Tuesday, February 15, 2011

Kasut

Semalam saya menonton filem Children To Heaven di saluran TV Alhijrah. Best cerita ini. Tiada unsur-unsur hedonisme. Cerita yang sarat dengan realiti kehidupan yang penuh dengan kasih-sayang. Saya tak pasti dari negara mana. Tapi mereka berbahasa arab. Iran mungkin.

Subjek utama adalah kasut. Dua beradik berkongsi kasut untuk pergi ke sekolah. Si adik pulang sekolah pasti berlari laju mendapatkan si abang yang menunggu untuk menyarung kasut yang sama sebelum ke sekolah pula.

Satu hari diadakan pertandingan marathon. Si abang sanggup menyertai acara tersebut untuk mendapatkan tempat ketiga. Hadiah tempat ketiga adalah sepasang kasut. Dia mahu mendapatkan hadiah tersebut untuk adik perempuannya yang begitu mahukan kasut yang lebih baik.

Selepas berhempas pulas, dia mendapat tempat pertama!

Si abang menangis dengan kemenangan tersebut. Bagi dia dan adiknya kemenangan tersebut tak punya apa-apa makna.

Apa yang mereka mahukan hanyalah sepasang kasut!

Saya menangis menonton filem ini. Sungguh tersentuh dengan kesukaran hidup mereka. Namun semangat untuk belajar begitu tinggi. Lebih-lebih lagi murninya kasih abang buat si adik yang mahukan kasut sendiri.

Walaupun ianya hanyalah sebuah filem, tapi apa yang disampaikan sangat terkesan di hati saya. Ada orang hanya mahu memenuhi keperluan yang asas sahaja. Sedang bagi yang lain pula cuba memenuhi apa yang sebenarnya bukanlah keperluan.

Ada orang susah, dan ada juga orang yang kaya…

Jika kaya, ingatkah kita kepada orang yang susah?

Saya teringat diri sendiri. Ketika sekolah rendah dan sekolah menengah saya pakai kasut kanvas nurse. Kasut tersebut milik kakak ipar saya. Kasut lama tapi masih boleh dipakai. Sehingga ke sekolah asrama penuh pun saya masih pakai kasut tersebut. Tiada pelajar lain yang memakai kasut tersebut, kecuali saya. Mudah nak kenal kasut saya.

Walaupun hanya kasut, peranan ia besar. Dengan kasut itu, ia melindungi kaki saya dan setia menemani saya ketika menuntut ilmu pada ketika itu.

Selain dari kasut nurse itu, saya ada juga kasut bata. Bata hijau. Satu sahaja. Waktu sekolah rendah, saya ke sekolah berjalan kaki. Jauh…mungkin 5 KM. Kasut berlubang bahagian tumit fenomena biasa. Bila berlubang, stokin pun berlubang. Hehehe…bila bukak kasut, malu rasanya. Mana tidaknya kasut berlubang dan stokin pun koyak bahagian tumit.

Selalunya kelas muziklah. Sebab bilik belajar muzik itu, kena bukak kasut. Aduhai….

Ilmu muzik ni tak lekat dengan saya. Saya tak pandai menyanyi dan tak pandai main muzik. Waktu tu paling famous tiup rekorder. Setakat tiup-tiup sumbang tu, bolehlah. Bersembur-sembur air liur. Hehehe…

Hari ini, saya ke kedai kasut untuk membeli selipar baru. Sebelah selipar hilang. Saya tak pasti di mana. Mungkin tercicir di tempat parking ketika memakai kasut.

Bila pulang saya ceria membawa dua pasang kasut baru. Masih mengekalkan jenama Bata, sepasang kasut untuk pergi kerja dan sepasang untuk aktiviti berjalan-jalan makan angin.

Jika dahulu kasut adalah perkara yang sukar nak dimiliki dan kini….

Kasut bukanlah keperluan asas lagi. Ianya hanyalah pelengkap kepada apa yang telah ada. Emmm....



Kasut untuk makan angin

0 comments:

Related Posts with Thumbnails