Friday, December 31, 2010

'Allah Maha Cahaya'

Saya terdengar lagu ini di radio IKIM semalam. Kali pertama mendengar, liriknya yang sungguh puitis itu sangat menyentuh hati.Dengarilah. Mungkin hati anda juga terusik sama.



Allah Maha Cahaya


Jauh melangkah berharap meniti waktu berlalu

Jauh berjalan lewati berjuta warna kehidupan

Tanpa sadari dalam cermin wajah ini

Bertambah umurku dalam hidup yang semakin merapuh


*Allah bukalah hatiku

bimbing dijalan terangMu

selamatkanlah jiwa yang gelap dlm cahaya rahmatMu

Allah Kau Maha Cahaya beri petunjuk sang jiwa

Ampuni diri yang lelah kadang sesat ku melangkah


**Allah sang Maha Cahaya menerangi gelap jiwa

Allah sang Maha Penguasa padanya hati berserah

Begitu lirih tanpa sadar air ata menjadi saksi banyak waktu sia sia

Tanpa sadari dalam cermin wajah ini

Bertambah umurku dalam hidup yang semakin merapuh

Allah terangi jiwaku

Allah beri petunjukMu

Allah bimbinglah hambaMu

Allah ampunilah aku

Thursday, December 30, 2010

Melihat ‘Kelebihan’ Bukan Kekurangan Diri

Sesuatu untuk pagi ini. Semoga diri kita saling ingat-mengingati bahwa kita kemungkinan masih belum cukup bersyukur atau terlupa untuk bersyukur.

Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan dunia, misalnya dalam kurniaan rezeki kerana dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat Allah yang diberikan-Nya kepada kita.

Daripada Abu Hurairah bahwa Rasulullah SAW bersabda;

Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu maka itulah yang lebih layak agar kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.’ ~Riwayat Muslim.

Ya Allah…jadikan kami dari kalangan hamba-Mu yang bersyukur. Ameen…

Wednesday, December 29, 2010

Kembali Ke Pangkuan-NYA

Subuh ini hujan turun sederhana lebat. Suasana senyap-sunyi. Hanya kedengaran titisan hujan yang menghempap bumi. Satu irama yang sangat menenangkan untuk satu hari yang masih diizinkan untuk saya terus bernafas. Kedinginan pagi membaluti diri yang masih tercari-cari arah perjalanan pulang.

Berita pemergian teman sekerja masih bermain-main di fikiran saya. Sambil menunggu azan subuh, saya resah sendirian. Mengingatkan bahawa kematian itu bakal menjemput pada bila-bila masa sahaja yakni pada satu waktu yang tidak diketahui, seakan tiada lagi apa yang dimahukan kecuali segala dosa-dosa diampunkan Allah.

Ya Allah…bagaimanakah ‘kepulangan’ku nanti.

Fikir kembali, banyak perkara yang masih belum diselesaikan atas nama tuntutan keatas setiap muslim. Arghhh…aku kena segera selesaikan hal ini. Bisik saya sendirian. Biarlah jika tiba masa saya, semuanya telah dilangsaikan. Tiada lagi ‘hutang’ dengan Allah.

Semalam ketika membaca surah Al-Imran, ayat 14 -17 mengingatkan saya tentang kehidupan dunia itu penuh dengan hiasan serta kemahuan dan destinasi kembali yang terbaik ialah syurga yang kekal abadi. Dan dari ayat 16-17, itu Allah memberitahu jalan-jalan untuk meraih syurga yang disebutkan itu.

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). (14)

Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertakwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga (pasangan-pasangan) isteri-isteri yang suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya. (15)

(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab Neraka. (16)

(Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah) dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya) dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah) dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah) dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur. (17)

Dari Ibn Umar r.a. berkata, sabda Rasulullah SAW;

‘Bila kamu berada pada waktu petang maka janganlah menantikan waktu pagi. Dan bila kamu berada pada waktu pagi, maka janganlah menantikan waktu petang. Pergunakanlah masa sihatmu untuk waktu sakitmu, dan pergunakanlah masa hidupmu untuk saat kematianmu’
~ Riwayat Bukhari

Ketika masih berselawat ke atas nabi, kedengaran azan subuh berkumandang dari surau yang berdekatan. Buat diri yang masih belum bersedia bertemu Penciptanya, saya bermohon agar kembali ke pangkuan-Nya dengan selamat sejahtera.

Semoga kita menjadikan berita kematian sebagai iktibar dan peringatan bahawa suatu hari nanti kita juga bakal menyertai mereka. Cuma tinggal di mana dan bila sahaja. Kerana semuanya dalam pengetahuan Allah jua.

Tuesday, December 28, 2010

Dan DIA Amat Dekat

Sepotong hadis qudsi dan ayat quran buat tatapan semua sebelum kita memulakan hari pada pagi ini. Tidak ada hujah lain bagi orang yang malas, ego dan berputus asa melainkan cuba menyalahkan orang lain. Sehinggakan Allah juga disalahkannya. Oleh yang demikian marilah kita sentiasa bersangka baik dengan ketetapan Allah dan seharusnya kepada Dia kita bertawakkal.

Abu Hurairah bahwa Rasulullah SAW bersabda:

Aku berada dalam sangkaan hamba-Ku. Dan Aku bersamanya jika dia mengingati-Ku. Maka sesungguhnya apabila dia mengingati-Ku dalam dirinya, maka Aku juga mengingatinya dalam diri-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku sepenuhnya, maka Aku juga mengingatinya lebih baik daripadanya ( mengingati-Ku ). Jika dia mendekati-Ku sejengkal, Aku mendekatinya sehasta. Jika dia mendekati-Ku sehasta, Aku mendekatinya sedepa. Dan jika dia mendekati-Ku dengan berjalan, Aku akan mendekatinya dengan berlari’
Riwayat Al-Bukhari.

Surah Al-Baqarah, ayat 186

‘Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka ( jawablah ) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila memohon kepadaku, maka hendaklah mereka memenuhi ( segala perintah )Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu berada dalam kebenaran.’

Sesungguhnya kepada-Mu kami bertawakkal.

Monday, December 27, 2010

Dua Buah Buku Koleksi Citratus Bertukar Tangan

Saya tersengih melihat teman saya meneliti buku yang bersusun di dalam almari kayu saya. Hampir nak terkeluar ada juga.

Tengok buku kat library akak ke?’ usik saya. Bila sebut library, macamlah banyak sangat bukulah pulak. Sebetul ia hanyalah sebuah almari yang sudah hampir melimpah.

Hah…banyak buku best ni. Kalau nak buku motivasi, tak payah cari jauh. Saya tahu mana nak cari. Cari kat akak je’ jawabnya sambil ketawa. Matanya masih tak lekang membelek satu-persatu.

‘Oh ya sekarang akak buat offer. Pemberian percuma buku kepada sesiapa yang berminat. So pilihlah?’ saya membuat tawaran seperti yang diwar-warkan baru-baru ini.

Satu sorang saja tau’ tambah saya lagi dalam nada bergurau.

Akhirnya beliau memilih dua buah buku. Tak boleh nak dikurangkan sebab nampaknya beliau berminat betul. Walaupun dah melebihi kuota, tapi saya ok sahaja. Saja buat gempak. Hehehe…

Pilihan pertama '7 Golongan Yang Mendapat Naungan Di Padang Masyhar' terbitan Pustaka Al-Shafa ( 2010 ). Saya masih ingat saya beli buku ini di sebuah kedai buku di LCCT.

Pilihan kedua beliau adalah buku 'Bila Allah Menduga Kita' karya Syed Alwi Alatas merupakan sebuah buku terbitan Mustread Sdn Bhd ( 2010 ). Ia adalah antara buku pilihan saya yang baik. Ini merangkumi gaya penulisan, susunan dan isi yang sangat bermanfaat.

Bila teman saya memilih buku ini, saya memberitahu ia antara buku yang saya suka secara peribadinya. Jadi jika beliau membaca, insya-Allah tak bosan.

Komen saya yang tercatat dalam blog ini juga telah diambil oleh penulis dan dimasukkan ke dalam blog beliau. Boleh baca di sini dan juga di sini.

Emmm...Langkah pertama baru sahaja bermula.

Berkongsi Buku, Berkongsi Ilmu!

Sunday, December 26, 2010

Icon Citratus

Dah masuk tahun ketiga saya menulis secara aktif di sini. Satu tempoh yang menagih banyak masa digunakan untuk hobi yang baru ini. Dan kini sudah pun jatuh cinta untuk terus menulis.

Nama citratus itu pun saya reka ketika membuka akaun blogspot. Tercari-cari nama yang sesuai kerana ketika itu saya merasakan bila meletakkan nama sebenar, ketika yang sama banyak perkara yang tidak perlu terlalu terdedahkan. Maksud saya segala-gala tentang diri sendiri. Ini merupakan antara perkara yang saya titik beratkan dan saya perlu jaga, lebih-lebih lagi identiti saya sebagai wanita yang berlabel islam.

Waktu itu saya fikir sesuatu yang bersifat saintifik. Dan nama Citratuslah yang saya temui pada ketika itu. Fikir dan fikir, saya rasa sesuai dan Alhamdulillah…kini ia masih lagi citratus.


Bila rakan saya memanggil saya Citra, saya sendiri tidak terfikir nama itu boleh digunakan sebagai panggilan. Semua itu berlaku tanpa dirancang. Dan kini semua pembaca atau responder memanggil saya dengan nama itu. Dan saya rasa sesuai juga.

Gambar profile yang saya gunakan turut berlaku tak dirancang. Ketika diminta upload gambar, saya memilih gambar bunga berwarna putih ini yang kebetulan dalam simpanan. Sebenarnya gambar itu anak saudara saya tangkap ketika kami bercuti di Cameron Highland. Ada juga yang agak cakna dengan profile saya, bila bertanya ‘ That’s the photo in your blog right’ tegur seorang teman bila melihat photo tersebut dalam album simpanan ( dalam pc ) saya. Saya ketawa sahaja sebab saya ingat ia tidaklah penting sangat. Rupa-rupanya ada yang ingat juga.

