1 – Ajaibnya Sedekah
Ajaibnya Sedekah, Semakin Sedekah Semakin Kaya adalah tulisan Muhammad Muhyidin ( 2009 ). Secara keseluruhan buku ini biasa sahaja. Seluruh isi kandungan buku dirangkum sempurna di Bab Pendahuluan. Selebihnya ulasan-ulasan lengkap mengenai apa yang dinyatakan di peringkat permulaannya.
Secara ringkas penulis menekan tentang sebab musabab kenapa perlu bersedekah. Bukan kerana kita mengharapkan ganjaran dan bukan juga kita mahukan syurga Allah. Lakukanlah kerana kita mensyukuri nikmat kurniaan Allah.
Samada ada keajaiban yang akan berlaku bukanlah perkara yang pokok. Betul juga. Bila saya fikir-fikir, kadang-kala bila berlaku keajaiban itu, kita sendiri tak menyedarinya. Dek kerana kedangkalan diri kita sendiri.
Bersedekahlah. Mahupun ketika kita ada mahupun tiada. Ianya tanda kasih-sayang sesama kita dan tanda kita mensyukuri pemberian-Nya.
2 – 300 Hadis Bimbingan
300 Hadis Bimbingan, Kearah mencari reda Allah terbitan Telaga Biru ( 2007 ). Saya membeli buku ini ramadhan yang lalu. Saya berhenti membaca setelah separuh jalan. Saya sendiri kurang pasti kenapa.
Buku ini bagus dan elok dijadikan rujukan untuk orang-orang seperti saya. Saya tiada ilmu nak membezakan hadis sahih atau tidak. Jadi buku ini memang sangat membantu.
Cuma satu yang saya merasa sukar ialah apabila saya ingin mencari hadis yang pernah saya dengar di mana-mana dan ingin mendapatkan penjelasan lanjut, buku ini tidak begitu membantu. Ini adalah kerana susunannya. Sukar sekali.
Apapun elok dijadikan koleksi buat seisi rumah. Izinkan saya berkongsi sebuah doa dalam buku ini. Halaman 115 Hadis # 164; Doa Permudah Sesuatu Perkara
Daripada Anas bin Malik r.a, bersabda Rasulullah s.a.w: ‘Ya Allah! Tiada kemudahan melainkan apa yang Engkau menjadikannya mudah. Engkau menjadikan suatu kepayahan menjadi mudah apabila Engkau kehendaki ia mudah’. ( Riwayat Ibn Hibban )
3 – Tangisan Kerana Allah SWT
Tangisan Kerana Allah SWT adalah terbitan Synergy Media. Melihat tajuknya sahaja saya terus tertawan. Malangnya buku yang berbungkus rapi dengan plastik lutsinar sedikit menghampakan saya bila sahaja saya mengoyakkan bungkusan dan menyelak-yelak beberapa halaman.
Dipenuhi dengan cerita-cerita zaman Rasulullah tanpa ulasan fakta bukanlah sesuatu yang menarik minat saya. Saya lebih suka membaca buku non-fiction yang mana terdapat fakta atau ulasan dari penulis. Saya ingin membaca kupasan dan buah fikiran. Bukan hanya cerita-cerita sahaja.
Namun itu tidak saya perolehi dari buku ini. Apapun saya masih membacanya dan cuba mengambil iktibar dari cerita orang-orang yang hebat ini. Namun saya tetap kagum dan amat kagum dengan akhlak para sahabat Rasulullah yang terdapat dalam buku ini. Sesuatu yang buat saya berfikir panjang. Mampukah saya melakukan seperti mereka?
Di bahagian akhir, penulis menekankan kelebihan menangis dan kesannya terhadap hati dan jiwa kita. Apatah lagi jika menangis kerana Allah. Pastinya ianya sesuatu yang amat terkesan dalam meningkatkan keimanan. Moga-moga ia menjadi bukti apabila bertemu dengan Allah SWR di akhirat kelak.























