Wednesday, September 21, 2011

Jangan Dicari Kesilapan Orang Lain

Kadang-kala, kita ini adalah jenis manusia yang suka mencari kesalahan atau kekurangan orang lain. Bila kita nampak atau tahu, maka sangkaan kita itu jadi pula bahan perbualan atau tohmahan yang amat kemungkinan tidak benar. Jika tidak benar…maka ia adalah fitnah.

Namun sedarkah kita bahawa, bila kita nampak satu-satu kekurangan insan lain sebenarnya ia adalah refleksi siapa diri kita. Ia adalah gambaran sikap kita terhadap apa yang berada dalam minda dan hati kita sendiri.

Contohnya, apabila sangkaan kita banyak negatif, maka apa yang kita lihat pada insan lain, sangat besar kemungkinan ianya negatif jua. Semuanya buruk-buruk belaka dan kita hanya nampak kekurangan dan kesalahan sahaja. Sehinggakan perkara-perkara kebaikan yang ada seolah terlindung dan padam begitu sahaja.

Bukan sekadar itu sahaja, keadaan menjadi lebih buruk apabila kita menjadikan semua itu perkara yang kita sebar-sebarkan atau menjadi bahan umpatan yang jelas perbuatan yang mengundang dosa.

Aduhai…

Kenapakah agaknya kita ini selalu menyibukkan diri dengan perkara-perkara sebegini. Sibuk mencari kekurangan orang lain sehingga terlupa kekurangan diri sendiri. Sibuk bergosip ke sini dan ke sana tanpa cuba dinilai diri kita sendiri.

Apabila kita merasakan kita serba bagus dan tiada kekurangan, kecenderungan melihat kekurangan orang lain menjadi sangat mudah. Dan inilah yang amat menakutkan. Merasakan kita berada dalam kedudukan selesa, menjadikan kita alpa. Alpa sehingga amat mudah jua kita menjaja fitnah ke sini dan ke sana. Nauzubillah…

Dalam pada itu saya juga sedar, kita bukanlah insan yang begitu naif. Namun apabila kita terlihat kesilapan atau kekurangan orang lain, kita sebenarnya ada pilihan. Iaitu pilihan untuk mendiamkan diri. Menutup mulut untuk menutup aib orang lain serapat-rapatnya.

Lebih-lebih lagi, jika kesilapan atau kekurangan itu melibatkan dosa mereka dengan Allah sahaja, apa pula hak kita untuk menyebar-nyebarkan. Bayangkan jika mereka memohon ampun atas dosa-dosa itu dan Allah mengampunkan mereka, bagaimana pula dosa kita dengan mereka. Sanggupkah kita memohon maaf dengan menyatakan kesalahan kita itu kepada mereka. Jika tidak, kita bakal mengusung dosa sesama manusia itu di akhirat kelak. Sanggupkah? Jika mereka tidak maafkan, sudah pasti kita bakal menghadapi kepayahan di hadapan Allah nanti.

Secara peribadi, saya berpendapat inilah adalah antara perkara yang sangat perlu diberi perhatian khusus. Menjauhi sikap menaburkan fitnah, mengumpat, mengeji dan apa jua sangkaan buruk terhadap orang lain. Apabila kita menyibukkan diri kita dengan segala kekurangan dan dosa yang ada, sebenarnya kita tak punya waktu untuk menilai dosa-dosa orang lain.

Jika kita dapati diri kita serba kekurangan dan serba tidak sempurna, maka sangkaan kita terhadap orang lain bisa berubah menjadi positif. Sangkaan kita baik-baik sahaja sebab kita tidak lagi meletakkan diri kita lebih dari orang lain.

Emmm….hakikatnya kita terlalu sibuk. Terlalu sibuk untuk mengaudit diri sendiri!

0 comments:

Related Posts with Thumbnails