Oleh sebab yang begitu saya masih menggunakan dan mengekalkan photo yang sama untuk profile facebook saya. Cuba juga melakukan perkara yang sama untuk twitter, malangnya tidak dibenarkan. Saya fikir saya cuma mahu selaraskan nama dan icon yang sama untuk semua applikasi yang digunakan. Maka lebih mudah dikenali.

Terfikir juga saya, jika di masa hadapan saya dapat mengubah jalan rezeki saya sekarang ini kepada bidang yang lain, saya masih mahu mengekalkan nama dan icon yang sama. Insya-Allah.

Dan kini sangat rasa sinonim dengan icon ini. Bila kenang semula, semuanya berlaku bukan dirancang sedari awal. Apa yang saya lakukan hanyalah terus menulis dan mengekalkan apa yang ada dalam profile. Alhamdulillah…kini dah rasa citratus.blogspot.com antara perkara yang perlu ditengok setiap hari; jika berkelapangan.

Insya-Allah saya akan meneruskan hobi ini kerana saya fikir, ia adalah jalan bagi diri saya mengajak diri saya dan orang lain untuk sama-sama melakukan kebaikan selagi umur dikandung badan. Sesungguhnya segala ilham yang baik dari Allah yang maha luas ilmunya.

Saya juga memohon ampun dari Allah jika terdapat tulisan-tulisan yang tidak benar dan mengundang dosa yang tak disedari. Begitu juga, jika anda mendapati apa yang saya tulis adalah salah, tegurlah saya.

Dari tinta yang menulis dan dari hati yang melihat.

Saturday, December 25, 2010

Muhasabah 2010

Beberapa hari lagi tahun 2011 bakal menyusul. Ini bermakna semua dari kita meningkat usia setahun lagi. Majoriti kita melihat perubahan waktu adalah sekadar perjalanan yang tidak dapat tidak ia kan terus berlari. Adakalanya kita di pihak yang tertinggal, di pihak yang bersama waktu atau di pihak yang mendahului waktu.

Lihat dalam diri, tak banyak yang dicapai secara lahiriahnya. Biasa-biasa sahaja. Tapi ia satu tempoh yang telah mendewasakan. Banyak pengalaman yang dikutip dan setiap dari satunya mengajar untuk melihat lebih jauh ke dalam diri ke arah menyempurnakan kehidupan yang serba singkat ini.

Sejauhmana kita telah menghargai umur dan waktu yang dipinjamkan buat diri kita?

Berapa banyak masa kita menggunakan masa melakukan perkara yang bermanfaat?

Berapa banyak masa yang telah digunakan pada jalan yang sia-sia?

Dan itu semua menjurus kepada umur yang bermanfaat.

Umur yang meningkat tiada siapa yang boleh menghalangnya. Selagi kita diberi nafas untuk terus bernyawa, maka selagi itulah kehadiran tahun yang baru beerti umur kita juga meningkat lagi. Nak teruskan mengira? Bagi saya tak perlulah. Ia sekadar nombor sahaja. Tiada yang perlu digusarkan.

Yang paling utama, kita perlu saling beringat dan sentiasa bermuhasah, sejauhmana telah kita manfaatkan masa yang menjenguk dalam hidup ini.

Tanyalah diri kita, apa yang telah dilakukan untuk setahun yang telah berlalu itu. Adakah kita lebih baik dari tahun lepas atau lebih teruk lagi? Apapun insya-Allah jika kita masih ada umur, peluang sentiasa ada untuk menjadikan diri kita lebih baik dari masa-masa yang lalu. Selagi mentari terbit di sebelah timur, selagi itulah pintu taubat masih terbuka buat kita. Pendek kata, masih belum terlewat.

Tanamkan azam dan kekuatan untuk mencapainya. Andai yakin, tiada apa pun yang mustahil. Yang dicari umur yang manfaat. Yang dimahukan pulang ke pangkuan Ilahi dengan selamat sejahtera. Moga-moga muhasabah yang ringkas ini, mampu buat kita melihat ke dalam diri masing-masing.

Friday, December 24, 2010

Makan Pagi

Alhamdulillah. Saya baru selesai bersarapan. Tiadalah hidangan yang lengkap. Sekadar ala kadar sahaja. Maklumlah untuk diri sendiri sahaja. Apa yang ada sahajalah.

Sejak kebelakangan ini saya dapati, usai solat subuh perkara seterusnya ialah mencari sesuatu untuk dimakan. Perut begitu awal bergurindam. Jadi saya cuba makan sedikit sebagai alas perut sebelum bersarapan yang lebih sempurna pada jam lain.

Emmm…biologi pun bisa berubah-ubah juga mengikut cara hidup.

Jarang

‘Jarang seluar ni. Akak boleh nampak yang tak sepatutnya nampak’ tegur saya.

‘Hah…jarang ke?’ wajahnya terkejut. Malupun ada agaknya. Terus dia menarik-narik bajunya agar labuh menutupi bahagian punggung.

‘Hati-hati. Kain macam ni memang jarang sikit. Kalau warna gelap ok lagi, tapi kalau cerah macam ni, jadi jarang’ kata saya lagi.

‘Kak…saya tak mahu pakai lagilah seluar ni’ katanya membuat pengakuan. Wajahnya masih kelihatan terkejut dengan teguran saya itu.

Selepas itu rakan-rakannya muncul.

‘Eh…jarang tak seluar aku ni?’ soal dia kepada teman-temannya.

‘Akak cakap jarang. Nampak benda yang tak sepatutnya’ jelasnya kepada teman-teman. Resah.

Saya hanya mendengar perbualan mereka sahaja. Sebab saya sedang menunggu solat zohor berjemaah bermula bersama beberapa kaum wanita yang lain.

Ah….tak lah. Ok je,’ balas rakannya.

‘Ala…pakai je lah. Buat tak tahu je,’ Usul rakannya pula.

Astagfirullah…saya beristigfar di dalam hati. Hal berseluar jarang itu dipandang enteng oleh teman-teman baiknya. Sedih sekali! Dalam diam saya berharap dan berdoa beliau tidak mengambil nasihat teman-temannya itu.

Aduhai…pilihlah pakaian yang baik. Jangan ter’over’ berfesyen sampai menidakkan hal-hal seperti ini.

Integriti

‘Saya biasa lihat seorang hamba Allah ini’ kata teman saya.

‘Dia solat diawal waktu. Katakan dia berehat lebih dari masa yang diperuntukkan, dia akan pulang kerja sedikit lewat. Qada masa yang dia tidak bekerja tadi,’ katanya lagi.

Subhanallah…masih ada individu yang sebegini. Sebetulnya saya mengenali individu yang dikatanya itu sebab kami pernah bekerja bersama beberapa tahun lalu. Tapi kini individu itu dah berhenti kerja. Saya juga mengetahui bahawa beliau terlibat dalam aktiviti tabligh sejak dulu lagi.

Walaupun begitu, dia tak terlalu ‘tabligh’ ( maaf…saya tak jumpa perkataan yang sesuai ). Maksud saya bila saya terserempak dan menegur beliau di luar dari kawasan kami bekerja, dia masih boleh berbual dengan saya ( sebentar cuma ) tanpa terlalu melarikan diri atau tidak mahu langsung memandang saya. Meskipun rakan-rakan yang berpakaian ‘tabligh’ ada bersama beliau.

Kami berbicara perihal integriti di tempat kerja. Sikap kita dalam menangani amanah dan punca rezeki ini. Banyak perkara yang perlu kita perhatikan. Sikap kita dengan Allah dan sikap kita dengan manusia. Bila bekerja ia adalah punca rezeki. Jadi setiap masa yang diperuntukkan perlu digunakan mengikut akur janji.

Tapi hari ini, kita adakalanya memandang enteng hal-hal seperti ini. Contohnya barang-barang milik syarikat, dibawa pulang untuk kegunaan peribadi. Apatah lagi masa yang ada dihabiskan dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berkaitan dengan kerja kita. Semua perkara ini perlu diperhatikan. Jika kerja kita adalah punca rezeki, memastikan ianya halal sangat diutamakan kerana dengan rezeki itu kita menyara keluarga.

Masa hadapan yang baik dan barakah bermula dari sumber rezeki yang halal. Peringatan dan teguran buat diri saya juga.

Salam Jumaat!

Wednesday, December 22, 2010

Notis Pemberian Buku Secara Percuma

Assalamu'alaikum wbt;

Kepada Para Pembaca Budiman,

Kepada sesiapa yang pernah membaca catatan tentang buku-buku yang telah saya tulis di ruang blog ini dan berhajat mendapatkan mana-mana buku tersebut, anda boleh menghubungi saya menerusi e-mail atau laman facebook.

Insya-Allah, saya akan poskan terus kepada anda. Namun ia bukanlah buku baru, tetapi buku milik saya yang telah saya baca.

Setiap pemberian adalah percuma. Namun begitu, buat permulaan saya cuma menghadkan 3 buah buku sebulan sahaja. Ini adalah kerana saya mahu memastikan saya boleh melakukan perkara ini dalam keadaan saya punyai komitmen yang lain juga. Insya-Allah jika ada permintaan, saya akan tambah bilangannya di masa hadapan.

Senarai buku percuma untuk bulan Januari akan dipapar nanti. Nantikan.

Berkongsi buku, berkongsi ilmu!

Wassalam…

Tuesday, December 21, 2010

Program Realiti ( bah 2 )

Kita selalu menyebut, bila hanya kita diuji baru kita tahu tembelang atau siapa kita sebenarnya. Tinggi mana iman kita. Itulah keadaannya. Kata memang mudah, namun hal ini menjadi payah bila diri sendiri berada dalam senario tersebut.

Ibarat program realiti yang kita tonton di kaca TV. Ia bukan lakonan tetapi realiti yang ditayangkan kepada penonton. Ironinya begitu jua kita. Hidup adalah realiti dan kita adalah pesertanya. Tinggal lagi kita tak muncul di kaca TV sahaja. Tetapi perlu ingat kita sentiasa dalam pemerhatian Allah. Apa yang kita buat sekarang akan diulang tayang di mahkamah masyhar.

