ia untuk mengajar masyarakat. Namun di waktu yang sama ramai bijak pandai berpendapat sebaliknya. Ia seolah-olah mengajar masyarakat melakukan hal yang sama. Beri idea mungkin.

Benar kita tiada kuasa untuk menghalang hal ini dari berleluasa, tetapi kita ada pilihan untuk tidak mahu mengikut kebiasaan yang menjadi kebanyakan dari kita.

Sebagai wanita, lebih tepat wanita islam, kita punya tuntutan yang sangat jelas. Tak kiralah samada wanita bekerja atau tidak, seorang ibu atau tidak, berkahwin atau tidak, semuanya masih meletakkan diri kita pada garis syariat yang sangat jelas. Semua itu tak lain tak bukan untuk memelihara diri kita dari sebarang fitnah.

Tuntutan menutup aurat itu bukanlah sesuatu yang asing. Bagi saya yang duduk dipantai timur ini, jika terdapat wanita yang tidak bertudung, mereka kelihatan janggal pula. Tetapi tudung itu kini ada banyak ketikanya dijadikan sebahagian dari fesyen. Soal mampu menjaga mata dan hati itu dari perkara-perkara yang mengundang dosa jauh mengatasi kepayahan meletakkan sehelai tudung di atas kepala.

Jadi bila kesalahan dilakukan oleh orang-orang bertudung, semua menunding jari menyalahkan tudung pula. Bagi kita bila bertudung, seolah-olah seluruh diri kita menjadi sempurna. Walhal tudung itu hanyalah sebahagian kecil sahaja. Ironinya, keseluruhan diri kita, akhlak, rohani dan jasmani dituntut untuk patuh pada amanah kita sebagai khalifah-Nya jua.

Benar, menjadi sempurna itu, cabaran yang sangat besar. Bukan hanya sekadar sehelai tudung itu. Malah terlalu banyak nilai sahsiah yang perlu dijadikan pakaian diri. Dan itulah cabaran yang terpikul di atas bahu setiap dari kita, wanita islam.

Wahai para wanita, jagalah dirimu. Kita tak boleh terlalu mengharapkan orang lain menjaga diri kita. Sebab segala pancaindera yang Allah kurniakan ini, kitalah yang dipertanggungjawabkan menjaganya. Sudah pasti mata kita ini, mahu melihat perkara-perkara yang baik. Telinga kita mendengar perkara-perkara yang baik, mulut dan lidah kita, berkata perkara-perkara yang baik. Tangan kita melakukan perkara-perkara yang baik. Kaki kita menlangkah ke tempat-tempat yang baik. Hatta seluruh hati dan jasad kita ini, perlu diletakkan dengan perkara-perkara yang baik sahaja.

Akhirnya, jagalah akhlak kita sesama manusia atau apa jua makhluk di dunia ini. Yang terutama jaga jualah akhlak kita dengan Allah. Penuhi tuntutan sebagai orang islam itu sebaik-baiknya.

Mudah-mudahan Allah memelihara diri kita semua dari segala fitnah dunia ini.

Wallahualam…

Friday, December 2, 2011

Pemberian Buku Bulan Disember

Berikut senarai pemberian buku-buku untuk bulan Disember. Kepada sesiapa yang berminat, sila hubungi saya melalui e-mail atau laman facebook.




1 - ALLAH IS CALLING -Zainudin Hashim ( 2011 )


2 - MELAWAN FIKIRAN NEGATIF - Muhammad Muhyidin ( 2011 )



3 - JANGAN MELAMPAUI BATAS - Dr Aidh Abdullah Al-Qarni ( 2009 )

Berkongsi Buku, Berkongsi Ilmu!

Tiada Duka Yang Abadi

Saya suka video ni. Lirik yang sangat baik dan punya maksud yang mendalam. Boleh memujuk juga jika diri sedang berduka.

Benar. Duka itu bukanlah abadi. Lambat laun ia akan pergi. Yakin di akhirnya sebuah kegembiraan.

Moga Allah ampunkan dosa-dosa kita yang lalu.

Thursday, December 1, 2011

Tekanan Bersifat Sementara

Bila menerima tekanan, adakalanya mahu sahaja mengalah. Namun bila difikir-fikir, mengalah bukan jawapannya. Ia tak ubah seperti melarikan diri dari masalah atau menidakkan semuanya tanpa cuba mencari jalan penyelesaian yang bersesuaian.

Jawapan yang paling tepat ketika dalam keadaan tekanan ialah tanganinya sebaik-baiknya. Dengan fikiran yang waras dan rasional, jalan penyelesaian pasti ada. Syaratnya, perlu cukup yakin.

Dalam banyak keadaan, kita menjadi tak keruan tatkala dilanda tekanan kerana kita dipengaruhi emosi secara keterlaluan. Tetapi kita juga tak boleh menidakkan emosi sebab kita makhluk yang punya hati dan perasaan.

Ironinya, gabungan emosi yang stabil serta akal yang rasional adalah pembuka jalan untuk mampu menghadapi tekanan.

Tekanan ini bisa datang dari pelbagai arah. Diri kita, orang dan keadaan sekeliling, semuanya berupaya menyebabkan kita berada dalam tekanan. Adanya desakan-desakan tertentu pada ketika itu yang kita tak berupaya menghadapinya. Desakan-desakan yang membuatkan jiwa kita sangat tertekan.

Sesuatu yang sering kita lupa bahawa tekanan-tekanan ini biasanya bersifat sementara. Bermaksud ada ketikanya kita boleh tertekan, dan adakalanya desakan-desakan tersebut tidak wujud. Ibarat samudera yang luas. Adakalanya tenang dan adakalanya jua bergelora.

Perkara pokok yang sangat perlu diingat tatkala menerima tekanan ialah berlapang dada. Yakin ada penyelesaian. Penyelesaian yang boleh diusahakan. Bukan sekadar terus membatukan diri tanpa diusahakan jalan keluar.

Harapnya kita berupaya lebih kuat dan positif. Akhirnya mampu menangani apa jua desakan-desakan hidup yang hadir bertandang mengulit diri.
Related Posts with Thumbnails