Menjadi baik adalah satu perjuangan yang sangat bersifat individu. Dalam diri ada musuh yang tersembunyi; nafsu yang sentiasa condong kepada keindahan dunia dan isinya. Juga godaan atau hasutan syaitan yang sememangnya berikrar merosakkan seluruh keturunan anak Adam sehingga ke hari akhirat.

Maka itulah perjuangannya. Senjatanya satu sahaja iman di dalam dada. Wah! Mudah betul menyebutnya. Tapi bila kita berada dalam situasi berikut; mampukah kita mempertahankan iman dan keinginan untuk menjadi baik itu.

Contoh pertama; berpuasa bulan Ramadhan memang agak mudah. Insya-Allah. Sebab majoriti orang berpuasa. Namun bila tiba keadaan tidak boleh berpuasa, kita resah dan rasa amat rugi sekali. Satu hal sebab kita kena ganti pada bulan selepas Ramadhan. Bila mengganti puasa dilewat-lewatkan sehingga ramadhan kembali menjelang. Itu dikira masih ok. Tetapi ada juga yang buat tak tahu dan terus tak mengganti puasa yang telah ditinggalkan. Adakah terdetik di hati tentang hak Allah yang tidak kita sempurnakan itu?

Contoh kedua; berpuasa sunat. Bila berada dalam dua keadaan. Buat insya-Allah ada ganjaran, tak buat tiada masalah. Tak salah pun. Ketika itu apa pilihan kita?

Contoh ketiga; menunaikan solat tahajjud di tengah malam atau sebelum waktu solat subuh masuk. Juga kita berada dalam pilihan. Buat insya-Allah janji Allah sangat hebat bagi siapa-siapa yang melaksanakan. Tak buat dan pilih untuk terus tidur sampai subuh, tiada masalah. Jika begitu keadaannya, selama ini apa yang kita pilih?

Contoh keempat; ketika menunaikan haji atau umrah, kita berpakaian menutup aurat selengkapnya. Tak susah sebab semua orang berpakaian begitu. Bila pulang ke tanah air, kita kembali kepada realiti kehidupan kita bahawa banyak orang sekeliling tidak begitu. Dan waktu itu masih mahukah kita meneruskan ‘latihan’ selama beberapa minggu di tanah suci itu?

Contoh kelima; kita melihat orang sekeliling dan berkata si polan itu berdosa sebab buat begitu begini. Tetapi ketika ujian itu datang kepada kita, kita tak mampu nak tahan diri dari tidak melakukan perkara yang sama. Waktu itu sedarkah kita bahawa satu ketika dahulu kita yang pernah menempelak orang lain?

Contoh keenam; kita kata cinta kepada manusia murah dan perkara enteng. Cinta Allah paling tinggi. Buat begitu dan begini berdosa. Namun bila kita dilanda asyik masyhuk mencintai individu silang jantina, kita meletakkan cinta itu sesuatu yang indah. Cinta yang menghidupkan hari-hari yang dilalui. Demi cinta dalam tanpa sedar, kita sedikit demi sedikit melakukan maksiat. Maksiat mata, maksiat hati, maksiat tangan dan pelbagai lagi perilaku yang didasari cinta kepada manusia itu. Waktu itu ada tak terlintas di fikiran kita, apa yang kita buat itu salah? Mana cinta Allah yang kita kata cinta yang paling tinggi itu?

Contoh ketujuh; kita kata duit dan harta bukan segala. Namun sanggupkah kita membelanjakan harta dan wang ringgit pada jalan sedekah atau pada jalan jihad dalam kuantiti yang besar? Atau selama ini, kita hanya seronok melihat wang berkepuk-kepuk di bank tanpa digunakan? Bagaimana pula dengan tuntutan zakat? Adakah kita ada melakukannya bila tiba masa yang ditetapkan?

Waimanya itu hanyalah sebahagian contoh sahaja. Sebenarnya banyak lagi. Apapun saya memohon maaf, apa yang saya catat itu tidak ada kena mengena dengan sesiapa. Ia hanyalah perkara yang kerap saya fikirkan. Sebahagiannya tentang diri saya juga. Peringatan dan pertanyaan dari diri untuk diri sendiri.

Dan… itulah program realiti yang terbesar. Ia bukan lakonan tetapi satu realiti yang perlu dihadapi. Jika mampu insya-Allah berjaya sampai ke penghujungnya dengan selamat. Jika kalah, maka jatuh tersungkur dan terus tersungkur selama-lamanya. Tersungkur di pintu neraka. Nauzubillah…

Yang nyata, saya dan andalah kini sedang berada di pentas program realiti itu. Lalu apa yang kita telah lakukan untuk sampai ke penghujung jalannya dengan selamat dan ..lalu berkata

Yeah! Akulah juara.

Monday, December 20, 2010

Manis Dan Kelat Bila Banjir


Hujan yang turun seharian menyebabkan kawasan perumahan kakitangan yang saya huni dinaiki air. Seingat saya, kali ini agak teruk juga. Tak banyak pilihan. Kecuali berfikir dengan pantas apa yang perlu dilakukan. Kata mudah selamatkan diri dari sebarang perkara yang mengundang bahaya.

Balik kerja, jalan sesak sebab ada jalan yang rosak terus. Kereta yang berpusu-pusu untuk pulang ke rumah mengisut-ngisut meredah jalan yang digenangi air. Kiri kanan jalan dipenuhi air. Ada kawasan dah kelihatan seperti laut. Hujan pula terus rancak menyimbah ke bumi. Banyak kereta terpaksa parking di tebing jalan. Emmm….macam mana ni. Fikiran saya pantas mencari apa yang perlu dilakukan.

Dalam keadaan yang mendesak itu saya buat pilihan menginap di sebuah hotel yang berhampiran. Lagipun kalau saya buat keputusan memandu pulang ke rumah, keadaan mungkin merbahaya. Ditambah dengan saya dah cukup letih selepas seharian bekerja. Takpelah fikir saya. Untuk sementara waktu sahaja. Insya-Allah semuanya ok.

Sebaik sahaja saya walk-in, penyambut tetamu hotel tersebut berkata, bilik yang harganya paling rendah sudah habis. Kerana pada hari ini ada group check-in. Yang tinggal hanya bilik yang agak mahal. Setelah cuba mendapatkan harga korporat, harga yang dinyatakan bagi saya masih lagi tinggi untuk satu malam penginapan. Aduh…ujian sungguh!

Fikiran saya berfikir laju kembali. Macam mana ni. Patah balik ke? Cuba cari tempat penginapan lain. Dalam cuaca yang tidak mengizinkan itu, kembali meredah jalan yang sesak dalam hujan yang tidak berhenti-henti nampaknya bukan pilihan yang terbaik.

Akhirnya saya setuju.

Sempat berbisik kepada diri. Penat-lelah bekerja adalah untuk mencari rezeki. Jika begitu kenapa harus berkira-kira hatta kepada diri sendiri? Emmm….

Takpelah semalam sahaja. Besok cari sahaja jalan lain. Bisik saya lagi.

Menginap di hotel macam bercuti pula rasanya. Dapat merehat dan menenangkan fikiran jauh dari kebiasaan. Relaks sahaja. Hehehe… bagus juga macam ni.

Pagi tadi saya singgah ke rumah sebelum ke tempat kerja. Alhamdulillah air dah kering. Rumah tak dimasuki air, cuma kawasan sekitarnya sahja air agak tinggi dan tidak membolehkan kenderaan masuk.

Dan malam ini saya kembali menginap di rumah kakitangan ini. Alhamdulillah...

Bila saya kenang-kenang, rasa nak tergelak pun ada. Setiap hujung tahun, penangan banjir sentiasa mewarnai kehidupan saya yang bekerja di negeri Trengganu ini. Cuma yang membezakannya teruk atau tidak sahaja.

Tahun lepas, apabila saya keluar rumah nak pergi kerja, saya terperangkap. Tak boleh keluar rumah. Kawasan sekitar macam laut. Jadi saya duduk dalam rumah tunggu sehingga air berkurangan. Saya ada tulis juga. Boleh baca di sini.

Manis dan kelat musim tengkujuh dan musim banjir di Trengganu adalah antara perkara yang saya paling ingat sejak mula bekerja di negeri ini. Dan mungkin tahun hadapan, coretan yang sama bakal menyusul juga agaknya. Itupun kalau saya masih berada di sini.

Setiap yang pahit, di penghujungnya adalah sesuatu yang manis untuk terus diingati dalam episod kehidupan dan hari-hari yang mendatang. Pengalaman yang sangat mendewasakan.

Selamat Malam!

Sunday, December 19, 2010

'Ya Allah Aku Tidak layak Untuk Syurga-Mu, Namun Aku Juga Takut Azab Neraka-Mu'


Buku Ya Allah! Aku Tidak Layak Untuk Syrga-Mu, Namun Aku Juga Takut Azab Neraka-Mu’ ( 2010 ) adalah karya Badiatul Roziqin penulis dari tanah seberang. Tertulis pada buku ini ‘Hakikat Cinta’.

Secara keseluruhan buku ini memperkatakan perihal cinta yang sebenar. Mengambil contoh tokoh-tokoh sufi dalam membicarakan cinta mereka terhadap pemilik cinta itu.

Di kulit belakang tertulis, bahawa buku ini mengajak kita semua untuk belajar dengan rendah hati bagaimana sepatutnya kita berterusan kasih kepada Allah Azza wa Jalla, memohon keampunan-Nya, mengharapkan redha-Nya, sebagai hamba yang tidak berdaya dihambat lumpur-lumpur dosa.

Ini adalah motivasi islam, membangkit kekuatan hati agar segera sujud kepada-Nya. Dengan sebenar-benar sujud, menebus segala dosa, selagi roh masih dikandung badan sebelum syurga atau neraka terhampar di depan mata kita!

Ali r.a mengatakan: ‘Aku khuatir dua perkara berikut menimpa kamu semua; cita-cita dunia yang berlebihan dan menurut hawa nafsu. Bercita-cita berlebihan akan melalaikan akhirat, sedangkan menurutkan hawa nafsu boleh menghalang menerima kebenaran. Dunia akan berlalu dan akhirat akan menjelang. Setiap keduanya mempunyai pengikut. Oleh kerana itu, jadilah kamu semua pengikut akhirat, jangan menjadi pengikut dunia. Hari ini adalah waktunya beramal dan tidak ada amalan dihisab, sedangkan esok adalah hari amalan dihisab dan bukan waktunya beramal.’

Rasulullah saw bersabda: ‘Seseorang yang ketika waktu pagi menjadikan dunia sebagai tujuan besarnya, maka dia tidak akan mempunyai kedudukan apa pun di sisi Allah SWT. Dia juga akan memberi empat perkara dalam hatinya; kesedihan yang tidak pernah berakhir, kesibukan yang tiada waktu lapang, kefakiran yang tidak pernah mencapai kekayaannya dan angan-angan yang tidak pernah mencapai tujuannya.’ ( HR Tabrani ).

Wallaualam…

Saturday, December 18, 2010

Hijrah 'Kecil'

Malam itu 1 Muharram 1431H. Dan saya perlu menghadiri kelas.

Saya menarik nafas panjang sambil mencari-cari kekuatan jauh di lubuk hati. Saya merenung sepasang sarung kaki di tangan.

Bukankah kau mahu melakukannya’ seolah suara hati saya berkata-kata.

‘Inilah permulaan. Permulaan untuk kau mengubah diri kau ke arah yang lebih baik. Memenuhi tuntutan agama. Bila lagi kau nak mengubahnya’ suara itu berbisik lagi.

Allahuakbar!

Ada rasa tidak yakin. Bukan apa, bila saya memakai sarung kaki pada malam itu bermakna selepas ini tiada ruang untuk saya keluar tanpa memakai sarung kaki lagi. Bolehkah? Bagaimana dengan kasut-kasut beraneka fesyen yang tersusun di dalam rak kasut. Sesuaikah untuk saya memakainya lagi? Bisikan-bisikan yang bersifat negatif itu terus-terusan menyerang minda saya.

Ya Allah. Berilah kekuatan kepadaku. Bantulah aku…

Dada saya berdebar-debar. Pelik betul perasaan yang datang menyerang. Aduhai…

Mana tidaknya, ia bukan sebarang janji. Ia janji dengan Tuhan. Janji untuk patut kepada apa yang disyariatkan.

Beberapa hari sebelum itu, saya sudah membeli beberapa pasang sarung kaki. Arghhh…persediaan sudah dibuat. Nah! Sekarang hanya perlu melakukannya sahaja. Come on…do it! Hati kecil saya seakan menjerit.

Teringat ketika dalam ibadah haji atau umrah, stokin tak pernah ditinggalkan. Kalau tak pakai rasa kekurangan dan janggal sekali. Lagi satu jemaah wanita lain semua berstokin. Kenapa bila berada di tanah air sukar nak diteruskan?

Hakikatnya inilah cabaran sebenar. Cabaran realiti… Bila kebanyakan orang tidak melakukannya, dan menjadi kaum minoriti sangat menguji kemampuan diri. Berada dalam situasi ok dengan orang kebanyakan atau mampu dan kuat untuk melakukan sesuatu yang memang dituntut. Emmm…..

Dengan lafaz bismillah, akhirnya saya mengenakan sarung kaki tersebut sebelum keluar dari rumah pada malam itu.

Apabila sampai di kelas, saya merasakan semua mata memerhatikan saya.
‘Aduh! Mereka tengok kaki aku kah?’ bisik saya. Rasa sungguh tidak selesa. Walhal mereka bukan memandang kaki saya, cuma saya yang perasan lebih.

Ketika duduk, saya rasa malu tak bersebab. Saya cuba menyorok kaki jauh dari pandangan orang lain. Maklumlah di bilik kuliah, hanya kerusi yang ada.Meja disangkut sekali kepada kerusi. Ada rasa malu sebab sebelum itu saya tidak pernah mengenakan sarung kaki.

‘Diaorang ni perasan ke aku macam ni’ bisik saya yang tak habis-habis curiga. Sukar juga nak menumpukan perhatian kepada pelajaran pada hari itu. Sampai begitu sekali!

Apabila pulang dari kelas, ketika melangkah ke dalam rumah, saya mengungkapkan kalimah Alhamdulillah…lepas ujian yang pertama. Dan langkah yang pertama itu menuntut untuk diteruskan pada hari-hari yang mendatang. Mampukah?

Itu peristiwa yang berlaku setahun yang lalu. Satu keputusan untuk ‘berhijrah’ dalam menyempurnakan penutupan aurat. Satu tuntutan yang mahu dipenuhi.

Sekian lama saya merasakan kekurangan diri apabila sahaja membaca perihal batas-batas aurat seorang wanita. Ustazah pun ada menyebutnya beberapa kali. Sebagai wanita islam, yang boleh kelihatan hanya muka dan kedua pergelangan tangan sahaja. Selainnya perlu ditutup. Bayangkan…bagaimana pengetahuan itu sampai kepada saya tetapi saya tidak melakukannya. Apa yang nak saya jawab bila dipersoalkan kelak….

Selain dari itu, ada peristiwa yang membuatkan saya berfikir sangat panjang untuk melakukannya. Boleh baca disini.

Dan kini Alhamdulillah, sehingga kini saya masih berupaya meneruskan bertatih-tatih. Sudah mula rasa janggal keluar rumah tanpa memakainya.

Ujian tetap ada. Mana ada perkara yang mudah. Saya pernah ditegur oleh teman, bila dalam foto saya jelas kelihatan stokin berwarna kelabu yang saya pakai sebab saya pakai selipar. Bunyinya seakan ejekan tetapi saya membalas dengan mengatakan saya memakainya sebab… sejuk!

Namun secara jujurnya, kini saya merasakan saya cukup ‘bebas’. Sesuatu yang tak pernah saya rasai satu ketika dahulu. Ya bebas, sebebas-bebasnya…

Dengan profesion saya ini yang berinteraksi dengan ramai lelaki setiap hari serta kehidupan saya sendiri sering bermusafir, maka ‘kebebasan’ ini amat dirasakan. Pergilah ke mana sahaja, kini saya yakin tiada apa lagi yang menghambat rasa bersalah dan berdosa di dalam diri dek menutupan aurat yang tak sempurna.

Saya memilih untuk mengenakan sarung kaki kerana itulah yang dituntut dari saya sebagai seorang wanita islam. Mudah-mudahan ‘hijrah’ yang kecil ini kekal selamanya…

Kepada Allah, saya mohon kekuatan itu.

Friday, December 17, 2010

Jangan Terlalu Mahu

Kehendak dan kemahuan adalah sifat manusia. Kita mahu itu, kita mahu ini dan pelbagai lagi kemahuan kita. Tidak salah untuk mahu dan juga tidak janggal jika kita cuba memenuhi kemahuan diri kita sendiri. Kemahuan itu adalah sebahagian keperluan dan pengisian hidup. Atau lebih tepat fitrah manusia.

Kemahuan boleh dibahagikan kepada dua. Pertama kemahuan yang bersifat fizikal; contoh kemahuan untuk memiliki sebuah kereta. Mahu sesuatu yang wujud secara lahiriahnya. Kedua kemahuan yang melibatkan emosi dan rasa; contoh kemahuan untuk dicintai atau disayangi. Mahu sesuatu yang hanya dapat dirasai di hati. Sesuatu yang tidak kelihatan dek mata.

Walau apa pun kemahuan, samada yang dilihat atau tidak, ia tetap satu sifat manusia yang jelas. Persoalannya bagaimana mahu menanggani kemahuan diri.

Ramai yang menunjukkan kekecewaan yang amat ketara bila kemahuan mereka tidak dipenuhi. Lebih parah setalah terlalu yakin dan merasakan usaha untuk mereka memenuhi kemahuan cukup banyak, kemahuan yang ‘digagalkan’ oleh takdir seolah merobek kehidupan.

Mahu tidak salah, namun kesudahan di bahagian akhir itu perlu diingat. Berjaya atau gagal. Dapat atau tidak dapat. Jadi atau tidak jadi.

Di sini menanggani kemahuan yang tidak kesampaian perlu ditanggani sebaik mungkin. Ianya penting bagi menggelakkan diri kita terjerumus dalam kancah kekecewaan yang teramat sangat.

‘Nak buat macam mana, dah jadi macam ni. Harap-harap kuat untuk bangun kembali’ ujar seorang teman dalam nada kecewa.

Benar! Bila gagal atau bila kemahuan kita tidak kesampaian, kita tiada jalan lain selain bangun kembali sebab hidup perlu diteruskan dalam keadaan yang ceria dan bahagia. Takkan nak selama-lamanya hanyut dek ‘kegagalan’ untuk memiliki sehingga keseluruhan hidup kita menjadi tidak keruan.

Hakikatnya, kemahuan kita perlu ditanggani secara bersederhana. Bukan tidak mahu tetapi meletakkan bahawa jawapan akhir itu bukan terletak di tangan kita. Dapat atau tidak dapat, berlaku dengan keizinan Allah.

Jangan terlalu mahu!

Apabila kita meletakkan kemahuan ditahap sederhana, kita telah meletakkan kebarangkalian untuk jadi terlalu kecewa itu jauh dari diri kita. Bila kita ditidakkan kemahuan itu, insya-Allah kita mampu menghadapi segalanya dengan hati yang tenang. Akur dengan kesudahan yang ditakdirkan.

Secara mudah, reaksi kita terhadap kegagalan atau kemahuan yang ditidakkan menggambarkan bagaimana kita meletakkan keyakinan terhadap takdir yang telah disusun buat diri kita.

Yakin. Yakinlah apa yang kita mahukan tidak semestinya baik buat diri kita. Mungkin ada yang lebih baik menanti. Tangganilah kemahuan terhadap dunia dan isinya secara sederhana sahaja. Insya-Allah, kita tidak terlalu sakit bila kecewa.

Bukankah banyak lagi yang perlu diusahakan di dunia ini buat bekalan ke kampong akhirat. Jadi janganlah kita mengorbankan kehidupan kepada hanya sedikit kemahuan yang tidak dicapai. Arghh…ruginya!

Wednesday, December 15, 2010

Cuti Yang Dipaksa

Setelah sekian Allah memberi nikmat kesihatan, akhirnya hari ini saya mengaku kalah jua. Terpaksa mengambil keputusan me’MC’ kan diri. MC yang pertama untuk satu tempoh yang agak lama. Sebenarnya, sudah seminggu lebih saya merasa tidak selesa dengan keadaan diri.

Ada juga saya pergi pusat SPA. Nampaknya ‘rehat’ sedemikian rupa tidak membantu saya pada kali ini.

Seharusnya saya ambil keputusan berehat yang sebenar-benarnya lebih awal lagi. Namun dek tidak mahu terlalu memanjakan diri, nah!..akhirnya kemampuan diri memberi kata putus. Stop! Apa tidaknya setiap hari ada sahaja urusan yang perlu diselesaikan. Tiada pilihan lagi. Amboi…macam sibuk betul kan. Bukan sibuk, cuma rutin pengisian hidup sahaja.

Memang benar, rehat yang singkat ini sangat membantu. Disamping pengambilan ubat pemberian doktor secara berkala diikuti sebaik mungkin. Kebetulan pula hujan di sebelah pagi menimbukan suasana yang amat tenang dan damai. Angin yang segar menyelinap di celah-celah tingkap rumah. Arghhh…sungguh merehatkan. Dan kini..saya rasa lebih ok. Emmm…Dan sekarang dah boleh menulis di sini. Hehehe…

Nikmat kesihatan ini jarang dihargai. Apabila ia ditarik, waktu itulah kita sedar bahawa ‘alangkah baiknya jika aku sihat.’ Sedangkan ketika kita sihat banyak perkara yang dipandang enteng. Satu nikmat yang tak digunakan sebaik mungkin.

Bila tidak sihat, banyak perkara tidak dapat dilaksanakan. Terbaring lesu tak bermaya. Lakukan amalan-amalan yang wajib-wajib sahaja. Nak puasa sunat hari asyura 9 – 10 Muharram ini pun tak dapat. Kan banyak kurangnya.

Bila sihat banyak benda boleh capai. Bukan sekadar sihat, nikmat pada usia muda juga punyai kelebihan untuk melakukan banyak perkara jika dibandingkan dengan insan-insan yang sedang berada dalam usia emas. Teringat cerita teman-teman yang baru pulang mengerjakan haji.

Aduhai…besarnya nikmat sihat, besarnya nikmat usia. Subhanallah…

Untuk diri saya pula, nikmat sihat selama ini, didahului dengan ucapan Alhamdulillah. Dan bila nikmat itu ditarik seketika, saya menganggap ia adalah kafarah atas dosa-dosa yang ada. Alhamdulillah…

Tuesday, December 14, 2010

'Mazhab Cinta'

'Mazhab Cinta' alunan puisi Rabi'ah Adawiyah, tokoh sufi yang lebih memilih untuk tidak berkahwin kerana dia ingin mengabdikan pada Allah sepanjang hidupnya. Puisi ini saya namakan 'Mazhab Cinta'. Bukan nama yang diberikan oleh pemilik puisi ini.

Ketika dia menolak lamaran salah seorang yang ingin mengahwininya, dengan lembut dia berkata, "Sebuah perkahwinan adalah bagi mereka yang memiliki suatu kewujudan ( iaitu bagi mereka yang masih mempunyai keinginan dan keindahan isi dunia ini). Di sini kewujudan itu sudah kuleburkan kerana aku telah menanggalkan diriku sebenarnya. Kewujudan ada pada-Nya dan seluruh hidupku adalah milik-Nya. Aku selalu dalam bayang-bayang perintah-Nya. Jangan kamu semua tanyakan perkahwinan itu padaku, tetapi tanyalah pada-Nya.'
Mazhab Cinta’

Ya Tuhanku!
Tenggelamkan aku dalam mencintai-Mu
Sehingga tiada suatu pun yang dapat memalingkan aku dari-Mu
Kekasihku tidak menyamai kekasih lain biar bagaimana pun
Tiada selain Dia dalam hatiku mempunyai tempat mana pun
Kekasihku ghaib daripada penglihatanku dan peribadiku sekalipun
Akan tetapi Dia tidak pernah ghaib di dalam hatiku walau sedetik pun

Aku mencintai-Mu…
Oh Tuhan tercinta…
Dengan cinta penuh kesenangan
Kerana Engkaulah yang layak dicintai
Adapun cinta hawa
Maka aku sibuk mengingati-Mu dari yang lain
Ku harap Kau bukan tabir untukku
Sehingga aku dapat memandang-Mu
Maka ujian yang ini dan itu bukan untukku
Melainkan hanya untuk-Mu

~ Alunan puisi Rabi’ah~


Monday, December 13, 2010

Bukan Kerana Saya...

Ucapan tahniah baru saya terima dari bekas boss saya yang kini berada jauh di benua yang berasingan. Sungguh mengujakan sebab sudah lama betul kami tidak berhubungan. Aduhai…Begitu cepat berita tersebar. Melangkaui sempadan dan lautan. Selain menerusi e-mail, saya turut menerima panggilan jauh dari teman yang kini telah pulang ke negaranya.

Saya sendiri tidak pasti e-mail yang saya hantar mengenai siapnya projek yang saya pegang, kini disebar luaskan oleh individu lain. Serata dunia! Aduh…

Sebetulnya saya hanya mengambil alih dari teman yang berpindah kerja. Ketika menyertai team tersebut, segala-galanya sudah separuh jalan. Yang tepat ianya bukan dari saya. Saya hanya meneruskan kesinambungan dan cuba memastikan segala siap dengan selamat. Itu sahaja.

Saya sendiri merasakan tekanan apabila ia tidak mengikuti jadual yang asal. Tersasar. Sangat jauh tersasar. Kami menjadi perhatian banyak pihak. Maklumlah harganya yang mahal serta ianya satu aset yang paling besar di tempat saya bekerja ini. Projek ini dikatakan boleh mengatasi masalah kekurangan bekalan gas yang kami hadapi.

Saya dapat menghidu ketidak yakinan orang terhadap saya dan rakan-rakan saya yang ada. Apa tidaknya, awal-awal lagi saya disarankan mendapatkan perkhidmatan orang luar untuk kerja-kerja ‘menghidupkan’ aset tersebut. Bayaran orang luar ini bukannya murah. Mahal! Satu kos yang terpaksa ditanggung.

Dengan penuh yakin, saya jawab tak perlu. Team saya tidak memerlukan orang luar untuk membantu kami. Dan saya fikir serta saya yakin bahawa orang tempatan juga boleh. Sesuatu yang perlu dibuktikan, meskipun ada yang meragui.

Hakikatnya…Dalam hati saya Tuhan sahaja yang tahu. Betulkah jawapan aku ini? Bolehkah?

Nampaknya saranan itu tidak sekadar berakhir di situ, ketika kerja-kerja pembinaan selesai, saya sekali diusulkan cadangan yang sama oleh rakan sekerja yang berbangsa asing. Perlukah kita mendapatkan perkhidmatan orang luar?

Aduh…NO. We are OK. Full stop!

Entahlah…mungkin karektor saya ini yang tidak menyakinkan atau memang orang hanya percaya kepada orang-orang luar ( dari negara barat ) dan teman saya yang sudah pulang ke negaranya. Saya sedar saya bukan sehebat dan sepandai teman saya itu. Jadi wajarlah untuk orang lain mengusulkan cadangan-cadangan tersebut kepada saya.

Tapi saya selalu ingat, saya ada Tuhan yang akan membantu. Bunyinya tidak begitu teknikal kan. Tapi ia adalah satu hakikat yang melampaui segala urusan kehidupan. Adanya Tuhan yang menjadi tempat saya meminta pertolongan.

Ketika saya menunaikan umrah Ramadhan yang lalu, di Masjidil Haram, saya bersolat hajat mohon kepada Allah akan membantu saya menyiapkan projek ini dalam keadaan selamat.

Saya turut kerap kali berdoa usai solat dhuha agar Allah membantu saya. Tak lupa juga membuat solat hajat secara sendirian. Solat hajat juga saya minta dibuat oleh badan agama tempat saya bekerja.

Kami berusaha dan kini saya bertawakkal. Saya berkata kepada diri insya-Allah segala-galanya selamat sebab saya yakin doa saya didengari-Nya. Itulah satu-satu keyakinan yang saya pegang kuat.

Ya..Allah aku sudah berdoa dan kini aku serah segala-galanya kepada Engkau.

Alhamdulillah…segala puja dan puji bagi Allah. Dengan izin-Nya, projek ini berjaya diselesaikan dengan selamat.

Ramai yang kelihatan gembira, namun saya tidak merasakan begitu. Tiada apa nak dibanggakan. Saya hanya menyelesaikan tanggungjawab yang diamanahkan. Kredit seharusnya milik teman-teman saya yang berhempas pulas menyelesaikan segala-galanya sejak dari awal lagi.

Bagi diri saya pula, diam-diam saya akur, besar dan hebatnya nilai doa dalam urusan kehidupan ini. Bukan sekadar urusan yang bersifat peribadi, malah urusan-urusan kerja. Urusan-urusan yang kita sendiri tidak punyai keyakinan terhadap diri sendiri.

Percaya bahawa Allah itu ada.Percaya kepada Dia Tuhan yang maha mendengar dan maha berkuasa. Dan kepercayaan itu membawa kepada keyakinan yang tak berbelah bagi lagi dalam mengharungi sesukar mana sekalipun kehidupan atau urusan yang sedang dilalui.

Lalu siapalah saya jika tidak tahu lagi bersyukur. Usai solat isya’ tadi, saya tunaikan solat syukur tanda terima kasih atas izin dan pertolongan-Nya.

Terima kasih Tuhanku. Kepada-Mu aku sujud…

Sunday, December 12, 2010

Ketika Hatiku Ingin Berhijrah


Oh…kebetulan pula. Saya baru menulis tentang Hijrah Hati dan semalam saya terjumpa buku ini di sebuah kedai buku. Terus menyambar sebab tajuknya yang indah itu. Mencari-cari jawapan kepada hijrah hati yang dimahukan. Apapun sememangnya direncanakan begitu agaknya. Alhamdulillah…

Ketika Hatiku Ingin Berhijrah’ adalah hasil tulisan Sdr Azmi Ahmad terbitan Mustread Sdn. Bhd ( 2010 ). Buku ini nipis sahaja; 129 mukasurat. Tulisannya yang sedang-sedang elok dan kemas amat membantu untuk terus membaca.

Secara keseluruhan buku ini sederhana. Tidak terlalu berat dan juga terlalu ringan. Ia membicarakan betapa perlunya berhijrah dan berubah kepada kehidupan yang lebih baik di bawah naungan Allah SWT.

Dalam bab 3, penulis menyebut bahawa kalimah syahadah adalah landasan kepada perubahan. Allah berfirman dalam surah an-Nur ayat 51 dan 52;

Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: Kami dengar dan kami taat: dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. (51) Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan. (52)

Surah Al-Maidah, ayat 16;

Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izinNya dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus. (16)

Hijrah dalam erti kata mendekatkan diri kepada Allah SWT dinyatakan dalam surah an-Nisa’ ayat 100.

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya dia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian dia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (100)

Rasulullah SAW bersabda;

‘Seorang muslim ialah orang yang sentiasa menjaga lidah dan tangannya daripada menyakiti umat islam yang lain dan seorang yang berhijrah pula ialah orang yang berhijrah dari larangan Allah.’ Riwayat Al-Bukhari.

Perkara yang saya cari tentang hijrah hati ada tercatat sedikit-sebanyak dalam buku ini. Hijrah hati ini memerlukan keyakinan yang mantap dan kekuatan rohani dalam mencari kebahagian dunia dan akhirat. Mudah-mudahan ulasan yang tak seberapa ini juga berupaya mengajak untuk kita sama-sama menghijrahkan hati kepada Dia yang dalam genggaman-Nya hidup serta mati kita.

Akhir kalam…

‘Barangsiapa keadaannya pada hari ini lebih baik dari semalam, dia adalah orang yang beruntung. Barangsiapa keadaannya pada hari ini sama seperti semalam, dia adalah orang yang tertipu. Barangsiapa keadaannya pada hari ini lebih teruk dari semalam, dia adalah orang yang terlaknat.’


Wallaualam…



Friday, December 10, 2010

Hijrah Hati

Aduhai…Semerta keinginan untuk hal-hal lain hilang dari diri. Yang tinggal hanya ingin pulang ke pangkuan-Nya dalam keadaan selamat sejahtera. Ada ketakutan menyelinap ke lubuk hati.

Saya cuba menahan airmata yang seakan mahu tumpah. Merenung sahabat saya terbaring di atas katil di kamar ICU itu amat mengusik perasaan. Hati saya mengakui nikmat kesihatan dan mengakui setiap yang berlaku atas kehendak-Nya jua. Tiada siapa yang dapat menghalang.

Kemahuan dan keinginan tentang enaknya dunia kelihatan terlalu jauh dari hati. Mana tidaknya, apa yang saya saksikan adalah peringatan buat diri bahawa sihat sekarang bukan jaminan. Muda sekarang juga bukan jaminan. Apatah lagi wang dan harta yang banyak juga bukan jaminan.

Satu-satunya jaminan untuk pulang dengan selamat ialah dengan ehsan dan rahmat Ilahi. Dengan bekalan dan amalan yang diterima-Nya.

Tahun hijrah yang baru mengundang meletakkan azam. Rata-rata orang memperkatakan tentang hijrah. Bagaimana dan apa yang mereka aingin lakukan, saya tidak pasti. Tetapi jika benar-benar mahu, ia bukan sekadar satu omongan di bibir sahaja. Ia perlu kekuatan untuk dilaksanakan.

Arghh!...Minda saya buntu merangka azam. Jari-jemari seakan kaku untuk menulisnya. Mudahnya…saya tidak tahu!

Segala-galanya bermula dengan hati. Ya…perkara utama yang perlu dilakukan ialah HIJRAH HATI...

Hati ini perlu dibawa berhijrah. 100% hijrah menuju jalan-Nya. Hati ini perlu meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap janji Allah tentang kesudahan setiap dari makhluk ciptaan-Nya. Hati ini perlu dididik mencintai Allah lebih dari segalanya. Hati ini perlu ditutup dari godaan dan keinginan dunia yang tidak pernah surut.

Akhirnya…hati ini perlu pulang bertemu Allah dalam keadaan selamat sejahtera.

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. (88) Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); (89) Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertakwa. (90) ~ Surah Al-Shuara.

Ya..Allah,

Bantulah aku..

Proses Yang Menyusahkan


Kalau syarikat ini international, sepatutnya prosesnya menyelesaikan masalah seperti ini tidak menyusahkan. Sistem yang lebih user-friendly’ saya membuat komplen.

Bukan apa, please consider komplen saya ni. Sekurang-kurangnya pihak atasan tahu’ usul saya lagi.

Pegawai tersebut tidak bercakap banyak kerana beliau tiada jawapan yang tepat dengan gesaan saya itu. Kesian juga saya. Tetapi apa nak buat, kerana sistem mereka, banyak masa saya terbuang dek berulang kali datang ke pejabat mereka. Sedangkan semuanya itu boleh diuruskan menerusi panggilan telefon sahaja. Perkara yang mudah!

Setelah berpengalaman berurusan dengan pihak lain yang lebih mudah, maka jelas proses yang digunakan menyusahkan dan mengambil masa yang panjang. Itulah sifat manusia, boleh membanding.

Ada perkara yang perlu berterus-terang. Bukan untuk ditelan segala-galanya oleh kita di pihak pengguna. Urusan yang saya fikir mudah, rupa-rupa melalui jalan yang amat panjang. Semata-mata semuanya memerlukan penjelasan pihak head-quarter. Lebih payah untuk mendapatkan salinan dokumen atau penyata tertentu, saya dikenakan bayaran. Aduh! Sungguh menyusahkan pihak pengguna.

Bila saya pulang ke rumah, saya berfikir. Sistem tersebut sebenarnya membuatkan pengguna di pihak yang rugi dan dizalimi. Urusan yang mudah pun dikenakan bayaran. Mencari keuntungan atas perkara seperti ini. Sungguh menjengkelkan.

Mungkin jumlahnya tidak banyak. RM 10 atau RM 50. Bagi orang yang mampu dan banyak wang, kemungkinan besar tidak memberi kesan. Tetapi jika untuk orang yang yang berpendapatan RM 10 sehari atau RM 50 seminggu, bukankah ketara jumlah itu. Sebenarnya jumlah yang kelihatan kecil itu adalah besar.

Apapun saya tiada pilihan. Terpaksa akur dengan peraturan mereka. Saya harap perkara ini selesai dengan segera dan tidak mengambil masa terlalu lama.

Bila saya fikir lagi, perkara yang dibuat manusia, tidak pernah sempurna dan adil. Yang sempurna dan adil hanya milik Allah. Sebagai hamba-Nya kita hanya mampu memilih untuk berlaku adil dengan diri sendiri dan mematuhi apa yang digariskan oleh Allah dalam hidup yang sedang dijalani. Selebihnya sabar sahajalah.


Thursday, December 9, 2010

Disebabkan Sudah Terbiasa, Manusia Jadi Tidak Merasa

Orang cerdik berkata ' Disebabkan sudah terbiasa, manusia jadi tidak merasa.' Disebab sudah biasa memandang langit, menatap bulan purnama, menikmati hangatnya sinar mentari, melihat bintang-bintang, manusia tidak merasa peka dan tidak dapat merenungi serta memikirkan semua ciptaan itu. Sebaliknya jika keluar satu produk baru buatan manusia, kita jadi berfikir dan merenunginya.

Maha suci Allah SWT, Sang Pencipta. Kita sahajalah yang tidak mahu merenungi, berfikir dan menyedari apa yang telah diciptakan-Nya itu.

Surah Al-Baqarah, ayat 29.

Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Wednesday, December 8, 2010

Kuih Neram


Pembaca pernah makan kuih neram? Arwah mak saya panggil kuih ini telinga keling. Kadang-kala panggil neneram. Opsss…sebut betul-betul. Bukan kuih meneran ye.

Kuih neram ini kategori kuih tradisional. Ia bukan sahaja sekadar kuih, ia juga membuatkan saya mengimbau zaman kanak-kanak.

Semalam ketika pulang dari kampung, saya singgah di sebuah pasar malam yang berhampiran susur keluar highway. Sebenarnya itulah kali pertama saya berkunjung ke situ, meskipun jaraknya tidak begitu jauh dari rumah saya.

Melihat suasana pasar malam yang agak besar dan sibuk itu, ia mengingatkan saya tentang Pekan Sari di Temerloh. Medan ketika zaman kanak-kanak saya menemani arwah emak berjual kuih-muih. Bila agak tengahari dan jualan mula berkurangan, mak akan membeli barang-barang kering. Tempat itu adalah tempat yang paling sesuai untuk kami sebab barangnya murah. Bila pulang, saya membantu emak menjinjing beban yang berat untuk dibawa pulang.

Itu zaman kanak-kanak saya. Kini bila nak beli barang-barang kering saya pergi ke pasar raya. Gaya hidup berubah mengikut masa dan kehendak zaman. Malah Pekan sari Temerloh itu sudah lama betul saya tak kunjungi. Pekan pagi yang dikatakan terpanjang dan paling ‘happening’ dengan produk-produk kampung itu.

Dulu kuih neram ini dibeli setelah siap dipek. Kami jadikan sebahagian dari kuih raya. Tapi kini, kuih ini disediakan sedikit berbeza.

Hal ini cuma saya temui di pasar malam sekitar Kuantan sahaja, tidak di Trengganu. Kuih neram disediakan di gerai jualan. Ia dibuat dalam saiz yang lebih kecil dan dijual panas-panas. Dengan harga seposen satu, sudah tentu menarik perhatian ramai. Apa tidaknya, masakini mana lagi nak cari kuih berharga seposen.

Rasa yang manis dan rangup ketika panas, membuatkan saya boleh menghabiskan semuanya ketika memandu sahaja. Seperkara lagi ia tahan lama. Emmm….memang best!

Dek kerana tahu kuih neram pasti ada dijual, saya sanggup round satu pasar malam mencari kuih itu. Benar sangkaan saya, memang ada. Tapi cuma satu penjual sahaja. Tiada saingan dan tiada pilihan lain lagi. Apapun kuih neram itu masih menepati kualiti kuih yang best. Saya tersengih-sengih setelah berjaya mendapatkan kuih neram dan pulang dengan penuh keceriaan.

Akhirnya…..

Gembiralah dengan kehidupan yang sedang dijalani.Bukan menyesali masa lalu. Dan bukan juga meratapi dosa-dosa yang telah berlaku. Bila bertaubat, bersangka baiklah dengan Allah, bahawa dosa-dosa itu akan diampunkan.

Begitu jua, usah digusari masa hadapan. Kerana tiada siapa yang tahu apa yang bakal berlaku. Lalu yakinlah dan bersangka baiklah dengan Allah bahawa masa hadapan kita juga indah seperti apa yang sedang kita lalui ketika ini.

Tuesday, December 7, 2010

Mengapa Terkadang Saya Boleh Menjadi Alim dan Terkadang Boleh Menjadi Zalim?


Cuba lihat pernyataan berikut:

  • Kadang kala kita memperlihatkan kebaikan tetapi kadang kala juga memperlihatan keburukan.

  • Kadang kala kita menunaikan solat dengan khusyuk, kadang kala fikiran kita menerawang tidak terkawal.

  • Kadang kala kita teringat dosa sehingga meninggalkannya, tetapi kadang kala kita tidak ingat dosa sehingga terus sahaja melakukannya.

  • Kadang kala kita boleh menjadi orang yang penyabar, kadang kala menjadi orang yang pemarah.

  • Kadang kala kita mengikut perintah Allah, namun kadang kala mengabaikan.

Seterusnya, mari kita tanyakan diri kita. Kenapa begitu?

Perkara-perkara tersebut merupakan titik tolak kupasan buku ‘Mengapa Terkadang Saya Boleh Menjadi Alim dan Terkadang Boleh Menjadi Zalim?’ hasil tulisan Muhammad Muhyidin terbitan Al Hidayah House of Publishers ( 2010 ).

Secara umumnya susunan tidak begitu menarik serta tidak kemas, tetapi kandungannya sangat padat. Satu perkara yang perlu difahami oleh setiap dari kita tentang sikap alim dan zalim dalam diri kita sendiri.

Persoalan yang diutarakan, mengapa kadang kala hati, fikiran, perasaan, sikap dan perbuatan menjadi harmoni tetapi kadang kala kacau bilau?

Jawapannya berkaitan dengan dua perkara, yakni nafsu dan kesedaran. Kemungkinan pertama, kita kalah pada nafsu kita sedemikian rupa sehingga hati, fikiran, perasaan, sikap dan perbuatan kita tidak berjalan seiring. Kemungkinan kedua, kita tidak memiliki kesedaran untuk meninggalkan perbuatan dosa, keji, mungkar atau maksiat. Kalah pada nafsu dan tiada kesedaran inilah yang menyebabkan iman menjadi kacau bilau. Akibatnya iman tidak melahirkan tenaga yang hebat. Jika tenaga tersebut masih tinggal, maka ia akan muncul sebagai sebahagian diri kita yang imannya masih terpelihara.

Di halaman 154, menyebut terapi melawan hawa nafsu menurut keadah terapi Ibnu Qayyim al-Jauzah.

Setiap peperangan memerlukan strategi dan teknik. Strategi dan teknik yang berkesan, cekap dan tepat akan menjadi penentu kemenangan dalam peperangan tersebut. Demikian halnyapeperangan dengan hawa nafsu; perang antara diri sendiri dan kecenderungan jiwa yang buruk atau jahat.

Menurut beliau…

Lawanlah apa yang terlintas itu! Jika dibiarkan, ia akan menjadi fikrah ( idea ). Lawanlah idea itu! Jika tidak, ia kan menjadi syahwat. Perangilah syahwat! Jika tidak, ia akan menjadi azimat ( hasrat ). Dan apabila hasrat pun tidak dilawan, ia akan menjadi perbuatan. Dan apabila perbuatan itu tidak kita temui lawannya, maka ia menjadi kebiasaan. Setelah itu, kita pun akan sukar meninggalkannya.

Apa yang dicatat di bahagian akhir buku itu menyimpulkan segala-galanya.

Iktihar kita dalam mengatasi keburukan atau kejahatan jiwa merupakan tugas yang sangat sukar. Sebabnya kita harus melawan diri sendiri.

Setiap perjuangan bagaimanapun memang memerlukan pengorbanan. Tetapi ketika berjuang melawan diri sendiri, maka bukan hanya pengorbanan yang kita perlukan. Kita harus tegas memerangi sebahagian diri yang menjadi penghalang atau musuh dalm memenangi perjuangan tersebut.

Ramai orang gagal dalam melawan dirinya sendiri. Ramai orang berundur sebelum melawan dirinya sendiri. Ramai pula orang yang memilih untuk menyerahkan dirinya pada musuh.

Kita semestinya mencintai diri sendiri. Tetapi tentu sahaja perkara ini bukannya untuk mengagungkan atau memuaskan ego, sehingga kita hanya mementing diri sendiri. Yakinlah, ego bukan selalu bermakna negatif. Mencintai diri sendiri yang dimaksudkan adalam mencintai diri agar selamat di hadapan Allah SWT.

Secara peribadi, saya mendapati ia sebuah buku yang bagus. Saya menyarankan anda membacanya juga agar dapat menimba ilmu melawan kejahatan hawa nafsu sendiri.

Dinihari 1 Muharram

Tahun ini saya tidak begitu bersedia membaca doa awal dan akhir tahun. Maksud saya tidak bersedia dari awal dengan salinan doa untuk dibaca bila tiba waktunya. Tenang sahaja melewati satu perubahan waktu dalam kalendar islam ini.

Alhamdulillah…rakan ada mengirim doa tersebut menerusi e-mail. ‘Emmm…boleh dibaca bila berkesempatan’ bisik saya sendirian. Tidak terlalu menekankan waktu-waktunya, saya mahu memfokuskan penghayatan dan isi doa itu. Masih mahu membaca meskipun bukan dalam keadaan uzur syarie. Bukankah doa boleh dibaca dalam apa sahaja keadaan.

Saya meninggalkan ofis agak lewat. Penat sedikit dengan urusan yang ‘entah apa-apa’. Maksud saya bukan berkaitan kerja, lebih kepada urusan peribadi yang juga penting. Apapun Alhamdulillah…urusan yang tertangguh dan berlanjutan hampir 6 bulan, selesai. Lega betul! Emmm….selesai satu perkara.

Saya memandu pulang ketika hari merangkak menuju malam. Kenderaan di atas jalan raya tidak begitu sibuk. Mungkin musim cuti sekolah telah mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya. Alhamdulillah…

Aduhai…Segala-galanya bagai didengari dan dipermudahkan.

Bacaan doa akhir dan awal tahun di sebuah radio tempatan menjadi pembantu saya untuk turut menyertai mereka yang bersama-sama melaksanakan amalan para salihin ini. Alhamdulillah terlaksana juga ia dalam waktu yang sepatutnya, meskipun ketika dalam keadaan memegang stering kereta.

Sesampai di rumah, pelbagai urusan lain jua menanti. Namun kemampuan badan membataskan segala-galanya. Sudah 2 hari saya mengalami pening kepala yang mungkin diakibatkan ‘angin’. Ia berlaku, apabila pulang dari kerja. Emmm…perkara yang tidak disokong langsung oleh fakta yang saintifik. Tapi ia fakta yang diterima pakai oleh masyarakat melayu. Hehehe…

Cuba menggelakkan menelan panadol. Semata-mata tidak mahu terlalu cepat menambah ‘bahan kimia’ di dalam badan. Saya mengambil pendekatan, bahawa sebenarnya saya perlukan rehat dan tidur. Memang benar, bila tidur sebahagian besar dari rasa pening itu hilang. Maksudkan saya masih boleh melakukan dan menyelesaikan urusan rutin yang lain.

Sebaliknya tidur yang sebegitu, membuatkan saya tersedar ketika dinihari.

Dinihari. Ya…Waktu yang disebut-sebut bahawa Allah mendengar dan memakbulkan doa hamba-hamba-Nya yang meminta ketika ini.

Sebaik mencelikkkan mata, fikiran saya menerawang jauh. Sangat jauh. Tentang hidup, tentang pengisiannya, tentang kesudahannya, tentang ujian yang sedang di hadapi, tentang hikmah dan sejauhmana sifat tawakkal yang ada dalam diri ini. Hal-hal yang membuatkan saya sibuk di siang hari, hilang entah ke mana. Mudahnya…Tiada lagi dalam kotak fikiran.

Akhirnya, saya harap doa yang saya catat pada waktu dinihari ini menjadi sebahagian doa-doa yang Allah perkenankan. Insya-Allah….

‘Ya..Allah. Dengan rahmat dan kasih-sayang-Mu, ampunilah dosa-dosaku yang lalu dan akan datang. Sesungguhnya apa lagi yang diharapkan oleh hamba-Mu selain bertemu dengan-Mu dalam keadaan yang telah diampunkan dosa-dosanya.’

‘Ya…Allah. Jadikan aku hamba-Mu yang sabar dan redha dengan segala ujian yang Kau uji buat diriku. Perlihatkanlah aku hikmahnya agar aku mampu melihat besarnya kasih-Mu buatku, dekatnya Engkau kepadaku dan hebatnya kekuasaan-Mu yang merencanakan segala-galanya.’

‘Ya…Allah. Bukakanlah mata hati aku untuk melihat Engkau yang sentiasa mengawasi perbuatanku. Maka dengannya aku takut untuk engkar juga takut melakukan perkara-perkara yang Kau murkai. Aduhai…Aku takut sekali aku mengakhiri kehidupan ini dengan kesudahan yang buruk.’

‘Ya…Allah. Jadikanlah aku hamba-Mu yang bersyukur. Bersyukur dengan segala nikmat yang Kau kurniakan. Sentiasa berkecukupan dengan segala pemberian-Mu. Bantulah aku bersyukur pada jalan-Mu. Pada jalan sujud pada-Mu.Pada jalan terus-terusan memuji dan memuja-Mu di tiap hembusan nafasku.’

‘Ya…Allah. Tambahkanlah ilmu dan amalku. Berikanlah kekuatan untuk aku melakukan kebaikan. Kekuatan untuk aku menjauhi kemungkaran dan kemurkaan-Mu.’

‘Ya..Allah. Jadikan tahun yang baru bermula ini sebagai titik perubahan dan hijrah yang besar dalam hidup aku. Bantulah dan ilhamkanlah buat diriku untuk melakukan penghijrahan yang sebenar-benarnya. Satu penghijrahan sebagaimana yang Kau mahukan.’

‘Ya…Allah. Kau ampunilah dosa-dosa kedua ibu-bapaku, ahli keluargaku, rakan-rakanku serta muslimin dan muslimat yang masih hidup atau telah mati. Kurniakanlah kami pertunjuk dan hidayah-Mu dan kurniakanlah kami sebaik-baik tempat tinggal di akhirat kelak.’

‘Ya…Allah. Jadikanlah apa sahaja yang aku usahakan ini adalah sesuatu perkara yang Kau redhai. Tulisan-tulisan aku ini memberi kebaikan kepada sesiapa sahaja yang membaca. Bimbinglah aku dengan tinta yang berada di hujung jariku ini.’

‘Ya…Allah. Kurniakanlah aku jalan pulang yang benar. Jalan pulang yang Kau kurniakan kepada hamba-hamba-mu yang soleh dan hamba-hamba-Mu yang Kau cintai.’

‘Aku mahu sujud hanya pada-Mu Ya Allah disepanjang usiaku dunia dan akhirat’.

‘Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah’

Ameen

Sunday, December 5, 2010

Kecenderungan Hati

'Hidupnya hati adalah berkat dengan bertambahnya ilmu, sedangkan matinya hati adalah akibat tiadanya ilmu.'

'Sihatnya hati adalah berkat keyakinan, sedangkan sakitnya hati adalah akibat keragu-raguan.'

'Tidurnya hati adalah akibat kelalaian, dan bangunnya hati bermula dari zikir yang dilakukan.'

~ Ali bin Abi Thalib

Saturday, December 4, 2010

Mencari Jalan Pulang ( bah 2 )

‘Ustazah kalau dulu kita buat satu dosa itu 10 kali, tapi sekarang sekali je…maknanya ok ke taubat kita tu? Sebab kita dah kurangkan buat dosa’ saya mengutarakan pertanyaan ketika kuliah zohor pada hari itu.

Ustazah dan rakan-rakan saya yang lain senyum sahaja mendengar pertanyaan saya itu. Malu juga bertanya soalan yang agak ‘bodoh’ itu.

‘Ni kena faham tentang taubat dengan ilmu. Sebab itulah kita kena belajar. Hadir majlis ilmu’ ustazah membalas.

‘Bila taubat, kita benci betul dengan dosa atau perbuatan itu. Kalau boleh tak mahu sebut lagi. Tak mahu diulang lagi. Maknanya tak buat lagi. Bukan dikurangkan sahaja’ ustazah menambah lagi jawapan.

Aduh…takut juga mendengar jawapan ustazah itu. Terfikir jua adakah selama ini ‘taubat’ yang dilakukan belum lagi diterima Allah sehingga masih lagi melakukan dosa meskipun hanya mampu dikurangkan bilangannya.

Adakah selama ini solat taubat yang dilakukan tak lebih dari ikut-ikutan sehingga terus menerus melakukan perkara yang diketahui mengundang dosa. Aduhai….

Namun kasih Allah itu Maha Luas.

Sejauhmana kita tersasar, sebesar mana kesalahan kita lakukan, kita sentiasa diberi ruang untuk terus bertaubat. Kita masih diberi hari sebaik sahaja kita membuka mata di waktu pagi. Sehinggakan setiap nafas yang dihela merupakan nikmat yang tak terbayar oleh kita.

Allah itu maha penyayang.

Setiap kesalahan dan keaiban kita ditutupi-Nya serapat-rapat. Sehinggakan kita kelihatan mulia dek kerana Allah telah menutup aib kita dari mata manusia yang lain. Lihatlah bagaimana seseorang manusia itu kelihatan hina, apabila sahaja perbuatan buruk atau aib yang dilakukan diketahui oleh orang lain.

Allah itu maha pengampun.

Sebesar dan setinggi mana sekalipun dosa kita, Allah menjanjikan pengampunan-Nya lebih besar dari kemurkaan-Nya. Lihatlah bagaimana lembutnya Allah kepada hamba-hamba-Nya yang mahu bertaubat. Hamba-hamba-Nya yang mneyedari kesilapan yang dilakukannya.

Mahu cari jalan pulang. Namun jalannya tak mudah. Sentiasa diuji dengan pelbagai perkara. Diri, harta hatta hati yang sentiasa digoda melakukan perkara yang jelas berdosa. Lalu apa lagi yang tinggal untuk diri terus kuat, untuk iman terus teguh. Ya…teguh mendayung kehidupan yang sentiasa pada jalan-Nya.

Ya…Allah

‘Berilah kekuatan untuk kami terus tetap pada jalan-Mu. Kurniakanlah kami sebaik-baik tempat tinggal di akhirat kelak. Jadikanlah kami golongan hamba-Mu yang sentiasa bertaubat dan mensucikan diri dan jiwa dari dosa-dosa. Ampunilah dosa-dosa kami ini.’



Friday, December 3, 2010

Kasut Tumit Tinggi

Amboi tingginya kasut’ saya menegur seorang rakan sekerja. Kasut bertumit tinggi dan halus menarik perhatian saya.

Saya rendah sangat kak. Tu yang pakai kasut tinggi. Akak takpe…dah tinggi’ jawabnya tersenyum-senyum. Segan agaknya bila saya menegur begitu.

Bahaya dahlah tinggi, halus sangat tumit tu. Tak takut terjatuh ke?’ saya menambah.

Dah biasa kak. Orang rendah kak. Pakaipun akak masih tinggi dari saya’ katanya.

Saya ketawa sahaja.

Dulu akak pakai juga. Siap driving dengan pakai kasut tinggi lagi. Sekarang ni dah tak pakai. Malas!’

Sekarang nak cepat. Jalan mesti cepat. Pakai kasut rendah cepat sikit. Boleh berlari lagi…’kata saya.

Saya dah hampir terlupa kasut-kasut yang tersusun di rak kasut. Kegilaan memakai kasut tinggi berbagai fesyen itu dah jadi sejarah. Ada juga sekali-sekala ‘tertengok’. Bila fikir untuk memakainya…tidak lagi sesuai. Sebenarnya saya fikir, tidak perlu pun. Tiada nilai tambah yang begitu ketara.

Memiliki banyak kasut bagi wanita adalah satu perkara biasa. Ada orang kata sebab harganya tak semahal kasut lelaki. Tetapi saya merasakan fesyen yang pelbagai itu merupakan sebab utamanya.

She loves my shoe. We met in one of the conference and suddenly she said…ohh I love your shoe’ kata saya kepada seorang wanita bangsa asing ketika kami dalam urusan kerja.

Ya…she has lots of shoe’ jawabnya pula.

Nampaknya resam wanita punyai kasut yang banyak adalah perkara lumrah.

Kasut harus tidak membahayakan sipemakainya. Namun dalam hal yang lebih utama, kasut tak seharusnya digunakan bahan menarik perhatian orang lain yang memandangnya. Lindungilah diri kita bukan sahaja dari segi fizikalnya malah juga dari sebarang situasi yang bisa mengundang fitnah.

Wahai wanita…selamatkanlah diri kita!

‘Indahnya Sabar Dan Syukur’

Sempat membaca buku ‘Indahnya Sabar Dan Syukur’ ketika bermusafir pada hari ini. Penulisnya adalah Abdillah F. Hasan terbitan Al-Hidayah House of Publishers ( 2010 ).

Saya membeli buku ini kerana tajuknya serta cover nya yang menarik.

Ringkasnya buku ini gabungan cerita-cerita hamba-Allah zaman nabi dari segi sifat sabar dan syukur yang mereka miliki. Namun setiap cerita dikupas isinya ringkas sahaja tetapi mencukupi. Secara peribadi, saya sedikit tidak begitu teruja dengan kaedah begini. Saya lebih suka kupasan yang mendalam, yang mana penulis membawa pembaca memahami apa yang cuba ditonjolkan dari setiap cerita-cerita tersebut.

Apapun saya fikir itu pendekatan buku ini sebab tertera di kulit belakang untuk mempersembahkan hikmah-hikmah kearifan kehidupan islam dengan untaian-untaian kisah-kisah yang unik, segar dan kreatif. Sebuah bacaan yang ringan dan mudah.

Ini apa yang tertulis di bahagian belakang buku ini.

Allah SWT benar-benar Maha Adil. Jika hanya orang kaya yang mampu mengumpul sebanyak-banyak pahala sebagai bekalan menuju syurga-Nya dan banyak bersedekah, tentulah akan merana orang yang miskin. Ini kerana mereka tidak punya harta untuk bersedekah, sehingga tidak mampu mengumpul sebanyak-banyak pahala sebagai bekalan menuju syurga-Nya.

Tetapi tidak adil juga jika disebabkan kepapaan itu lalu orang miskin itu dipermudahkan begitu sahaja jalannya menuju syurga-Nya. Mereka tetap akan diuji oleh Allah dalam hal kesyukurannya. Maka sabar dan syukur adalah jambatan ujian yang akan memutuskan si kaya atau si miskin patut masuk ke syurga-Nya atau tidak. Yang kaya dan yang miskin mempunyai peluang yang sama untuk terbang ke syurga-Nya dengan sayap kesabaran atau sayap kesyukuran.

Wednesday, December 1, 2010

Bekalan Pulang

'Demi Allah, dunia ini di akhirat kelak hanyalah seperti air yang melekat pada jari telunjuk salah seorang dari kamu yang dimasukkan ke dalam samudera luas. Oleh itu, hendaklah dia merenungi bekalan apakah yang hendak dibawa untuk mengadap Tuhannya'

~ Hadis Riwayat Muslim
Related Posts with Thumbnails